Jumaat, September 22, 2017

PEMILIK TAHFIZ KENA DIAMBIL TINDAKAN JIKA IA TIADA KELULUSAN BOMBA

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Hasil siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mendapati kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini disebabkan unsur khianat boleh membersihkan nama baik pusat tahfiz berkenaan, kata Pengetuanya Mohd Zahid
Mahmood.

"Sebelum ini kami dikecam, dilemparkan pelbagai tuduhan. Malah pusat tahfiz lain juga menjadi sasaran kononnya tidak mengutamakan aspek keselamatan. Saya tidak marah dan menerima segala kecaman kerana tahu Allah SWT akan memberikan pertolongan kepada kami.

"Mustahil kami mengabaikan keselamatan anak-anak ini kerana kami bertanggungjawab menjaga mereka dengan baik kerana ia adalah amanah ibu bapa mereka kepada kami, "katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim semalam bahawa kebakaran pusat itu disebabkan sengaja dibakar.

Seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat itu terkorban akibat terperangkap di asrama pusat itu pada 5.15 pagi Khamis lepas


Ulasan saya, walaupun hasil siasatan Bomba menunjukkan ada unsur khianat tetapi jika benar tahfiz tersebut tiada kelulusan Bomba maka tindakan sewajarnya perlu diambil kepada pemilik tahfiz supaya ia memberi pengajaran kepada tahfiz tahfiz lain.

PEGAWAI HUTAN JERANTUT ADA AKAUN BERSAMA RM6.9 JUTA

KUANTAN, 20 Sept (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM15,000 terhadap Pegawai Hutan Daerah Jerantut Zainal Abidin Maskon setelah dia mengaku bersalah atas lima pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM340,000 daripada sebuah syarikat pembalakan sejak Julai 2016.

Zainal Abidin, 33, membuat pengakuan bersalah setelah pertuduhan pilihan itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang


memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dia didakwa menerima untuk diri sendiri wang berjumlah RM340,000 daripada Pengurus Syarikat P&K Trading, Yiang Kwai Seng yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja rasminya melibatkan urusan permohonan lesen pembalakan di Hutan Simpan Tekam serta Hutan Simpan Tekai dalam Mukim Tembeling, Jerantut milik Yayasan Pahang serta Bakat Bijak Sdn Bhd.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Malayan Banking Berhad dan Maybank Malaysia Berhad cawangan Kuantan masing-masing pada 1 Julai 2016; 24 Jan serta 21 Jun lalu, keseluruhannya melibatkan jumlah sebanyak RM340,000.

Dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili peguam Hon Kai Ping, Datuk Ng See Teong serta Muhammad Irwan Bidin memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman yang ringan memandangkan ia merupakan kesalahan pertama dan tertuduh juga telah kesal dengan kesalahan yang dilakukan.

"Dia juga mempunyai tiga orang anak yang masih kecil masing-masing berusia dua, empat dan enam tahun, serta seorang isteri yang tidak bekerja," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mohamad Fadhly Mohd Zamry meminta mahkamah menjatuhkan hukuman seberat-beratnya kerana tertuduh telah menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap Jabatan Perhutanan Pahang.

"Perbuatan tamak tertuduh juga telah menjejaskan alam sekitar dan sumber alam kawasan yang terlibat, malah wang tunai sebanyak RM47,000 turut dijumpai di dalam pejabat semasa serbuan dilakukan pada 11 Sept lalu," katanya.

Dalam prosiding yang sama pihak mahkamah juga dimaklumkan tertuduh turut mempunyai akaun bersama dengan pemilik syarikat pembalakan berkenaan dan unit amanah berjumlah RM6.09 juta untuk tujuan kegunaannya.

Sehubungan itu Mohamad Fadly memohon wang tunai itu dilucutkan hak daripada pemilikan tertuduh manakala RM6.09 juta lagi akan dilucut hak dalam prosiding berasingan selepas ini.

-- BERNAMA