Memaparkan catatan dengan label prk port dickson. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label prk port dickson. Papar semua catatan

Ahad, Oktober 14, 2018

PENGUNDI PORT DICKSON SUDAH PILIH ANWAR, MAKA ANWAR KENA BALIK PD DUA MINGGU SEKALI

PORT DICKSON:  Bakal Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan tidak akan sesekali mengkhianati amanah yang diberikan.

Ketua Umum PKR itu berkata, kemenangan diperoleh membuktikan majoriti pengundi memilihnya sebagai wakil rakyat mereka.

“Saya terharu kerana kemenangan di luar jangkaan ini, dukungan rakyat begitu kuat dan padu daripada pengundi Port Dickson.

“Saya ingin beritahu kepada semua terutama pengundi Port Dickson dan rakan di seluruh negara, saya tidak akan mengkhianati amanah itu,” katanya di sini, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sulungnya di hadapan penyokong dan jentera selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson hari ini.

Yang turut hadir, isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar berkata, undi popular sebanyak 70 peratus diperolehnya membuktikan penerimaan semua kaum terhadapnya.

“Majoriti orang Melayu di Port Dickson memilih Pakatan Harapan (PH), kaum Cina sekali lagi membuktikan dukungan mereka kepada PH serta kaum India tanpa ragu memilih PH.

“Tentera yang dahulunya tidak memihak kepada kita, undi mereka melonjak 122 peratus. Ini trend yang sangat menyenangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyokongnya sepanjang tempoh berkempen.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua penyokong dan jentera parti yang bekerja keras memastikan kemenangannya.

“Ditakdirkan menjadi Ahli Parlimen, dan Insya-Allah menjadi Perdana Menteri, saya bercita-cita menjadikan negara bebas rasuah, membawa negara ini ke arah yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu Bernama melaporkan bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini selangkah bakal Perdana Menteri kelapan selepas menang bergaya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson hari ini.

Anwar memperoleh 31,016 undi, menewaskan calon PAS. Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar (7,456 undi) dan lima calon bebas; bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan (82 undi), bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (4,230 undi), Lau Seck Yan (214 undi), personaliti media sosial Stevie Chan (337 undi) dan Kan Chee Yuen (154 undi).

Sejarah menyaksikan pada dua puluh tahun lepas, figura penting politik ini dipecat daripada kerajaan, dipenjara atas tuduhan liwat sebelum bermulalah laungan reformasi yang akhirnya membentuk penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selepas dibebaskan dari penjara pada 2004 dan disekat daripada terlibat politik selama lima tahun, Anwar kembali ke pentas politik dengan menjadi calon PRK Permatang Pauh pada 2008.

Beliau yang memenangi PRK itu kemudian dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, namun terpaksa kembali ke penjara semula pada 2015 atas tuduhan liwat sebelum mendapat pengampunan diraja pada 16 Mei lepas.

Anwar dikenali sebagai penggerak utama agenda reformasi yang akhirnya membawa satu perubahan dalam landskap politik negara melalui perjuangan yang penuh liku.

Dilahirkan pada 10 Okt, 1947 di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Anwar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Cherok Tok Kun dan Sekolah Stowell.

Beliau menyambung ke pengajian menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar dari 1960 hingga 1966 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Melayu (Sastera) di Universiti Malaya dari 1967 hingga 1971.

Anwar, yang menerajui Yayasan Anda dan pertubuhan bukan kerajaan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), mula terlibat dalam politik apabila menyertai UMNO pada 1982 dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum keenam pada tahun yang sama.

Beliau bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh dan menang dan seterusnya mempertahankan kerusi itu dalam beberapa lagi pilihan raya umum.

Bintang Anwar cerah dan langkahnya pantas dalam politik apabila dilantik ke pelbagai jawatan dalam kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Beliau bermula sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1982, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983), Menteri Pertanian (1984), Menteri Pendidikan (1986) dan Menteri Kewangan (1991).

Beliau yang dianggap sebagai 'anak didik' Mahathir kemudian dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1993 sebelum dipecat pada 1998.

Kini, selaku wakil rakyat kawasan Port Dickson yang terkenal sebagai destinasi pelancongan dan percutian popular, Anwar meneruskan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri kelapan seperti yang dipersetujui Pakatan Harapan sebelum ini.

