Sabtu, Februari 26, 2011

ROSLAN DIPILIH BUKAN KERANA FAKTOR KELUARGA


Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam menolak dakwaan bahawa BN ketandusan calon sehingga terpaksa meletakkan anak bekas ahli parlimen bertanding pada pilihanraya kecil DUN Merlimau pada 6 Mac ini.

Ditanya mengenai dakwaan PAS bahawa calon BN, Roslan Ahmad dipilih atas faktor keluarga, Mohd Ali berkata perkara itu menunjukkan mereka tidak mempunyai modal untuk memburuk-burukkan BN kerana isu keluarga membabitkan semua parti termasuk PAS, PKR dan DAP.

"Walaupun beliau (Roslan) anak Datuk Ahmad tapi Datuk Ahmad dah meninggal 32 tahun dulu. Roslan kebetulan dipilih bukan dia sebab anak ahli parlimen dulu tapi kebetulan dia AJK kawasan dalam parti dicalonkan," katanya.

Beliau menambah Malaysia dijangka menerima nasib seperti Mesir yang dilanda rusuhan baru-baru ini jika PAS memerintah negara ini.

Beliau berkata ini kerana parti tersebut gemar menggunakan pendekatan demonstrasi dalam menangani sesuatu isu yang bukan saja tidak membawa kebaikan kepada rakyat malah turut memburukkan keadaan.

Sebaliknya, kata beliau sistem pilihan raya yang telah diguna pakai negara sejak sekian lama lebih patut menjadi kayu pengukur kepada siapa yang berhak memerintah.

"Rakyat boleh menyatakan pendirian melalui peti undi... demokrasi, sebab itu PAS dapat perintah Kelantan, dapat Kedah, DAP dapat Penang dan PKR dapat selangor.

"Saya percaya rakyat takkan terpengaruh untuk ikut demonstrasi, nak buat demonstrasi untuk apa, kita ada pilihan raya, gunalah, bertandinglah, lawan lah cakap...tapi janganlah fitnah, lepas itu rakyat sendiri akan tentukan," katanya kepada pemberita, di Jasin hari ini.

Beliau turut berharap pengundi di DUN Merlimau, menolak calon PAS Yuhaizad Abdullah yang menurutnya tidak berupaya membawa sebarang kebaikan untuk kawasan itu.

"Beliau ini cuma digunakan oleh PAS untuk menguji pilihan raya umum ke-13, kerana kita juga yang akan selesaikan masalah rakyat jelata, kita mendahulukan rakyat apa-apa hal mengikut dasar 1Malaysia, berbeza dengan PAS yang mendulukan DAP," katanya.

DUA PENJURU DI KERDAU DAN MERLIMAU


Tempoh untuk penyerahan kertas pencalonan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau telah ditutup 10 pagi.

Dua calon telah menyerahkan borang pencalonan iaitu daripada Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Terdahulu, calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad tiba di pusat penamaan calon dan masuk ke dalam dewan kira-kira pukul 9.05 pagi.

Beliau diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kira-kira 5,000 penyokong.

Calon Pas, Hassanuddin Salim pula masuki dewan kira-kira pukul 9 pagi.

Selain Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, turut mengiringi calon tersebut ialah pemimpin DAP, Lim Kit Siang.

Di Merlimau pula, nama kedua-dua calon kini dipamerkan untuk memberi laluan kepada bantahan.

Calon Barisan Nasional (BN), Roslan Ahmad dan calon Pas, Yuhaizad Abdullah memasuki pusat penamaan calon di Politeknik Merlimau di sini pada pukul 9.06 pagi ini bagi menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding Pilihan Raya Kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau. – Utusan