Khamis, Mei 05, 2016

TIGA KALI BERNAMA DIFITNAH

KEMAMAN, 4 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) terus menjadi mangsa penyebaran berita palsu berkaitan politik Terengganu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.


Dalam tempoh hampir dua bulan sejak Mac lalu, Bernama telah membuat tiga laporan polis, terbaru membabitkan berita bertajuk 'UMNO Terengganu Berdepan Laluan Sukar Hadapi Pilihan Raya-Veteran'.

Ketua Biro Bernama Terengganu Zalina Maizan Ngah berkata beliau membuat laporan tersebut di Balai Polis Kerteh pada pukul 5.46 petang ini dan kes akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Ini merupakan kali ketiga Bernama menjadi mangsa fitnah dengan penyebaran berita palsu yang melibatkan politik di negeri ini. Saya yakin bahawa ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mengadu domba dengan menyiarkan berita sensasi bagi mencetuskan perasaan tidak puas hati sesetengah pihak.

"Tindakan menjadikan Bernama sebagai sumber berita adalah salah dan ia perlu ditangani supaya tidak berlaku kekeliruan kepada pembaca kerana ia telah menjadi viral menerusi aplikasi WhatsApp," katanya di sini hari ini.

Zalina berkata penyebaran berita palsu ini mengaitkan beberapa tokoh UMNO seperti bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Bakar, bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri, bekas Ketua UMNO Bahagian Dungun Datuk Rosli Mat Hassan dan bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

"Saya dimaklumkan mengenai berita palsu ini kira-kira pukul 1.20 tengah hari. Apabila saya merujuk menerusi rekod berita kami, memang tiada berita sedemikian dan selepas ia menjadi viral, saya telah dihubungi oleh beberapa pegawai dari Pejabat Menteri Besar bagi mendapatkan kesahihanannya.

"Penulisan sedemikian telah menimbulkan perasaan tidak puas hati sesetengah pihak namun saya bersyukur kerana setelah memberi penjelasan bahawa ia adalah berita palsu, mereka dapat menerimanya dengan baik," katanya.

Pada 11 Mac lalu, Zalina Maizan membuat laporan polis pertama berkaitan artikel bertajuk 'Rosli Sedia Jadi Penggerak Puteri UMNO Terengganu' dan pada 20 April lalu, laporan polis kali kedua dibuat berkaitan artikel 'PAS Terengganu Siap Sedia Hadapi Pilihan Raya Negeri'.

Zalina Maizan berkata beliau amat berharap agar perbuatan tersebut dapat dikesan oleh SKMM secepat mungkin kerana individu yang melakukannya sudah semakin berani dan sentiasa muncul di saat keadaan semasa Terengganu telah tenang daripada krisis.

"Ia bagaikan sengaja ditimbulkan dan pada pendapat saya, pihak ini sengaja menjadikan Bernama sebagai sumber berita bagi meraih perhatian seolah-olah ia berita rasmi. Saya membuat laporan ini bagi menjaga reputasi Bernama sebagai agensi berita yang dihormati dalam dan luar negara," katanya.

-- BERNAMA

ADENAN BERJAYA BAWA PEMBAHARUAN KATA SALLEH

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem merupakan wadah bagi penduduk Sarawak dan telah berjaya membawa pembaharuan penting kepada negeri ini walaupun hanya baru dua tahun memimpin kerajaan negeri.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata sejak mengambil alih sebagai ketua menteri pada 28 Feb 2014, pihak pembangkang sendiri terpaksa mengakui bahawa Adenan telah melaksanakan tugasnya dengan baik.

"Anda boleh lihat daripada kempen pilihan raya Sarawak bahawa tidak banyak yang pembangkang boleh kritik mengenai Adenan," katanya dalam catatan blog sskeruak.blogspot.my, hari ini.

Salleh berkata adalah jelas bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan sokongan penuh terhadap Adenan dan memperakui semua usaha ketua menteri.

"Adenan ialah wadah bagi penduduk Sarawak dan yang paling penting perdana menteri turut
mendengar.

