Isnin, Jun 04, 2018

MEREKA DAHULU PEMBANGKANG SEBAB ITU KENYATAAN MEREKA MASIH SEPERTI PEMBANGKANG



KUALA LUMPUR: Tun Daim Zainuddin meminta rakyat Malaysia memberi sedikit masa kepada pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk mereka menyesuaikan diri dengan peranan baru mentadbir kerajaan persekutuan.

"Kita perlu beri mereka peluang dan masa. Mereka adalah pembangkang sebelum ini. Sebab itu mereka banyak buat kenyataan seperti mereka masih menjadi pembangkang.

"Jadi sila bersabar. Mereka cepat belajar, mereka orang-orang cerdik. Lebih penting, mereka orang-orang yang jujur dalam berkhidmat untuk rakyat," katanya kepada The Star.

Berhubung pelantikan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, Daim, yang sebelum ini pernah memegang jawatan itu berkata, ia memberi kesan yang baik kepada negara kerana pelantikannya berdasarkan kebolehan dan bukannya kaum.

Daim turut menyorot bahawa setiausaha agung DAP itu berjaya menguruskan kewangan Pulau Pinang ketika menjadi ketua menteri.

"Pelantikan itu menghapuskan amalan mempolitikkan jawatan menteri kewangan, yang merupakan perkembangan yang baik kerana jawatan itu sebelum ini sering dijadikan habuan kepada penyokong setia Umno.

"Kini amalan itu sudah dihentikan," tambahnya.

Daim turut menjelaskan bahawa Lim bukan pemimpin Cina pertama yang dilantik sebagai menteri kewangan.

"Pelantikan itu dibuat berdasarkan rundingan dengan pelbagai pihak. Rakyat Malaysia secara umumnya perlu menerima pelantikan itu berdasarkan pengalaman luas Lim dan bukannya latar belakang kaum," katanya.