Sabtu, Mei 07, 2016

TUKAR PESAWAT DI SAAT AKHIR SELAMATKAN SHABERY

KUCHING, 6 Mei (Bernama) -- Menukar pesawat untuk dinaiki pada saat akhir menyelamatkan nyawa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Shabery mahu menaiki helikopter yang terhempas membawa Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon dan lima lagi dari Betong ke Kuching itu apabila beliau mengubah fikiran untuk menggunakan pesawat lain semalam.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu, yang mengiringi beliau pada perjumpaan dengan petani di Tanjung Bijat dan Spaoh, telah menawarkan Shabery dan rombongannya menaiki helikopter rasmi beliau.

Shabery memutuskan untuk menerima tawaran itu.

"Beliau (Jabu) menghantar saya ke helikopter, menolong saya memasang tali pinggang dan menutup pintu helikopter seperti seorang bapa membantu anaknya," kata Shabery.

"Saya merasakan suatu perasaan yang aneh. Firasat saya dan cuaca pun tidak begitu baik. Gerak hati saya daripada Allah melalui Jabu yang mengatakan kepada saya, "Saya tak ikut naik dengan YB tapi saya tetap bersama YB."

Beliau bagaimanapun terkejut mendengar bahawa helikopter Eurocopter AS350 itu hilang kemudiannya.

Shabery sedih mendapat berita mayat Noriah ditemui berhampiran serpihan pesawat itu dekat Sungai Batang Lupar, Sebuyau, kira-kira 220km dari Kuching, dan kerja mencari badan helikopter itu dan mangsa lain diteruskan.

Beliau menyampaikan takziah kepada keluarga Noriah dan keluarga penumpang lain pesawat itu.

"Ini sudah ditakdirkan. Memang sukar untuk diterima dan saya berharap usaha mencari diteruskan dan berjaya.

"Sukar bagi saya untuk mengatakan saya lega kerana Noriah sahabat saya," katanya.

Selain Noriah, turut berada di dalam helikopter itu ialah suaminya Asmuni Abdullah, Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun, dan juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas.

-- BERNAMA