Khamis, Jun 14, 2018

MB HARGAI PENGAWAL KESELAMATAN DAN CLEANER



KUALA TERENGGANU, 13 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu hari ini meraikan pengawal keselamatan dan petugas membersih di Wisma Darul Iman dengan menyalurkan bantuan raya.

Meskipun jumlah bantuan hanya wang tunai RM200 namun ia adalah satu tanda ingatan kepada mereka yang menjalankan tugas sedemikian demi keselesaan dan keselamatan orang ramai yang berurusan dengan kerajaan negeri.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata selain menyalur sumbangan, beliau berharap pertemuan secara bersemuka dan lebih dekat itu mampu mengeratkan lagi silaturahim dan tanda menghargai setiap petugas tanpa mengira pangkat.

"Saya amat berbesar hati dapat bertemu dengan tuan-tuan kerana tugas yang dipukul oleh anda semua merupakan tugas yang berat dan sangat mulia. Begitu juga soal kebersihan yang menjadi penekanan dalam Islam," katanya pada majlis penyampaian bantuan tersebut di sini hari ini.

Pada majlis tersebut Ahmad Samsuri turut memperingatkan semua pihak supaya terus bersama-sama dengan barisan kepimpinan negeri dalam membangunkan Terengganu.

"Jalankan tugas kita semaksima mungkin di mana saya berperanan sebagai Menteri Besar manakala tuan-tuan di unit keselamatan dan kebersihan. Semoga Terengganu menjadi negeri yang maju, diberkati dan rakyat sejahtera," katanya.

Seramai 90 pekerja kontrak iaitu 22 orang pengawal keselamatan dan 68 pekerja kebersihan telah menerima sumbangan itu, masing-masing sebanyak RM200 sempena sambutan hari raya Aidilfitri.

-- BERNAMA