Isnin, Disember 28, 2015

KENAPA FILEM HINDUSTAN BERJAYA?

Malam tadi sekali lagi saya menonton filem Kabhi Kushi Kabhie Gham (K3G) di TV3. Entah berapa kali saya sudah  menonton filem hindustan yang diterbitkan pada tahun 2001 itu. Filem kedua arahan Karan Johar itu selepas Kuch Kuch Ho Tai (1998) menelan belanja sebanyak RM24 juta dan memungut kutipan di seluruh dunia sebanyak RM80 juta. Lihatlah betapa untungnya produser filem Hindustan sebanyak RM56 juta.

Filem lakonan Amitabh Bachchan, Jaya Bachchan, Shah Rukh Khan, Kajol, Hritikh Roshan dan Kareena Kapoor mempunyai cerita yang simple tetapi kenapa penonton di seluruh dunia boleh menerima cerita yang simple ini. Filem ini bukan sahaja membuat penggambaran di India malah di London dan Mesir.

Jumaat lepas setelah setahun tidak menonton wayang di pawagam, akhirnya saya menonton filem hindustan Dilwale lakonan Shah Rukh Khan, Kajol. Varun Dhawan dan Kriti Sanon. Shah Rukh khan bergabung semula dengan Kajol selepas lima     tahun tidak berlakon bersama. kali terakhir mereka berlakon bersama dalam filem My Name Is Khan  (2010)
arahan Karan Johar.

Kos produksi Dilwale meningkat RM60 juta tetapi kutipan tiket di seluruh dunia sudah mencapai RM128 juta pada minggu pertama sejak ia ditayangkan mulai 18 Disember lalu. Filem Dilwale bukan sahaja mmebuat penggambaran di India malah di Bulgaria dan Iceland.

Filem terbitan isteri Shah Rukh Khan dan Rohir Shetty  itu sudah untung RM68 juta pada minggu pertama menunjukkan industri filem Hindustan tetap unggul di negara India. Ini adalah filem kedua Rohir Shetty arah di bawah syarikat Gauri Khan selepas Chennai Express (2013).

Produser filem Malaysia kena belajar dari produser India bagaimana mereka boleh berjaya di peringkat global. Kos produksi filem Malaysia hanya sebanyak RM1.5 juta sahaja. Kutipan tiket untuk tahun ini sehingga Jun 2015 hanya sekitar RM24.2 juta daripada 40 buah filem tempatan yang sudah ditayangkan.

Ini bermakna kita masih jauh tertinggal di belakang dari filem India. Sudah sampai masanya produser seperti Datuk Yusof Haslam dan David Teo meneroka pasaran di Indonesia yang mempunyai penduduk ratusan juta. Kaji selera penonton mereka dan buat filem untuk penonton Indonesia dengan pelakon kedua negara sudah tentu ia boleh meletup di pasaran Malaysia dan Indonesia. barangkali kerajaan Malaysia dan Indonesia boleh berunding supaya filem kita dapat menembusi pasaran di sana.

Kita tak boleh syok sendiri. Jika kita mahu filem kita dapat bertapak di Indonesia, kita kena ikut selera penonton di sana. Pasaran sana luas. Maka produser kita perlu tinggalkan membuat filem yang syok sendiri yang tidak menepati selera penonton.

Kita perlu menembusi pasaran Indonesia jika kita mahu filem Malaysia mengutip RM128 juta seperti filem Dilwale. Di sini pentingnya peranan Finas memberi dana kepada produser kita kerana bila kita mahu menembusi pasaran global maka kos produksinya mestilah sekurang-kurangnya RM30 juta. Kalau produser India berani melabur sebanyak RM60 juta kenapa kita tidak berani jika benar pasaran filem berbahasa Melayu begitu banyak jika diambil kira jumlah rakyat Malaysia dan Indonesia.