"Ini memberikan pengundi Sarawak keyakinan bahawa Najib dan Adenan adalah sebuah pasukan yang baik, seorang di persekutuan dan seorang lagi di negeri, dan bahawa Barisan Nasional akan mampu memberikan apa yang Sarawak mahukan," katanya.

Sambil menarik perhatian kepada kelebihan Adenan, Salleh berkata ketua menteri itu telah memperkenalkan banyak dasar baharu, yang dianggap amat penting bagi Sarawak atau penduduk Sarawak, dan yang paling utama dasar 'Anak Sarawak'.

"Dasar ini menegaskan kesaksamaan bagi semua penduduk Sarawak tanpa mengira kaum etnik dan agama. Tiada lagi terdapat perkataan 'lain-lain' sementara Cina yang lahir di Sarawak tidak dikategorikan sebagai pendatang.

"Isu ini sahaja telah menjadi perbalahan ramai rakyat Malaysia sejak lama dulu dan Adenan telah dapat menyelesaikan perkara itu," katanya.

Satu lagi isu perbalahan yang Adenan mahu ia diselesaikan ialah pengiktirafan terhadap sekolah Cina dan Sijil Peperiksaan Bersepadu bagi pinjaman pendidikan Yayasan Sarawak serta kemasukan ke dalam perkhidmatan awam.

Salleh menambah kata sekolah-sekolah persendirian Cina menerima RM3 juta bantuan kerajaan dalam 2014, RM4 juta tahun lepas dan telah dinaikkan kepada RM5 juta tahun ini.

Sarawak mengurangkan kadar elektrik dan kadar tambang perkhidmatan feri serta menghapuskan bayaran tol jambatan Lanang dan Baram sementara tiada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikenakan terhadap perkhidmatan majlis perbandaran, katanya.

"Sarawak tidak lagi mengeluarkan lesen balak dan perladangan sementara lesen pembalakan sementara telah dibatalkan atau tidak lagi diperbaharui.

"Lebih 30 kilang papan yang mengendalikan pembalakan haram telah ditutup dan 10 peratus tanah hutan akan dijadikan taman-taman negara," katanya sambil menarik perhatian bagaimana seriusnya Adenan mengenai pemuliharaan hutan.

Mengenai hak tanah adat yang dianggapnya isu amat sensitif, Salleh berkata Sarawak sedang menambahkan tanah komunal sementara dalam masa yang sama mengiktiraf tanah Hak Adat Bumiputera.

Beliau berkata untuk mencapai kejayaan terhadap usaha ini, Sarawak mengadakan tinjauan perimeter dan kaji selidik individu untuk membolehkan tanah itu didaftarkan.

Negeri ini juga membuka peluang bagi kaum Bumiputera untuk membangunkan tanah mereka atas dasar komersial sementara pindaan terhadap Kanun Tanah Sarawak membolehkan Bumiputera Sarawak memperoleh tanah NCR di luar kelompok masyarakat mereka.

"Ini merupakan beberapa perkara daripada banyak perubahan di Sarawak sejak dua tahun lepas apabila Adenan mengambil alih jawatan sebagai ketua menteri.

"Penduduk Sarawak secara umumnya amat gembira dengan pembaharuan ini dan kebanyakan mereka berpendapat bahawa Barisan Nasional patut diberikan lima tahun lagi untuk menyaksikan apa lagi yang Adenan boleh lakukan untuk Sarawak dan bagi penduduk Sarawak."

Salleh berkata kebanyakan penduduk Semenanjung tidak berapa kenal siapa Adenan kerana beliau selama ini memang menjalani kehidupan yang sederhana dan tidak terlalu menonjol diri sepanjang karier politiknya.

"Hanya dua tahun memegang tampuk kepimpinan negeri, ramai orang, malah dari Semenanjung juga kini memahami kenapa Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Tun Razak melantik beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak," katanya.

Hari ini, ramai yang berkata Najib tidak mungkin membuat pilihan yang lebih baik daripada itu, katanya.

-- BERNAMA