Ahad, Oktober 26, 2008

DR. ZAHID HAMIDI HARAP NAJIB HAPUS KUOTA


Dr. Ahmad Zahid Hamidi boleh tersenyum lega kerana telah mendapat 46 pencalonan untuk merebut jawatan Naib Presiden UMNO. Dia jauh ditinggalkan oleh Hishamuddin yang dapat 68 pencalonan, Shafie Afdal mendapat 41 pencalonan dan Khaled Nordin mendapat 38 pencalonan.

Tidak semestinya calon yang dapat pencalonan tertinggi boleh menang kerusi Naib Presiden. Masih ingat tahun 2004? Mustapha Mohamad dapat pencalonan yang tinggi tetapi tewas. Masih ingat tahun 2000? Ghani Othman dapat pencalonan yang tinggi tetapi tewas.

Oleh itu Hishamuddin, Dr. Zahid tidak boleh diam diri sehingga Mac 2009. Para perwakilan mungkin boleh berubah.
Dr. Zahid setuju supaya kuota untuk bertanding dihapuskan. Beliau yakin ia akan menjadi antara agenda yang bakal dipertimbangkan Najib apabila menjadi Presiden UMNO nanti. Saya tidak nampak Najib berminat menghapuskan kuota kerana ia telah menyelamatkan Dr. Mahathir dan Pak Lah.

Sistem kuota juga telah menyelamatkan Najib dari dirempuh Ku Li pada tahun ini. Jika Najib menghapuskan kuota, ia memberi ruang kepada Muhyiddin untuk menentangnya pada tahun 2011. Oleh itu saya kira Najib akan kekalkan kuota supaya kedudukannya terus selamat. Tanpa kuota Sulaiman Palestin dapat mencabar Hussein Onn pada tahun 1978. Beliau hanya dapat dua pencalonan sahaja.

Tanpa kuota Ku Li dapat menentang Dr. Mahathir pada tahun 1987. Ku Li dapat 37 pencalonan sahaja. Kuota ialah 58 pencalonan. Jika pada tahun 1987 sudah ada kuota, Ku Li tak layak melawan Dr. Mahathir.

Oleh itu untuk terus kekal sebagai Presiden UMNO, Najib tidak mungkin menghapuskan kuota. Dia akan meneruskan dasar yang dibuat oleh Dr. Mahathir dan mengekalkannya seperti Pak Lah berbuat demikian.