Ahad, Oktober 26, 2008

DR. ZAHID HAMIDI HARAP NAJIB HAPUS KUOTA


Dr. Ahmad Zahid Hamidi boleh tersenyum lega kerana telah mendapat 46 pencalonan untuk merebut jawatan Naib Presiden UMNO. Dia jauh ditinggalkan oleh Hishamuddin yang dapat 68 pencalonan, Shafie Afdal mendapat 41 pencalonan dan Khaled Nordin mendapat 38 pencalonan.

Tidak semestinya calon yang dapat pencalonan tertinggi boleh menang kerusi Naib Presiden. Masih ingat tahun 2004? Mustapha Mohamad dapat pencalonan yang tinggi tetapi tewas. Masih ingat tahun 2000? Ghani Othman dapat pencalonan yang tinggi tetapi tewas.

Oleh itu Hishamuddin, Dr. Zahid tidak boleh diam diri sehingga Mac 2009. Para perwakilan mungkin boleh berubah.
Dr. Zahid setuju supaya kuota untuk bertanding dihapuskan. Beliau yakin ia akan menjadi antara agenda yang bakal dipertimbangkan Najib apabila menjadi Presiden UMNO nanti. Saya tidak nampak Najib berminat menghapuskan kuota kerana ia telah menyelamatkan Dr. Mahathir dan Pak Lah.

Sistem kuota juga telah menyelamatkan Najib dari dirempuh Ku Li pada tahun ini. Jika Najib menghapuskan kuota, ia memberi ruang kepada Muhyiddin untuk menentangnya pada tahun 2011. Oleh itu saya kira Najib akan kekalkan kuota supaya kedudukannya terus selamat. Tanpa kuota Sulaiman Palestin dapat mencabar Hussein Onn pada tahun 1978. Beliau hanya dapat dua pencalonan sahaja.

Tanpa kuota Ku Li dapat menentang Dr. Mahathir pada tahun 1987. Ku Li dapat 37 pencalonan sahaja. Kuota ialah 58 pencalonan. Jika pada tahun 1987 sudah ada kuota, Ku Li tak layak melawan Dr. Mahathir.

Oleh itu untuk terus kekal sebagai Presiden UMNO, Najib tidak mungkin menghapuskan kuota. Dia akan meneruskan dasar yang dibuat oleh Dr. Mahathir dan mengekalkannya seperti Pak Lah berbuat demikian.

MB PERLU PECAT YAHYA DARI EXCO




Keputusan pertandingan empat ketua UMNO bahagian di Terengganu semalam telah diketahui lewat malam tadi. Daripada empat orang penyandang, hanya Rahman Bakar seorang yang tewas di Marang.

Bersorak puak Idris Jusoh terutamanya bekas Setiauasaha Politiknya, Dr. Ramzi Zubir mendengar berita kekalahan Rahman Bakar itu di tangan Exco Kerajaan Negeri, Yahya Khatib Mohamad. Dr. Ramzi adalah bekas calon parlimen yang menggantikan Rahman bertanding menentang Haji Hadi pada pilihan raya umum lalu.

Dr. Ramzi kalah teruk di tangan Haji Hadi. Puak beliau kata Rahman Bakar sabotaj Dr. Ramzi dalam pilihan raya itu dan apabila Rahman dilantik Senator, kain rentang tertulis “Orang yang sabotaj pilihan raya dilantik jadi Senator” digantung di persimpangan empat Bandar Marang berhampiran Masjid Marang.

Yang menariknya, bagaimana pula nasib Yahya dalam barisan exco? Menteri Besar, Ahmad Said meminta semua ketua bahagian tidak dicabar tetapi Yahya yang ada dalam exco tidak mendengar arahan Ahmad Said. Oleh itu Ahmad Said kena pecat Yahya dari jawatan Exco sebagai satu pengajaran kepada beliau yang mengengkari arahan Menteri Besar. Kalau tak pecat, orang akan kata Ahmad Said cakap tidak serupa bikin. Lantiklah ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah sebagai Exco yang mewakili parlimen Marang. Alias pernah jadi timbalan exco Ahmad said sewaktu beliau jadi Exco Kerajaan Tempatan dalam pemerintahan Idris Jusoh.

Tidak semestinya jadi ketua bahagian kena lantik Exco. Pada tahun 2004, Nasir Ibrahim Fikri mengalahkan Exco, Rahin Mohd. Said bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus tetapi Idris Jusoh tidak lantik Nasir sebagai Exco sedangkan pada tahun 1993, Nasir adalah orang Dr.Yusof Noor yang mempertahankan Idris Jusoh sebagai ketua pemuda negeri manakala Rahin adalah orang Wan Mokhtar.

