Rabu, Mac 18, 2009

DATO' ABDUL JALIL YUSOP, DJUJ,PMC, PJK DALAM KENANGAN

Dah tiga hari saya tak sempat update blog ini. Kebetulan semalam 17 Mac, kami sibuk berpindah ke pejabat baru di Taman Putra Sulaiman berhampiran Ampang Point. Manakala kelmarin, Isnin, 16 Mac kami sibuk di Tanjong Ipoh, Kuala Pilah menghadiri majlis pengkebumian seorang wartawan WATAN, Dato' Abdul Jalil Haji Yusop

Beliau telah menerima gelaran Dato' (DJUJ), Orang-Orang Besar Undang Johol dari istana Sri Menanti Kuala Pilah pada tahun 2003 tetapi beliau adalah seorang low profile. Selain dari itu beliau menerima pingat PMC (2005) dan PJK (2002). Tiada seorang pun di antara kami mengetahui beliau adalah seorang Dato' bergelar.

Beliau menyertai WATAN pada awal Disember 2008.Pada mulanya sebagai Web Editor dan akhirnya sebagai News Editor menggantikan Shahilan M. Alias apabila Shahilan meletakkan jawatan pada Januari lalu. Saya mula kenali beliau ketika berada di Kumpulan Karangkraf pada tahun 1987. Ketika itu beliau bersama Bacaria yang sebumbung dengan akhbar WATAN.

Apabila kami menerbitkan semula akhbar WATAN pada Ogos 2008, beliau turut memohon jawatan sebagai wartawan WATAN. Pada awal Disember lalu beliau menyertai kami dan beliau sempat bersama kami selama tiga bulan sahaja.

Kami terkejut bila beliau diserang sakit jantung kerana sebelum ini beliau tidak pernah menghidap penyakit tersebut. Berusia 51 tahun, beliau seorang yang suka bergurau. Ketika wartawan WATAN, Shukri Hashim meninggal dunia pada 17 Disember lalu, beliau banyak bergurau dengan aruah sehari sebelum beliau meninggal. Tidak sangka pula Dato' Jalil pula mengikut jejak langkah Shukri dalam tempoh tiga bulan.

Kali terakhir saya menemui Jalil pada hari Isnin, 9 Mac, minggu lepas pada hari deadline. Hari itu saya ada hal di The Mall dan saya callnya suruh dia datang awal ke pejabat. Bila dia sampai jam 11 pagi, dia pun kata saya nak keluar bolehlah. Sambil bergurau dia tanya saya, "Boss, hari ini nak jumpa janda mana pulak?". Saya tidak menjawab gurauannya itu.

Keesokannya, Selasa 10 Mac, dia tidak datang ke pejabat kerana katanya dia kurang sihat. Lusanya, Rabu 11 Mac, saya datang ke pejabat sekejap sahaja dan tak sempat menemuinya. Saya amat terasa kehilangannya kerana beliau adalah seorang rakan yang banyak membantu saya sepanjang berada di akhbar WATAN.

Beliau adalah seorang yang dedikasi. Walaupun tinggal jauh di Meru, dia tetap datang awal ke pejabat dan pulang lambat. Beliau jarang membantah jika ada assigment last minute. Dia akan patuhi tugasan itu walaupun terpaksa balik lambat.

Sesungguhnya WATAN telah kehilangan seorang wartawan yang dedikasi. Al Fatihah buat aruah Dato' Jalil dan takziah buat keluarganya. Beliau meninggalkan seorang balu, Datin Kamariah binti Mat Isa dan empat orang anak, seorang lelaki dan tiga perempuan, Mohd Farhan, 18 tahun; Nazurah, 17 tahun;Afiqah Farhanah, 12 tahun dan Athirah Suhailah, 11 tahun.