Anwar dijangka mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen Port Dickson pada persidangan Dewan Rakyat Isnin ini.

Rabu, Oktober 10, 2018

ORANG YANG KATA PORT DICKSON TIDAK MEMBANGUN KENA CEK MATA

PORT DICKSON: Bekas Ketua Umno Bahagian Port Dickson, Tan Sri Isa Samad berkata beliau bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK Port Dickson Sabtu ini kerana Umno tidak bertanding.

Bercakap secara live dalam Facebook Datuk Zaharin Mohd Yasin pagi ini, Isa berkata sepatutnya Umno bertanding kerana  PRK ini adalah peluang terbaik bagi  Umno untuk menghuraikan isu isu yang gagal ditangani oleh kerajaan PH.

"Oleh kerana Umno tak bertanding, maka saya berhenti menjadi ahli Umno dan buat keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas," katanya sambil menerangkan bahawa beliau berhenti menjadi ahli Umno kerana tak mahu esok keluar dalam suratkhabar Isa dipecat dari Umno setelah jadi calon Bebas.

Ditanya jika Umno bertanding dan meletakkan Datuk Seri Mohamad Hassan sebagai calon pada PRK Port Dickson, Isa berkata beliau tidak akan bertanding sebagai calon Bebas tetapi sebaliknya akan menyokong Mohamad Hassan sebagai calon Umno kerana itu adalah keputusan parti.

"Sewaktu saya digantung selama tiga tahun keahlian Umno, saya berkempen untuk BN setiap kali PRK kecuali di Batang Ai, Sarawak. Oleh itu sebagai ahli parti, jika Umno bertanding saya tetap sokong siapa sahaja yang jadi calon." tegasnya.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan menjelaskan bahawa jika ada orang kata Port Dickson tidak membangun, beliau secara berseloroh suruh orang itu cek mata kerana matanya tak terang.

"Port Dickson adalah daerah pelancongan dan sudah banyak perancangan yang dibuat di zaman saya dilaksanakan semasa saya jadi MB malah pengganti saya Mohamad Hassan telah melaksanakannya juga," jelas beliau.

Bercakap trend undi tentera, Isa mendakwa pada PRU lalu BN dapat juga banyak undi tentera tetapi tak dapat mengatasi majoriti PKR di tiga DUN  Chuah, Lukut dan Sri Tanjung kerana majoriti BN menang di DUN Bagan Pinang dan Linggi amat tipis.

"Saya yakin saya akan dapat juga undi tentera kerana hubungan saya dengan tentera amat baik. Walaupun saya bukan lagi wakil rakyat tetapi hubungan kami amat baik," katanya.

Isa yang pernah jadi Pengerusi FELDA menegaskan bahawa beliau bertanding kerana menentang calon PKR dan calon PAS yang merupakan musuh tradisi Umno.

Oleh itu beliau yakin para pengundi di DUN Bagan Pinang dan DUN Linggi akan mengundi beliau sebagai proksi  Umno setelah Umno tidak bertanding.

Beliau menyeru semua ahli Umno turun mengundi beramai-ramai Sabtu ini kerana itu adalah hak ahli Umno untuk mengundi walaupun parti mengambil keputusan untuk boikot PRK Port Dickson.




Isnin, Oktober 08, 2018

7,191 PENGUNDI AWAL AKAN TENTUKAN NASIB ANWAR HARI INI

PORT DICKSON, 8 Okt (Bernama) -- Seramai 7,191 daripada jumlah keseluruhan 7,268 pengundi awal yang terdiri daripada warga Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil Port Dickson esok.

Seramai 77 orang selebihnya iaitu 23 anggota polis dan 54 anggota tentera akan mengundi secara pos.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Azhar Azizan Harun berkata, daripada 7,191 pengundi itu, seramai 6,636 orang anggota tentera dan pasangan mereka akan mengundi di Hangar, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) dan di Dewan Serbaguna, Kem Segenting PD, manakala seramai 555 anggota polis akan mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

"Pusat pengundian awal akan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5.30 petang, kecuali tiga saluran di IPD Port Dickson iaitu khemah A, B dan C akan ditutup awal pada jam 12 tengah hari kerana jumlah pengundi yang sedikit.

"Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding di bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan di samping pemerhati-pemerhati Pilihan Raya daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR," katanya dalam kenyataan hari ini.

PRK Parlimen Port Dickson adalah PRK keempat selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong, kesemuanya di Selangor, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.

Azhar Azizan berkata, proses pengiraan undi awal tidak dibuat di tempat mengundi (saluran) selepas pengundian, sebaliknya peti-peti disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis.

Pengiraan undi awal tersebut hanya akan dijalankan pada 13 Okt, iaitu hari pengundian biasa PRK itu, secara berkelompok di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dengan disaksikan oleh ejen calon dan pemerhati pilihan raya yang dilantik SPR, katanya

Jumaat, Oktober 05, 2018

STEVIE CHAN MAKIN KURUS SELEPAS JADI CALON BEBAS



PORT DICKSON, 4 Okt (Bernama) -- Berjalan kaki lebih dua jam setiap kali berkempen, calon Bebas Pilihan Raya Kecil Port Dickson Stevie Chan Keng Leong akui berat badannya semakin menyusut walaupun baru lima hari turun berkempen.

Personaliti media sosial itu berkata kaedah berkempen 'walkabout' yang diamalkannya di kawasan tumpuan pengundi, memerlukan dia berjalan sekurang-kurangnya tiga kilometer di setiap kawasan untuk bertemu pengundi.

"Bagi calon lain, mereka lebih banyak berkempen secara berpidato atau berceramah yang memerlukan mereka berdiri di satu tempat tertentu, (tapi) saya pula banyak berjalan ke kawasan pengundi, lama-lama badan jadi kurus juga,” katanya ketika ditemui Bernama sedang jenuh berkempen di sekitar sini baru-baru ini.

“Bila lihat balik gambar sendiri pada poster kempen, dalam poster lagi gemuk daripada sekarang. Secara purata saya habiskan dua hingga tiga jam berjalan dan meluangkan masa bersama pengundi setiap hari," tambahnya.

Beliau berkata, kawasan tumpuan umum seperti restoran, medan selera dan tempat riadah di sepanjang persisir pantai pusat peranginan itu adlh antara lokasi utamanya untuk mendekati pengundi.

Kata Stevie sebagai calon Bebas, beliau tidak mempunyai bilik gerakan, pondok panas serta jentera kempen yang ramai berbanding calon daripada parti politik.

Biarpun tidak terikat dengan jadual kempen yang padat, namun secara purata, dua hingga tiga sesi walkabout dijalankan setiap hari, katanya.

Stevie adalah antara lima calon Bebas yang akan turut berentap dengan calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dalam saingan tujuh penjuru merebut kerusi Parlimen Port Dickson pada 13 Okt ini.

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi itu pada 12 Sept lepas untuk memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR, bertanding untuk kembali ke Parlimen.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 13 Okt ini, manakala pengundian awal pada 9 Okt.

-- BERNAMA

Khamis, Oktober 04, 2018

SEPETANG DI PORT DICKSON

PORT DICKSON: Petang semalam selepas menemui Baharin Sukari dan Kamri Kamarudin di Al Taqwa Corner di Bandar Seri Putra, saya dan Baha Ibrahim pergi ke Port Dickson untuk meninjau suasana PRK Port Dickson.

Jam 6.30 petang kami tiba di gerai di Batu 4 Port Dickson. Kami makan burger ayam bakar yang berharga RM8.00 sebiji. Kami diberitahu oleh penjual burger bahawa calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim datang bersarapan di warung mereka pagi semalam. Beliau walkabout di Pasar Tani Batu 4 yang terletak dalam DUN Bagan Pinang.

Kami solat maghrib di masjid Bagan Pinang. Selepas itu kami menyelusuri kampung tersebut untuk mencari markas calon Bebas, Tan Sri Isa Samad. Kami tanya pemuda yang makan di sebuah warung di situ tetapi dia tak tahu di mana markas bekas ADUN Bagan Pinang.

Dari situ kami ke kampung Si Rusa menunggu kedatangan Anwar Ibrahim yang akan berceramah di situ pada jam 10 malam. Ceramah dimulakan dengan Haji Rashid dari Persatuan Pahlawan Malaysia. Beliau datang dari KL semata mata berkempen untuk Anwar.