Di Dungun, Pok Li berjaya mengalahkan Din Adam.Seorang pengunjung blog ini, “ Tanpa Nama” menulis dalam ulasannya bahawa saya ada hantar e mel kepada Din Adam suruh Din Adam lawan Pok Li. Takkanlah Din Adam dengar cakap saya walaupun kami pernah bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu pada tahun 1977-1978. Din Adam menentang Pok Li bukan kerana saya yang suruh tetapi ada alasan lain kerana Din adalah proksi Idris Jusoh manakala Pok Li adalah proksi Ahmad Said.

Pok Li beritahu saya e mel yang saya hantar kepada Din Adam itu ada padanya. Yang saya hairan bagaimana Din Adam boleh cuai sehingga e mail peribadi kepadanya boleh jatuh ke tangan musuhnya. Nampaknya orang tengah di antara Din Adam dan Pok Li makan dua belah. Din Adam hulur, Pok Li hulur. Jadi surat rahsia Din Adam terlepas ke tangan Pok Li.

Pok Li panggil saya kerana dia suruh saya menyokong kepimpinan Ahmad Said selaku Menteri Besar. Memang saya sokong Ahmad Said. Oleh itu bila Din Adam menyebelahi Idris, walaupun kami kawan, saya kena sokong Pok Li kerana dia adalah proksi Ahmad Said. Oleh itu wang RM500 yang diungkit oleh “tanpa nama” bukannya wang peribadi Pok Li tetapi duit hari raya Menteri Besar kepada semua wartawan di Terengganu yang mana hampir 100 orang yang dapat duit raya.
Inilah kali pertama Menteri Besar beri duit raya kepada semua wartawan Terengganu sedangkan di zaman Idris Jusoh, dia pilih orang tertentu saja untuk beri duit raya. Masa saya jadi wartawan Terengganu Bestari milik UMNO Terengganu pada tahun 2006 saya tak terima pun duit raya dari Idris. Malah gaji saya bulan tu lambat dibayar selepas hari raya.
Bila saya mengadu kepada orang kuat UMNO Terengganu supaya cepatkan bayar gaji saya sebelum hari raya, masalah kecil seperti itu pun tak boleh selesai. Nasib baik Ahmad Said yang perihatin beri satu projek di Kemaman yang mana dapat saya belanja untuk hari raya.

Di Hulu Terengganu, Tengku Putera kekal sebagai ketua bahagian buat penggal ketiga. Beliau berjaya mengalahkan calon proksi Idris, Mohd. Nor Othman. Baru masuk politik sudah agah mahu lawan Tengku Putera sedangkan Tengku Putera aktif dalam politik sejak tahun 1993 lagi.

Di Setiu walaupun tiga ADUN bersatu untuk menjatuhkan Jidin Shafie tapi beliau buktikan bahawa beliau adalah kuat. Ada orang tanya kenapa saya tak sokong Jidin sedangkan Jidin adalah proksi Ahmad Said. Saya jawab pasal dia pernah malukan saya depan orang ramai, jadi saya tak perlu sokong dia.
Saya tak hipokrit macam setengah orang. Di zaman Idris ada seorang stringer siang malam maki Ahmad said, bila Ahmad Said jadi Menteri Besar, dia pula pi tunjuk muka kepada Ahmad Said. Nasib baik Ahmad Said bukan jenis pendendam. Macam pada tahun 1998, stringer ini sokong Dr. Ramli Taib sedangkan saya sokong Ahmad Shabey Cheek dalam pertandingan ketua pemuda UMNO bahagian Kemaman. Tetapi pada hari ini stringer itu jadi orang kuat Ahmad Shabery Cheek pula.

Walaupun semua ketua bahagian sudah menang janganlah amalkan balas dendam. Tengku Putera jangan balas dendam kepada Mohd. Nor Othman. Jidin jangan balas dendam kepada Cikgu Ramlan. Pok Li jangan balas dendam kepada Din Adam. Yahya jangan balas dendam kepada Rahman Bakar.
Contohilah Ahmad Said. Walaupun Bakar Ali kalah bertanding ketua UMNO Bahagian Kemaman pada tahun 2000, Ahmad Said tetap mencadangkan nama Bakar Ali sebagai calon BN bagi DUN Kemasik pada tahun 2004. Oleh itu semua pemenang jawatan Ketua Bahagian di Marang, Dungun, Setiu dan Hulu Terengganu perlu berjiwa besar seperti Ahmad Said.