Isnin, Julai 19, 2010

JEJAS SOKONGAN AKAR UMBI


Bekas Ketua UMNO Bahagian Setiu, Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor berkata punca empat ADUN ‘menghilangkan diri’ daripada mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Setiu Jumaat lalu disebabkan tiada permuafakatan barisan kepimpinan.

Beliau memberi amaran, jika dibiar berterusan akan menjejaskan keyakinan ahli akar umbi terhadap keupayaan parti.

Beliau berkata, masalah itu berpunca akibat pelantikan Pengerusi Penyelaras DUN yang tidak diberi kepada wakil rakyat, sedangkan Perhubungan UMNO negeri menjelaskan setiap wakil rakyat patut menyandang jawatan itu.

“Urusan penentuan peruntukan pembangunan serta melantik Ahli Majlis Daerah, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Setiu diputuskan Ketua Bahagian UMNO hingga mengetepikan terus peranan wakil rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, UMNO Setiu tidak akan mengambil tindakan terhadap empat wakil rakyat yang tidak hadir pada mesyuarat perwakilan bahagian itu Jumaat lalu yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan dan berharap isu itu dapat diselesaikan secara rundingan.

Ketua UMNO Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee, berkata mengikut perlembagaan parti, tindakan boleh diambil terhadap mereka, tetapi beliau tidak mahu perkara itu berlaku dan berharap masalah diselesaikan menerusi permuafakatan dalam mesyuarat bahagian.

“Saya bertanggungjawab penuh atas apa yang berlaku dalam bahagian dan tidak mahu perkara ini dipanjangkan demi masa depan parti dan kepercayaan rakyat kepada UMNO,” katanya selepas Majlis Pelancaran Local Agenda 21, Majlis Daerah Setiu 2010 di Mini Stadium Sungai Tarom di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan menghantar laporan kepada Badan Perhubungan UMNO negeri berhubung mesyuarat perwakilan yang tetap berjalan sempurna tanpa kehadiran empat wakil rakyat berkenaan yang turut memegang jawatan dalam UMNO bahagian itu.

Empat wakil rakyat UMNO termasuk dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dalam Parlimen Setiu, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Khazan Che Mat yang juga Ketua Pemuda; ADUN Langkap, Asha'ari Idris (Timbalan Ketua Bahagian), ADUN Permaisuri, Abd Halim Jusoh (Naib Ketua) dan ADUN Jabi, Ramlan Ali tidak hadir pada mesyuarat itu.

Mengulas lanjut, Mohd Jidin yang juga Ahli Parlimen Setiu berkata, ketidakhadiran wakil rakyat berkenaan mungkin disebabkan masalah peribadi yang tidak seharusnya dicampur aduk dengan urusan parti.

“Ini bukan masalah baru dalam UMNO Setiu dan kegagalan mereka hadir dalam mesyuarat bahagian amat mengecewakan dan saya tidak tahu puncanya,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dilaporkan kecewa dan membidas empat wakil rakyat berkenaan yang disifatkan sebagai tidak menghormati Muhyiddin yang sanggup datang jauh untuk merasmikan mesyuarat bahagian itu.