Jumaat, September 24, 2010

MAJLIS KERAJAAN BOLEH HENTAM KERAJAAN


Tiga hari lepas saya telah ikuti majlis ETP di PWTC yang dihos oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala. Agak pelik juga majlis kerajaan ini yang mana ahli panel forum boleh menghentam kerajaan pula.

Lain kali Idris bila nak jemput ahli panel forum hendaklah mempastikan tiada ahli panel yang boleh mengeluarkan kenyataan menghentam kerajaan. Apa yang saya maksudkan ialah kenyataan CEO Air Asia,Tony Fernandez mahu kerajaan berhenti berniaga. Nampak sangat dia ada kepentingan peribadi kerana melihat penerbangan MAS menjadi saingan kepada Air Asia.

Apakah maksud kenyataan beliau ini? Adakah MAS perlu dibubarkan dan semuanya diberi kepada Air Asia untuk monopoli perniagaan penerbangan ini. Kenapa beliau takut bersaing dengan MAS sedangkan MAS sudah biasa mengalami kerugian. Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan mengendalikan MAS sejak Malaya merdeka lagi.

Oleh itu Tony menggunakan forum kerajaan tidaklah wajar kecuali ia diadakan dalam mesyuarat tertutup dengan agensi kerajaan di bawah Kementerian Pengangkutan bolehlah beliau mengemukakan pandangan ini. Kenyataan beliau dibesarkan oleh akhbar bahasa Inggeris yang dikuasai oleh Tan Sri Vincent Tan.

Jadi Vincent Tan turut bersetuju agar kerajaan tidak perlu berniaga lagi. Ini adalah kali kedua Idris Jala membuat kesilapan. Dahulu ketika mengadakan Hari terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi, beliau menjemput ahli parlimen DAP, Tony Pua yang turut mengambil kesempatan menghentam kerajaan. Sudah tentu sebarang kenyataan yang menghentam kerajaan mendapat tepukan gemuruh daripada para hadirin. Saya kira Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menilai semula kedudukan Idris Jala dalam kabinet. Beliau lebih banyak merugikan Barisan Nasional untuk mendapat sokongan rakyat.