Jumaat, Februari 03, 2017

MENGUBAH PERSEPSI RASUAH DI KALANGAN PENJAWAT AWAM

oleh SHAHBUDIN EMBUN
(sydah disiarkan dalam Berita Harian)

Baru-baru ini banyak tohmahan yang telah dilemparkan kepada penjawat awam berkaitan dengan isu rasuah yang semakin menjadi-jadi, antaranya kes penangkapan dan pendakwaan beberapa pegawai atasan dalam perkhidmatan awam. Hakikatnya penangkapan tersebut telah memberi kesan yang buruk kepada imej perkhidmatan awam yang telah diamanatkan untuk memegang amanah rakyat. Bak kata pepatah ‘disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga’. Untuk menidakkan apa yang telah berlaku terhadap pandangan negatif masyarakat adalah amat sukar. Walau bagaimanapun, penulis ingin memberi satu persepsi yang berbeza dalam menilai perkara ini dengan lebih adil dan saksama.



Sistem sedia ada yang bertujuan meningkatkan tahap integriti perkhidmatan awam sememangnya telah pun diakui keberkesanannya dan dipraktiskan oleh negara-negara maju yang lain. Sebagai contoh bagi memastikan akauntabiliti terus dipraktikkan, proses kewangan dan perolehan telah diperhalusi supaya semua proses kerjanya mempunyai aspek ‘check and balance’ di semua peringkat. Seterusnya, proses ini juga dilengkapkan dengan ‘audit trail’ supaya pihak audit dapat mengesan sekiranya berlaku sebarang salah laku samada dibuat secara sengaja atau tidak sengaja. Untuk tujuan ini pelbagai jawatan telah diluluskan oleh pihak kerajaan termasuklah jawatan di Akauntan Negara, Audit Negara dan baru-baru ini diwujudkan pula jawatan Pegawai Integriti yang ditempatkan di setiap kementerian / agensi. Ianya bertujuan untuk memastikan proses pemantauan yang lebih kukuh dapat dilaksanakan dalam memerangi salah laku rasuah.



Secara prosesnya, pelbagai agensi turut terlibat dalam melaksanakan proses preventive, corrective dan punitive untuk memastikan ketelusan terus ditingkatkan. Antara pihak yang menjalankan proses pengauditan adalah termasuk pihak audit dalaman jabatan ataupun kementerian itu sendiri dan audit luaran oleh pihak Audit Negara serta Akauntan Negara. Manakala, tindakan surcaj oleh Kementerian Kewangan pula turut akan dikenakan sebagai salah satu kaedah punitif kepada mereka yang melakukan kesalahan.



Selain itu, bagi tugas-tugas yang dianggap sensitif dan berisiko tinggi, Kerajaan juga telah melaksanakan dasar pusingan kerja terhadap penjawat-penjawat awam yang memegang jawatan sensitif ini agar seseorang pegawai itu tidak dapat memanipulasikan kedudukannya sebagai kuasa pelulus dalam transaksi-transaksi yang cenderung untuk menerima suapan.



Juga di peringkat perundangan, kerajaan telah meluluskan beberapa pindaan akta dan undang-undang agar hukuman yang lebih berat dapat dikenakan terhadap pesalah yang terbukti menerima rasuah. Di samping itu juga, perlindungan kepada whitsleblower turut disediakan bagi memastikan golongan ini dilindungi daripada sebarang ancaman.



Selain itu, dalam aspek penerapan nilai-nilai murni dan pembelajaran berterusan, kerajaan juga telah menubuhkan Institut Integriti Malaysia yang bertujuan untuk memastikan penjawat awam terus berada di landasan yang kukuh dan mempunyai nilai akauntabiliti dan integriti yang setara dengan negara-negara lain seperti Jepun, Singapura dan Switzerland yang mana mempunyai indeks akauntabiliti yang tertinggi.

Di samping itu, Kerajaan juga telah memperkasakan beberapa agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (yang dulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah) dan juga Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang bertugas untuk memantau kes salah laku rasuah termasuklah juga anggota-anggota penguatkuasaan. Di peringkat persatuan pula, Kerajaan membuka ruang dan bekerjasama dengan agensi-agensi transparensi antarabangsa serta NGO yang lain seperti The Centre to Combat Corruption & Cronyism (C4 consultancies) untuk menerapkan budaya dan amalan sifat integriti yang tinggi.



