Ahad, Februari 24, 2019

PH TUBUH SATU SEKSYEN SEMAK MANIFESTO PRU 14

BANGI, 24 Feb (Bernama) -- Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menubuhkan satu seksyen khas bagi menyemak dan memformulasi semula manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) agar dapat disesuaikan dengan keadaan semasa.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah berkata langkah itu diambil bagi memastikan janji PRU14 dapat dilaksanakan dengan mengambil kira kekangan yang dihadapi kerajaan sekarang.

Seksyen ini diwujudkan kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi PH amat prihatin dengan perkara yang dijanjikan dalam manifesto pada PRU14, katanya ketika ditemui selepas menutup Karnival Sukan Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara Ansara di Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini hari ini.

KEHADIRAN "BOSSKU" TAK ADA KESAN DI SEMENYIH



HULU LANGAT 23 Feb. - Kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Semenyih bagi berkempen pilihan raya kecil sama sekali tidak mengganggu Pakatan Harapan (PH).

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana rakyat tahu apa yang terjadi berhubung bekas pemimpin negara yang popular dengan panggilan ‘bossku’ berkenaan.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, apa yang dilakukan Najib, bukan perkara kecil.

“Saya tak mahu sentuh soal peribadi. Tapi soal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), satu dunia tahu. Saya di New York, Toronto jumpa pelabur, jumpa umat Islam, semua bangkitkan. Terkejut mereka tentang penyalahgunaan kuasa, rompakan yang berlaku.

“Tapi saya faham dalam kalangan rakyat, ada yang letakkan harapan terlalu tinggi dan dia (rakyat) rasa dengan kadar masalah harga barang, harga minyak ini, dia (rakyat) rasa kita belum dapatkan tunaikan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu menghadiri majlis sambutan Capgome di Kampung Baru, Semenyih di sini malam ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah calon PH, Muhammad Aiman Zainali dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar