Ahad, November 08, 2015

KESEDIAAN UMNO TERENGGANU LETAK CALON WANITA SATU TRANSFORMASI

UMNO Terengganu sedia menampilkan calon wanita pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jika calon berkenaan mampu meraih sokongan dan memenangi kerusi yang ditandinginya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman, bagaimanapun berkata individu berkenaan perlulah berwibawa.

"Saya tiada masalah meletakkan calon wanita. Cuma apa yang saya mahukan calon boleh menang tidak kira siapa dia, walaupun calon itu veteran ataupun muda kerana kita mahu menang.

"Kalau katakan hari ini, semua memerlukan calon wanita, maka calon wanitalah akan disenaraikan tetapi kita perlu cari kemenangan sebab keadaan politik di negeri ini sekarang 17-15...majoriti mudah ini, kita tiada pilihan," katanya.

Kenyataan Razif ini  wajar disokong kerana ia adalah satu transformasi yang dibawanya. Pada tahun 1969, Perikatan pernah menonjolkan calon wanita di DUN Cukai dan menang iaitu Puan Teh kalau tak silap saya. Tetapi sejak Wan Mokhtar Ahmad menjadi MB Terengganu pada tahun 1974 beliau selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu tidak pernah meletakkan calon wanita. Sebaliknya beliau memperuntukkan satu kerusi Senator dari DUN Terengganu untuk wanita yang biasanya disandang oleh Ketua Wanita Umno Terengganu.

Pada tahun 2004, Idris Jusoh selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu pernah menawarkan kerusi DUN Ladang kepada Ketua Puteri Umno Terengganu, Nordiana Shafie tetapi beliau menolak tawaran itu dan Idris menawarkan kerusi itu kepada Wan Hisham Wan Salleh. Wan Hisham menang dan dilantik Exco.

Jika Nordiana menerima tawaran tersebut, beliau pasti menang dan menjadi Exco tetapi bukan rezeki beliau menjadi YB. Pada tahun 2008, beliau bertanding di kerusi hitam, Batu Burok memang susah mahu menang maka penonjolan calon wanita mengecewakan Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Pada PRU 2013, Umno Terengganu tidak meletakkan sebarang calon wanita tetapi jika benar Razif mahu meletakkan calon wanita, maka carilah kawasan yang selamat seperti DUN Air Putih yang diguraukan oleh Wan Mokhtar dalam ucapannya di konvesyen Umno Terengganu Jumaat lalu. Wan Mokhtar bergurau kerana DUN Air Putih adalah kerusi paling selamat walaupun kini disandang oleh anaknya Wan Hakim yang dikatakan lebih berminat bertanding kerusi parlimen pada PRU 2018.

DUN Air Putih memang selamat tetapi pengundi Air Putih mahu calon tempatan seperti Ustaz Zulkifli Sulong. Cukuplah orang luar jadi calon sejak tahun 1999, Dr Ramli Taib, Wan Ahmad Nizam dan Wan Hakim. Kali ini pengundi Air Putih mahu anak tempatan.

Kalau nak letak calon wanita di kerusi selamat di Kemaman letak sama ada di DUN Kijal atau di DUN Kemasik. Di Kijal, bekas MB, Ahmad Said dijangka tidak mahu bertanding lagi maka kerusi itu yang menjadi rebutan calon lelaki wajar diberi kepada Ketua Puteri Umno Kemaman, Shaheda Jusoh. 

Berkelulusan kejuruteraan kimia, meletakkan Shaheda boleh beri kemenangan  di DUN Kijal. Atau jika Shaheda tiada rezeki jadi calon, letak Asfalinda Anuar, Exco Puteri Umno Malaysia di DUN Kemasik. Beliau adalah aktivis belia sebagai Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).

Asfalinda mampu menang di DUN Kemasik menggantikan Ir Rosli yang sudah dua penggal menjadi ADUN Kemasik. Di bahagian lain calon wanita sukar menang tetapi kalau letak seorang calon wanita sama ada di DUN Kijal atau di DUN Kemasik, saya yakin calon wanita itu boleh menang dan mencatat sejarah sebagai ADUN wanita pertama selepas tahun 1969. Terpulang kepada Razif buat pilihan.