Di peringkat nasional, Kerajaan telah meletakkan isu rasuah sebagai salah satu teras utama National Key Result Area (NKRA) bagi memastikan gejala ini dapat dihapuskan. Manakala, di peringkat antarabangsa pula Malaysia telah memberi komitmen dengan menandatangani Konvensyen Pertubuhan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu terhadap menangani rasuah yang telah berkuat kuasa pada 24 Oktober 2008. Malaysia juga merupakan Anggota ADB / OECDAnti-Corruption Initiative for Asia and the Pacific, South East Asia Parties Against Corruption (SEA-PAC), Asia Pacific Economic Corporation (APEC), Anti-Corruption and Transparency Working Group, The International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA), The International Anti-Corruption Academy (IACA) dan berbagai-bagai lagi.



Melihat kepada usaha dan penglibatan serius Kerajaan, ini bermakna sistem yang padu bagi membendung gejala rasuah telah pun lama wujud dan diimplementasikan. Justeru itu, apakah punca salah laku seumpama ini masih berlaku? Persoalan sebenarnya, jika sistem sedia ada yang dianggap mantap atau setara dengan negara maju yang lain telah dilaksanakan, agama, sivik dan moral telah diterapkan, penguatkuasaan dan undang-undang telah diperketatkan, maka, apakah yang menjadi punca sebenar segelintir penjawat awam masih terlibat di dalam gejala rasuah terkutuk ini?



Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana sifat tamak, mementingkan diri sendiri dan mahukan kemewahan segera dengan cara yang mudah. Seseorang yang diselubungi dengan sifat tamak akan mula memanipulasi sistem sedia ada, lalu menjerat dan menekan mereka yang bekerja di bawahnya untuk mengikut telunjuk dan bersengkongkol dengannya. Dan, kepada yang jujur serta enggan bersubahat untuk menerima suapan, penulis difahamkan terdapat kes pegawai / kakitangan yang dipulau dan ditindas sehingga ditukarkan ke agensi yang lain, seolah-olah kelihatan seperti mereka yang telah melakukan kesalahan yang besar. Inilah hakikatnya yang berlaku apabila seseorang itu telah diselubungi dengan sifat tamak haloba dan tidak sedar akan binasa yang akan menimpa mereka sepertimana kisah teladan ‘Nakhoda yang Tamak’ dan juga kisah ‘Nabi Isa a.s dan Fulan’ yang mana akibat ketamakan mereka, akhirnya mendapat pembalasan yang tidak terkira.



Oleh itu, sudah tiba masanya untuk perkara ini diperhalusi supaya masyarakat dapat mengubah persepsi berkaitan isu rasuah di kalangan penjawat awam. Amat tidak adil sekiranya kita, membiarkan susu sebelanga dirosakkan oleh setitik nila. Sewajarnya masyarakat perlu melihat isu ini secara ‘compartmentalize perception’ iaitu menilai sesuatu isu secara lebih khusus dan fokus. Ini bermakna, sewajarnya kita harus melihat kepada sifat ketamakan individu yang terlibat dan membuat penilaian hanya menjurus kepada individu tersebut sahaja tanpa merangkumkannya atau dalam erti kata lain ‘generalize’ kepada seluruh populasi penjawat awam lain yang tidak bersalah. Jika segalanya dirangkumkan bersekali dengan tohmahan-tohmahan kes rasuah sebelum ini, maka persepsi kita seolah-olah tidak menggambarkan majoriti penjawat awam yang sebenar-benarnya memegang teguh prinsip akauntabiliti dan integriti dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan. Oleh itu, penulis menyeru masyarakat untuk menilai isu ini dengan lebih rasional, compartmentalize kepada isu yang spesifik dan individu yang terlibat tanpa menjejaskan imej sebilangan besar penjawat awam yang benar-benar ikhlas, jujur dan amanah dalam menabur bakti kepada masyarakat.



Sesungguhnya ramai penjawat awam di kalangan masyarakat merasa terkilan kerana dilabelkan sedemikian rupa walaupun mereka tidak langsung terlibat di dalam salah laku rasuah ini. Mereka ini mungkin abang, adik, kakak malah ibu atau bapa di dalam masyarakat yang merupakan penjawat awam turut berasa tempiasnya apabila tohmahan yang dilemparkan seolah-olah menggambarkan imej perkhidmatan awam secara keseluruhan. Berilah peluang untuk mereka ini mendabik dada, berasa bangga dengan perkhidmatan yang jujur serta ikhlas yang telah diberikan tanpa merasa malu atau hina disebabkan kesalahan satu atau beberapa individu dalam gejala rasuah perkhidmatan awam ini.