Ahad, September 14, 2014

GELARAN USTAZ DIBERI OLEH MASYARAKAT KATA MAT RAZI

TUMPAT, 14 Sept (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail berkata beliau tidak meminta dipanggil 'ustaz', namun itu gelaran yang diberikan masyarakat atas khidmat bakti beliau membina Pondok Agama Simpangan di sini. Mat Razi berkata walaupun beliau merupakan bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Pengurusan Sekolah) Tumpat dan berpakaian formal ketika berada di pejabat, namun ia tidak menghalang beliau memakai jubah di rumah. "Soal panggilan adalah perkara biasa dan bukan satu masalah kepada saya. Kita sebagai pegawai kena pakai pakaian rasmi bila bertugas. Bila di rumah saya berjubah dan perkara ini bukan dilakonkan. Kalau esok nak diumum jadi calon hari ini baharu nak berjubah, ia akan nampak 'kekok'," katanya kepada pemberita selepas bertemu penduduk di Kampung Kajang Sebidang dan Kampung Telok Jering di sini, hari ini. Mat Razi, 48, menjawab tuduhan dilemparkan calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, yang menganggap beliau tidak layak dipanggil ustaz kerana pernah bekerja sebagai penjawat awam dan berpakaian formal ketika menjalankan tugas. Laporan media sebelum ini melaporkan Wan Rosdi memperlekehkan Mat Razi dengan menuduh bekas pegawai kerajaan itu sebagai ustaz yang kurang kewibawaannya seperti digembar-gemburkan. Mengulas mengenai penerimaan masyarakat terhadap beliau, Mat Razi berkata penerimaan masyarakat setakat ini amat baik dan ada yang bersyukur selepas beliau diumumkan sebagai calon BN bagi DUN itu. "Ini mungkin kerana saya sentiasa bersama Allahyarham (Datuk Noor Zahidi Omar) membantu penduduk terutama dalam soal pendidikan anak-anak di sini," katanya. Dalam pada itu, Mat Razi sekali lagi mengulangi pendirian beliau untuk terus membantu masyarakat dalam DUN Pengkalan Kubor bagi meneruskan legasi yang ditinggalkan Allahyarham Noor Zahidi. "Insya Allah jika saya dipilih sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), saya akan teruskan projek-projek terbengkalai yang tidak sempat disempurnakan oleh Allahyarham selepas beliau jatuh sakit," katanya.
PRK DUN Pengkalan Kubor menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mat Razi, Wan Rosdi dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary, 47. PRK DUN itu diadakan berikutan kematian Noor Zahidi, 57, akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas. Pada pilihan raya umum tahun lepas, Allahyarham Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 25 Sept ini. -- BERNAMA FBA BD MK