Jumaat, Oktober 05, 2018

STEVIE CHAN MAKIN KURUS SELEPAS JADI CALON BEBAS



PORT DICKSON, 4 Okt (Bernama) -- Berjalan kaki lebih dua jam setiap kali berkempen, calon Bebas Pilihan Raya Kecil Port Dickson Stevie Chan Keng Leong akui berat badannya semakin menyusut walaupun baru lima hari turun berkempen.

Personaliti media sosial itu berkata kaedah berkempen 'walkabout' yang diamalkannya di kawasan tumpuan pengundi, memerlukan dia berjalan sekurang-kurangnya tiga kilometer di setiap kawasan untuk bertemu pengundi.

"Bagi calon lain, mereka lebih banyak berkempen secara berpidato atau berceramah yang memerlukan mereka berdiri di satu tempat tertentu, (tapi) saya pula banyak berjalan ke kawasan pengundi, lama-lama badan jadi kurus juga,” katanya ketika ditemui Bernama sedang jenuh berkempen di sekitar sini baru-baru ini.

“Bila lihat balik gambar sendiri pada poster kempen, dalam poster lagi gemuk daripada sekarang. Secara purata saya habiskan dua hingga tiga jam berjalan dan meluangkan masa bersama pengundi setiap hari," tambahnya.

Beliau berkata, kawasan tumpuan umum seperti restoran, medan selera dan tempat riadah di sepanjang persisir pantai pusat peranginan itu adlh antara lokasi utamanya untuk mendekati pengundi.

Kata Stevie sebagai calon Bebas, beliau tidak mempunyai bilik gerakan, pondok panas serta jentera kempen yang ramai berbanding calon daripada parti politik.

Biarpun tidak terikat dengan jadual kempen yang padat, namun secara purata, dua hingga tiga sesi walkabout dijalankan setiap hari, katanya.

Stevie adalah antara lima calon Bebas yang akan turut berentap dengan calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dalam saingan tujuh penjuru merebut kerusi Parlimen Port Dickson pada 13 Okt ini.

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi itu pada 12 Sept lepas untuk memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR, bertanding untuk kembali ke Parlimen.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 13 Okt ini, manakala pengundian awal pada 9 Okt.

-- BERNAMA