Khamis, September 20, 2018

TAHNIAH KEPADA DATUK OTHMAN KELUARAN MRSM SEREMBAN BATCH PERTAMA DILANTIK PENGARAH BESAR FELDA



KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini melantik Datuk Dr Othman Omar sebagai Pengarah Besar Felda yang baharu berkuat kuasa 1 Oktober 2018.

Pengerusi Felda Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor berkata Othman akan menggantikan Datuk Ab Ghani Mohd Ali yang akan bersara selepas berkhidmat dengan agensi kerajaan tersebut selama 37 tahun.

“Dr Othman mempunyai pengalaman yang luas bukan hanya dalam sektor korporat, tetapi juga bersama agensi kerajaan semasa di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Megat Zaharuddin berkata, setelah terlibat dalam beberapa projek penjenamaan semula, pembangunan usahawan, transformasi dan penstrukturan, ahli lembaga berpendapat Othman memiliki kemahiran dan kebolehan untuk menerajui kumpulan Felda dalam mengatasi cabaran semasa.

Beliau juga mampu membangunkan organisasi dan warga Felda ke arah visi Felda iaitu menjadi pemacu pembangunan penempatan negara yang progresif, katanya.

--BERNAMA

SEPATUTNYA ANIFAH KELUAR UMNO MASA BN BERKUASA KERANA GAGAL KAJI MA63



KOTA KINABALU, 19 Sept (Bernama) — Bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata keputusannya keluar daripada UMNO dibuat sebagai memenuhi janjinya kepada pengundi kawasan Parlimen Kimanis dan rakyat Sabah bahawa beliau akan keluar daripada UMNO sekiranya Barisan Nasional (BN) gagal memenuhi janjinya dalam perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata tanpa UMNO dan BN di tampuk kekuasaan, perjuangannya untuk mengembalikan hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam MA63 itu tidak akan membuahkan hasil.

“Bagaimanapun saya juga berpegang erat kepada apa yang telah saya janjikan sebelum ini iaitu saya akan meletakkan jawatan sekiranya perjuangan saya untuk rakyat Sabah di bawah payung parti ini tidak dapat diteruskan.

“Perjuangan saya di dalam politik selama ini adalah sangat jelas. Saya bertegas mahukan rakyat Sabah mendapat layanan sama rata dan setiap hak mereka dilaksanakan sepenuhnya, tanpa sebarang dalih dan alasan, jauh sekali dipertikaikan oleh mana-mana pihak sekali pun sama ada di dalam mahupun di luar parti. Ini kerana Perjanjian Malaysia 1963 ialah titik mula penubuhan sebuah negara persekutuan yang kita kenali sebagai Malaysia pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anggota Parlimen Kimanis yang meletakkan semua jawatannya dalam UMNO di peringkat bahagian dan anggota majlis tertinggi parti itu berkata walaupun beliau tidak lagi di dalam UMNO,beliau tetap akan meneruskan perjuangan demi kepentingan rakyat Sabah.

Anifah berkata beliau tetap akan menjalankan tanggungjawab sebagai Anggota Parlimen Kimanis dalam mengetengahkan kepentingan dan harapan para pengundi di kawasan Parlimen Kimanis .

Pada masa sama katanya beliau mahu Kerajaan Pakatan Harapan komited di dalam melaksanakan janji-janji mereka terutamanya mengembalikan hak Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.

“Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Presiden Parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan keseluruhan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional Pusat serta Negeri di atas kepercayaan serta sokongan terhadap saya selama ini,” katanya.

Anifah turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyokong-penyokongnya terutama sekali anggota UMNO Bahagian Kimanis dan kepimpinan UMNO bahagian Kimanis atas segala keyakinan dan sokongan yang telah diberikan kepadanya selama ini.

—BERNAMA