Jumaat, Jun 01, 2018

IIM BERHARAP AKTA DERMA POLITIK DAPAT DIBENTANG DI PARLIMEN

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Institut Integriti Malaysia (IIM) berharap draf Akta Derma dan Perbelanjaan Politik dapat dibentang di Parlimen dengan secepat mungkin berikutan pembentukan kerajaan persekutuan baharu oleh Pakatan Harapan.

Ketua Jawatankuasa Perundingan Kebangsaan mengenai Pembiayaan Politik Amerul Muner Mohammad berkata sebuah sekretariat yang ditubuhkan pada 2016 telah menggubal 32 syor, tetapi belum dapat mengemukakan kepada Parlimen.

"Bagaimanapun, kami berharap kerajaan baharu akan mempercepatkan urusan ini kerana isu politik sangat penting di bawah sistem baharu politik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat dengan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) di sini, hari ini.

Daripada beberapa badan penting, Kabinet melantik IIM sebagai sekretariat bagi urusan penyediaan draf Akta itu sejak 2016, dan antara perkara yang disyorkan ialah keperluan menubuhkan sebuah badan bebas untuk memantau pembiayaan politik di negara ini bagi mengelak berlaku penyalahgunaan dana yang disalur melalui pembiayaan seperti itu.

Amerul Muner berkata sekretariat itu juga telah mengemukakan semua syor berkenaan kepada IRC dengan harapan jawatankausa itu dapat menyemak serta menghalusinya dan menjadikannya undang-undang baharu.