Isnin, Januari 22, 2018

PAS SAHKAN PERTANDINGAN TIGA PENJURU

SHAH ALAM, 21 Jan (Bernama) -- PAS akan bertanding lebih daripada 130 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bagi membolehkannya membentuk kerajaan jika memenangi pilihan raya umum yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS perlu bertanding sekurang-kurangnya lebih daripada jumlah majoriti mudah iaitu daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

"Kemungkinan (bertanding) 130 lebih (kerusi Parlimen), sekurang-kurangnya majoriti mudah.

"PAS mahu membentuk kerajaan ataupun menyertai pembentukan kerajaan, bukan lagi sebagai pembangkang yang lemah," katanya dalam sidang media selepas melancarkan jentera PAS Selangor untuk PRU14 pada Himpunan Fastaqim 2.4 di sini, hari ini.

Pada PRU13, PAS bertanding 73 kerusi Parlimen dan menang 21 daripadanya. Enam daripada 21`kerusi kini disandang anggota Parlimen Parti Amanah Negara, parti serpihan PAS, manakala kerusi Parlimen Pokok Sena juga terlepas apabila penyandangnya Datuk Mahfuz Omar mengumumkan keluar parti itu awal tahun ini.

Himpunan, yang bertujuan menggembleng kekuatan serta menggerakkan kebangkitan anggota serta penyokong PAS, turut dihadiri Naib Presiden parti Idris Ahmad, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi dan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Hadi berkata PAS juga bertekad mahu merampas Selangor pada PRU14 bagi menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

"Selangor perlu menjadi contoh, kita harap rakyat Selangor mesti memilih kepimpinan Islam," katanya.

PAS Selangor sebelum ini dilapor menyasarkan sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri di negeri itu, termasuk di kawasan diwakili Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bukit Antarabangsa) dan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Kajang).

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi mengingatkan kerajaan Selangor supaya tidak mencampuradukkan isu berkaitan politik dalam urusan pentadbiran negeri.

Ini susulan dakwaan peruntukan tahunan yang disediakan untuk Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di negeri itu disekat.

Sallehen sebelum ini berkata bahawa beliau telah dimaklumkan oleh pegawai Unit Perancangan Ekonomi (EPU) negeri Selangor bahawa peruntukan kepada wakil rakyat PAS untuk tahun ini akan dibekukan.

Mohamed Azmin bagaimanapun menafikan kerajaan Selangor menyekat peruntukan kepada wakil rakyat PAS di negeri itu dan sebaliknya berkata kelewatan itu mungkin berpunca daripada masalah teknikal.

Ditanya tentang calon Menteri Besar Selangor daripada PAS sekiranya parti itu menguasai negeri itu pada PRU14, Abdul Hadi berkata pihaknya tidak akan menamakannya sehinggalah proses pilihan raya selesai.

"Kita tak mahu buat andaian, kita tunggu lepas PRU14. Mengenai sama ada PAS akan terus sokong Mohamed Azmin (sebagai Menteri Besar Selangor), kamu (wartawan) boleh baca (buat telahan) sendiri lah," katanya.

Ulasan saya, pengumuman PAS untuk bertanding lebih daripada 130 kerusi parlimen sudah tentu mengecewakan Pakatan Harapan (PH). Hasrat PH untuk melihat pertandingan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dengan PH sudah hancur. Maka harapan PH untuk menawan Putrajaya nampaknya malap.

PH lebih suka pertandingan dua penjuru dengan BN kerana apabila berlakunya pertandingan tiga penjuru, ia akan memberi kelebihan kepada BN seperti mana berlaku dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Mustahil PAS dapat menawan Putrajaya. Sebaliknya dahulu PAS menang banyak kerusi kerana dibantu oleh DAP. Dapatkah PAS menambah kerusi parlimen kali ini daripada 21 kerusi? Pemerhati politik melihat walaupun ada parti serpihan yang baru seperti Bersatu dan Amanah tetapi pertandingan sebenar di kerusi majori pengundi Melayu masih lagi di antara BN dengan PAS.

Seperti kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamad bahawa tiada pakatan antara BN dengan PAS untuk beri laluan kepada PAS memerintah Kelantan maka pertandingan BN lawan PAS kali ini di Kelantan lebih sengit dengan adanya Amanah.