Jumaat, Disember 17, 2010

ZAID SAH JADI PRESIDEN KITA


Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini mengesahkan kedudukan Zakaria Salleh sebagai Presiden Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) atau nama barunya, parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), bukannya Hanafi Hamat.

Pengesahan tersebut sekali gus mengiktiraf peralihan kuasa parti itu yang menyaksikan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim dilantik sebagai Ketua KITA yang baru berkuatkuasa semalam.

Sumber ROS Kelantan memberitahu, ekoran aduan yang dikemukakan Hanafi akhir tahun lalu, pihaknya telah mengeluarkan notis di bawah Akta Pertubuhan yang meminta pengurusan AKIM mengemukakan laporan dan penjelasan mengenai isu yang dibangkitkan.

"Setelah semakan terperinci dan siasatan dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan, ROS mendapati pelantikan Zakaria Salleh sebagai Presiden adalah sah mengikut Perlembagaan parti itu.

"Buktinya ROS Kelantan telah menerima salinan surat pengesahan rasmi bertarikh 20 Oktober lalu yang dikeluarkan ibu pejabat ROS di Putrajaya kepada pihak pengurusan AKIM yang beralamat di Kampung Wakaf Lanas, Pasir Puteh," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.