Beliau berkata penduduk Port Dickson sepatutnya bangga kerana Anwar memilih Port Dickson untuk kembali ke parlimen kerana dua tahun lagi Anwar akan jadi PM Malaysia yang datang dari parlimen Port Dickson.

Ahli parlimen Tampin, Dr Hassan Bahrom turut berucap yang mahu pengundi Port Dickson keluar beramai ramai mengundi pada 13 Oktober nanti.

"Yang bertanding ini bakal PM. Kalau majoriti bakal PM sedikit, malu kita penduduk Port Dickson," kata beliau yang mahu PH mengekalkan majoriti 17,710 undi yang dimenangi bekas wakil rakyat, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada PRU Mei lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata beliau mahu pengundi Port Dickson beri kemenangan besar kepada Anwar supaya lebih banyak projek dapat dibawa ke kawasan tersebut.

"Saya akan kaji jika rakyat Bagan Pinang mahu PPR untuk generasi akan datang," kata beliau yang turut membatalkan pemilihan penerima rumah PPR di Kelantan kerana beri rumah PPR kepada mereka yang tidak layak.

"Kita mahu orang yang tiada rumah yang dapat rumah PPR," katanya sambil memberitahu kementeriannya akan berlaku adil kepada semua rakyat Malaysia yang memohon rumah PPR.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang turut berucap di majlis itu yakin pengundi tentera akan tetap bersama Anwar kerana beliau amat perihatin dengan nasib tentera.

Anwar yang berucap di majlis tersebut berkata sudah empat hari beliau berada di Port Dickson berkempen dan puas hati dengan kemesraan pengundi pelbagai kaum yang ditunjukkan kepada beliau.

"Kalau saya bertanding di Permatang Pauh saya sudah tahu kerana mereka adalah saudara mara saya tetapi saya kagum dengan semangat ukhuwah yang ditunjukkan oleh pengundi Port Dickson yang menerima saya di mana saya pergi," katanya.

Sebaik baik sahaja Anwar tiba di tempat ceramah  (ketika Zuraida berucap) beliau terus bersalam dengan orang ramai dan terus ke belakang minum bersama dengan penduduk kampung sambil bergurau senda dengan mereka. Orang kampung ambil kesempatan berselfie dengan Anwar yang bakal menjadi ahli parlimen mereka pada 13 Oktober nanti. Insya Allah.Tepat jam 12 malam kami pulang ke Kuala Lumpur dengan harapan pengundi Port Dickson memberi majoriti yang besar kepada calon PH, Anwar Ibrahim.

Rabu, Oktober 03, 2018

BEKAS ADUN BAGAN PINANG ENGGAN SERANG PERIBADI ANWAR

PORT DICKSON, 2 Okt (Bernama) -- Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menegaskan bahawa beliau tidak akan menyerang peribadi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang kempennya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Calon bebas itu berkata sebaliknya corak kempennya lebih tertumpu kepada khidmat yang pernah diberikan beliau selama ini kepada masyarakat setempat.

"Kalau nak bangkitkan serangan peribadi (Anwar) calon Pakatan Harapan, saya boleh ceritakan sejak tahun 1998 lagi… semua dalam kocek saya, tapi ia tidak eloklah. Bagaimanapun, saya dan Anwar adalah kawan lama," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program 'walkabout' di Kampung Arab dan Air Meleleh di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai serangan beberapa pemimpin PH terhadap dirinya dalam satu program ceramah di Kampung Pitchitan di sini, semalam.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Anwar, Mohd Isa, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar (PAS) dan empat calon bebas termasuk bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Isnin, Oktober 01, 2018

BEKAS AHLI PARLIMEN MIC KEMPEN UNTUK ANWAR



PORT DICKSON: Isu Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku bakal perdana menteri terus dijadikan kempen untuk menarik sokongan pengundi di kawasan Parlimen Port Dickson.

Kali ini ia disuarakan bekas Naib Presiden MIC Datuk S Sothinathan yang juga bekas anggota parlimen Teluk Kemang - nama lama bagi kerusi parlimen Port Dickson - selama dua penggal.

Menyifatkan Anwar sebagai pemberian Tuhan kepada penduduk Port Dickson, beliau berkata mereka bertuah kerana tidak banyak kawasan yang mempunyai perdana menteri sebagai wakil rakyat.

"Sejak kita merdeka, hanya tujuh kawasan parlimen yang mendapat perdana menteri sebagai anggota parlimen. Kini pengundi Port Dickson mampu catat sejarah.

"Maka kita perlu menyokong penuh Anwar dan memberikan kemenangan besar kepadanya pada 13 Oktober ini (hari mengundi)," katanya ketika berucap dalam program Ceramah Perdana DUN Sri Tanjung di Port Dickson, semalam.

Sothinathan yang menang dalam PRK Teluk Kemang pada 2000 menjadi anggota parlimen sehinggalah tewas kepada PKR pada 2008. Beliau yang pernah menjadi timbalan menteri sumber asli dan alam sekitar itu mengambil keputusan untuk keluar MIC pada Ogos lalu.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Port Dickson yang dikenali sebagai destinasi pelancongan mampu dibangunkan setaraf bandar-banda di Lembah Klang.

"Sekarang kita terpaksa ke Kuala Lumpur untuk setiap urusan penting. Selepas saya tamat sekolah, saya perlu ke Kuala Lumpur untuk lanjutkan pelajaran kerana kurangnya institusi pengajian tinggi di sini.

"Saya harap selepas Anwar menang, beliau akan memberi tumpuan khas kepada isu seumpama ini," katanya kepada kira-kira 500 hadirin.

Selain Anwar sendiri, turut hadir di program itu antaranya adalah bekas anggota parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah dan Anggota Parlimen Rasah Cha Kee Chin dan timbalan speaker DUN Negeri Sembilan M Ravi.

Dalam pada itu, Sothinathan berkata penglibatannya dalam kempen Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam PRK ini tidak bermaksud beliau mahu kembali dalam politik.

"Saya sudah bersara daripada politik. Tetapi mengambil keputusan untuk bersama Anwar demi kepentingan penduduk Port Dickson," katanya lagi.

Anwar kini berdepan enam calon dalam usahanya untuk kembali ke Parlimen iaitu Leftenen Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar dari PAS dan lima calon Bebas; Tan Sri Isa Samad, Saiful Bukhari Azlan, Lay Seck Yan, Stevie Chan dan Kee Chee Yuen.

Jumaat, September 28, 2018

BEKAS MB LAWAN BEKAS TPM DI PORT DICKSON



PORT DICKSON, 27 Sept (Bernama) -- Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengesahkan bahawa beliau telah keluar daripada UMNO dua hari lalu untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, 13 Okt ini.
Beliau berkata tindakan keluar daripada parti itu bukan atas desakan mana-mana pihak tetapi sebaliknya keinginannya untuk menabur bakti kepada rakyat di kawasan itu susulan tindakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding.

"Tidak timbul persoalan saya akan dipecat. Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) pun tak pernah tanya kepada saya selaku pemimpin senior mengenai soal calon di Port Dickson dan mengapa pula saya nak bertanya dengan dia untuk saya bertanding," katanya pada sidang media di sini, malam ini.

"Orang Port Dickson kenal saya dan tahu perkhidmatan saya, jadi saya serah kepada mereka untuk menilai," katanya bekas Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang sambil menambah beliau belum memikirkan untuk menyertai mana-mana parti selepas ini.

Ditanya adakah penyertaannya di atas tiket bebas pada PRK ini bertujuan memeriahkan suasana, Mohd Isa yang juga bekas Anggota Parlimen Jempol berkata ia bukan niatnya.

"Ini bukan pemilihan jawatankuasa kampung, ini pilihan raya. Kita masuk sebab nak menang bukan masuk nak kacau daun. Ini tak betul. Pilihan raya ini kita tak boleh buat main-main," katanya.

RK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandang kerusi, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan baru-baru ini bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Dewan Rakyat.

Selain Anwar dan Mohd Isa, PAS turut mengumumkan Lt.Kol.(B) Mohd Nazari Mokhtar sebagai calon di samping calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas yang juga personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17, 710 undi mengalahkan calon BN, Datuk V.S Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

-- BERNAMA