Ahad, Mei 27, 2018

KERAJAAN NEGERI BN DISERU BEKERJASAMA DENGAN KERAJAAN PH

TEMERLOH, 27 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri bawah Barisan Nasional (BN) diseru bekerjasama dengan kerajaan pusat pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan mereka terus menerima bantuan untuk membangunkan negeri ini.

Anggota Parlimen Temerloh Anuar Tahir berkata menjadi pembangkang untuk kali menyebabkan BN dalam keadaan tersepit dalam mendapatkan dana bagi mentadbir negeri terutama menjelaskan hutang yang mencecah berbilion ringgit.

"Kerajaan negeri berhutang lebih satu bilion...kalau nak hutang lagi nak kena bincanglah, kerajaan PH tidak akan menganiaya rakyat, sebagai wakil rakyat PH saya sendiri bekerjasama dengan kerajaan negeri BN."

"Kita akan mencari titik temu di mana boleh bekerjasama...kalau mereka sudi bekerjasama ia lagi baik," katanya pada sidang media selepas mengadakan program bertemu pengundi di Pekan Sehari Temerloh di sini hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Anuar berkata beliau mengalu-alukan lebih ramai penduduk Temerloh untuk tampil menyatakan pendapat tentang pembangunan yang diperlukan di kawasan itu.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatian dan pendapat yang diterima setakat ini, ramai penduduk Temerloh mahukan sebuah institusi pengajian tinggi yang berlainan daripada daerah lain di negeri ini..