Jumaat, Disember 17, 2010

AKHIRNYA KARIM SERTAI PKR


Bekas pemimpin Umno Sabah yang juga individu yang bertanggungjawab membawa parti dari Semenanjung ke negeri itu, Datuk Karim Ghani secara rasmi menyertai PKR.

"Saya rasa berbesar hati kerana PKR menerima saya," kata Karim yang sebelum ini pernah bersama Parti Bersatu Kebangsaan Sabah (Usno).

"Saya telah serahkan borang permohonan terus ke ibupejabat PKR."

Menurutnya, beliau sebelum ini telah menyatakan hasratnya untuk menyertai PKR kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sabah Ahmad Thamrin Jaini dan beberapa lagi pemimpin cabang di Sabah.

Ketika ditanya tentang alasan menyertai PKR, beliau berkata alasannya sama apabila beliau membuat keputusan untuk meninggalkan Umno Sabah.

"Pakatan telah berjanji akan mengembalikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak dan berjanji akan menyerahkan 20 peratus royalti minyak kepada kedua-dua negeri ini," kata Karim.

"Ini sama seperti yang saya nyatakan dalam surat perletakkan jawatan kepada Umno Sabah.

"Umno buat saya seperti duduk di tepi 'jamban'," perlinya.

Karim berkata, janji bahawa autonomi Sabah akan dihormati akan membantu ahli Usno bangkit menentang Parti Bersatu Sabah (PBS).

ZAID SAH JADI PRESIDEN KITA


Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini mengesahkan kedudukan Zakaria Salleh sebagai Presiden Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) atau nama barunya, parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), bukannya Hanafi Hamat.

Pengesahan tersebut sekali gus mengiktiraf peralihan kuasa parti itu yang menyaksikan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim dilantik sebagai Ketua KITA yang baru berkuatkuasa semalam.

Sumber ROS Kelantan memberitahu, ekoran aduan yang dikemukakan Hanafi akhir tahun lalu, pihaknya telah mengeluarkan notis di bawah Akta Pertubuhan yang meminta pengurusan AKIM mengemukakan laporan dan penjelasan mengenai isu yang dibangkitkan.

"Setelah semakan terperinci dan siasatan dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan, ROS mendapati pelantikan Zakaria Salleh sebagai Presiden adalah sah mengikut Perlembagaan parti itu.

"Buktinya ROS Kelantan telah menerima salinan surat pengesahan rasmi bertarikh 20 Oktober lalu yang dikeluarkan ibu pejabat ROS di Putrajaya kepada pihak pengurusan AKIM yang beralamat di Kampung Wakaf Lanas, Pasir Puteh," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.