Sabtu, Disember 15, 2018

KENAPA DAP TAKUT AHLI PARLIMEN UMNO MASUK BERSATU?

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusannya menerima bekas pemimpin UMNO untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), meskipun ia dilihat kurang disenangi oleh rakan parti komponen Pakatan Harapan.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Bersatu, berkata permohonan mereka itu bagaimanapun dinilai terlebih dahulu sebelum diterima masuk.

"Orang UMNO ada yang baik, pun ada yang jahat. Yang jahat kita tak terima, yang baik kita terima la. Saya sendiri ahli UMNO.

"Dia orang terima saya. (Penasihat DAP Lim) Kit Siang terima saya," katanya kepada wartawan selepas menghadiri sambutan 20 tahun Muzium Kesenian Islam di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan sekumpulan pemimpin UMNO yang telah keluar parti dalam minggu ini.

Rabu lepas, lima anggota Parlimen, sembilan ADUN dan dua Senator UMNO Sabah telah mengisytiharkan keluar parti itu.

Hari ini, Ketua Penerangan UMNO Datuk Shamsul Anuar Nasarah mengesahkan enam lagi Anggota Parlimen UMNO keluar daripada parti itu, iaitu Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Ditanya mengenai keputusan beliau itu yang dilihat kurang disenangi PKR dan DAP, Dr Mahathir berkata terdapat juga pihak pihak dalam Bersatu yang tidak bersetuju dengan langkah tersebut, namun beliau menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang 'personal'.

Tegasnya anggota Parlimen dan ADUN daripada UMNO yang ingin menyertai Bersatu mesti memenuhi syarat yang ditetapkan.

Katanya ini termasuk keluar daripada parti sekarang dan menjadi wakil rakyat Bebas selain menyatakan sokongan mereka terhadap kerajaan Pakatan Harapan.

"Selepas itu, kami akan menilai setiap individu, baru boleh masuk," katanya.

Beliau berkata mereka yang mahu menyertai Bersatu juga perlu bebas daripada sebarang rekod jenayah.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata setiausaha politiknya Muhammad Zahid Md Arip yang dikaitkan dengan pertuduhan rasuah melibatkan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad masih lagi berkhidmat memandangkan beliau belum lagi didapati bersalah.

Muhammad Zahid dikaitkan dalam sembilan daripada 10 pertuduhan rasuah yang dibuat terhadap Mohd Isa, dinamakan sebagai orang tengah bagi membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh pihak Syarikat FIC Sdn Bhd yang bernilai RM160 juta.

Mohd Isa hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Syarikat Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

-- BERNAMA