Jumaat, Disember 23, 2016

RAZIF UMUM ANAK MUDA BOLEH MILIKI TANAH SATU EKAR



KUALA BERANG: Kerajaan negeri sedia mempertimbang untuk membo­lehkan anak watan negeri ini yang berusia 40 tahun ke bawah memiliki tanah dengan setiap seorang mendapat seluas satu ekar (0.4 hektar).

Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman ketika mengumumkan khabar gembira itu berkata, usaha itu dibuat sebagai salah satu transformasi ekonomi kerajaan negeri bagi memanfaatkan tanah semaksimum yang boleh.


Pada masa sama, jelasnya, langkah itu juga dapat membantu golongan muda di Terengganu yang masih belum mempunyai tanah untuk dijadikan aset selain memberi peluang pekerjaan kepada golo­ngan tersebut.

Sehubungan itu, kata Ahmad Razif, beliau mengarahkan semua pentadbir tanah di setiap daerah agar mengenal pasti tanah yang berpotensi dimajukan sebelum diagihkan kepada golongan muda.

Sebagai permulaan, beliau menjelaskan, sebahagian daripada sejumlah 157 hektar tanah di Kampung Binjai Kertas dan Kampung Nasi Dingin dekat sini akan diagihkan kepada golongan muda di kawasan berkenaan.

“Pada masa ini, daripada keseluruhan tanah itu, 101 ekar (40.9 hektar) diusahakan oleh pihak RISDA Plantation manakala bakinya akan diagihkan kepada golongan muda di dua kampung berkenaan,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menghadiri program Rancangan Khas Binjai Kertas-Nasi Dingin (RKBKND) di Kampung Binjai Kertas dekat sini semalam.



Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Exco Kerajaan negeri yang juga ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat; Pegawai Pembangunan DUN Manir, Yusof Awang Hitam dan Pengurus RISDA Plantation Terengganu, Mohd. Yusof Baijuri.

Ahmad Razif berkata, sebelum tanah itu diberi, mereka terlibat perlu mempunyai kesanggupan yang tinggi untuk mengusahakannya termasuk menjalankan aktiviti ekonomi yang mampu memberi pulangan menguntungkan.

“Mereka kena ada kesanggupan dan keinginan, paling mustahak mereka perlu ada kesanggupan yang tinggi untuk mengusahakan tanah masing-masing seperti membangunkan projek pertanian dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN