Sabtu, Ogos 06, 2016

SHABERY RAYU MB DAN AHMAD SAID SELESAI CARA BAIK

KEMAMAN, 5 Ogos (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek merayu agar Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menamatkan kemelut politik di negeri ini.

Ahmad Shabery yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman berkata kemelut itu
harus diselesaikan secara bijaksana demi masa depan UMNO dan rakyat.

"Saya merayu kepada semua pihak sama ada menteri besar atau bekas menteri besar untuk memikirkan jalan yang terbaik khususnya bagi masa depan UMNO dan tidak mengambil tindakan yang boleh merosakkan parti.

"Saya bimbang perpecahan akan berlaku dan kita tak boleh mendakwa bahawa UMNO akan sentiasa kuat...saya yang berada di Kemaman pun tidak boleh menjamin bahawa semua kerusi yang ada di sini dapat kita pastikan kemenangan walaupun kita berusaha menjaga rakyat dan walaupun rekod dari segi kecemerlangan UMNO di Kemaman ini ada," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bencana kepada 21 nelayan di Kemasik yang dilanda ribut.

Ahmad Shabery berkata kemelut sedemikian juga akan menimbulkan keraguan rakyat terhadap parti dan sokongan terhadapnya juga mungkin akan terjejas.

"Bila berlaku perpecahan, sokongan keseluruhan berdasarkan kepada anggota UMNO itu mungkin sekitar 45 hingga 48 peratus dan pembangkang mungkin tak sekuat itu tetapi yang menentukan sokongan ialah rakyat yang mungkin tidak berparti...yang mungkin tak berada dalam mana-mana parti politik, tetapi mereka melihat sebuah parti yang diterajui oleh pemimpin yang tak boleh duduk sekali, jadi mereka tak ada keyakinan untuk memberikan sokongan kepada parti ini.

"Bagi saya walau macam mana kuat sekalipun seseorang Yang Berhormat menjaga kawasan, menjaga anak buah tetapi bila sebahagian besar rakyat melihat negeri yang diterajui oleh pemimpin yang sentiasa berbalah, mereka akan kehilangan kepercayaan.

"Umpamanya seperti rumah kita, kalau ibu bapa dilihat bergaduh, anak tak mahu balik rumah...baginya siapa betul dan siapa salah tak penting, dia mahukan sesuatu yang aman, mesra dan damai di rumah mereka dan perbalahan yang berterusan ini akan menyebabkan rakyat menjadi keliru dan kekeliruan akan menyebabkan rakyat meninggalkan UMNO. Ini pandangan ikhlas saya, tolonglah cari jalan yang terbaik," katanya.

Ahmad Shabery berkata sekiranya kemelut itu terus berlanjutan, segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan yang selama ini bekerja keras untuk berjasa dan berbakti kepada rakyat juga akan turut musnah.

"UMNO dah banyak buat untuk rakyat dan negeri, kita jaga nelayan yang susah, kita jaga petani yang susah, kita jaga rakyat, kita bangunkan negeri ini tapi ia boleh dimusnahkan akibat perbalahan sesama sendiri.

"Kalau kita sayang parti, kita buat untuk rakyat...bukannya untuk pemimpin. Jangan kita lihat sekarang ini, sekarang perbalahan bukan perbalahan mengenai dasar, perbalahan apa yang kita buat untuk rakyat tetapi perbalahan peribadi atas kedudukan, jawatan.

"Jadi bila melihat cara peribadi, cara perbalahan itu berbeza dengan cara perbalahan berdasarkan ideologi, dasar dan sebagainya... perbalahan peribadi ini tak ada rasionalnya, semuanya berasaskan emosi dan ini tak menguntungkan parti dan negara," katanya.

Ahmad Shabery menasihatkan semua pihak supaya tidak terburu-buru membuat keputusan dan mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai kemelut politik dalaman.

"Saya harap supaya semua pihak lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan terutama sekali dalam media kerana apa pun perbezaan dalam kalangan kita seharusnya diselesaikan secara dalaman dan kita mesti bijak mencari jalan dan pendekatan untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku, " katanya.

-- BERNAMA

AHLI UMNO PERLU BIJAK NILAI MOTIF PARTI BAHARU



KUALA KETIL, 5 Ogos (Bernama) -- Anggota UMNO perlu bijak menilai motif perjuangan kepimpinan parti baharu yang dipelopori Tun Dr Mahathir Mohamad dan tidak terpengaruh untuk menyertai mereka.

Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pihaknya percaya kepimpinan parti baharu itu sudah tentu berusaha mempengaruhi anggota UMNO di peringkat bahagian dan cawangan bagi mendapatkan sokongan.

"Kita kena tengok apa motif mereka, mereka dahulu bersama kita (UMNO) dan kita tengok apa yang mereka ucapkan ketika dalam parti kita...apabila keluar parti, apa yang mereka katakan sekarang.






"Tun Mahathir sendiri menjadi Perdana Menteri kerana UMNO dan terhutang budi dengan UMNO, sekarang beliau bercerita benda yang salah yang dia kata UMNO harus disingkir hanya kerana beliau tidak bersetuju dengan Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan pergerakan Wanita UMNO Bahagian Baling di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO bahagian Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Wanita bahagian Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata anggota UMNO juga perlu menilai serta tidak menerima bulat-bulat setiap maklumat yang diterima khususnya dalam media sosial, yang bertujuan mempengaruhi pemikiran mereka.

Beliau berkata musuh parti akan menjadikan pemimpin tertinggi negara sebagai sasaran dengan menyebarkan pelbagai fitnah bagi menggugat keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara.

"Fitnah di media sosial ini umpama surat layang moden dan kita harus hati-hati supaya mereka tidak dapat merosakkan perpaduan dalam kalangan kita," katanya.

Dalam perkembangan lain, Salleh meminta orang ramai memberikan maklumat berhubung aktiviti kumpulan militan Daesh dalam usaha mengekang kegiatan keganasan di negara ini.

Katanya kerajaan telah mengambil tindakan menyekat laman sesawang dan blog yang mempunyai unsur keganasan, namun tidak dapat memantau secara keseluruhan berikutan perkembangan teknologi masa kini.

"Ancaman militan Daesh ini amat serius dan perlu ditangani secara bersama," katanya.

Di KOTA BAHARU, mengulas perkara yang sama Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata UMNO dan parti komponan lain dalam Barisan Nasional (BN) perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi cabaran daripada parti pembangkang dan parti baharu yang dipelopori Dr Mahathir itu.

Beliau berkata siap sedia itu bukan hanya ketika menghadapi pilihan raya malah pada hari biasa.

"Pada saya sebagai sebuah negara demokrasi, kita tidak ada masalah, kita tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk tubuh parti baharu kerana itu hak dalam demokrasi di sesebuah negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kubang Kerian, hari ini.

Di MACHANG, mengulas perkara sama, seorang lagi Anggota MT UMNO Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata parti baharu itu bukan sebuah parti yang memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat sebaliknya ia hanya memperjuangkan kepentingan diri.

"Sejarah telah membuktikan, sebesar mana bilangan pemimpin yang keluar dari UMNO dan menubuhkan parti baharu bertujuan untuk menjatuhkan pucuk kepimpinan sedia ada, ia tidak mungkin diterima oleh semua rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO bahagian Machang, hari ini.

Hamzah percaya rakyat sudah boleh mengetahui dan menilai agenda perjuangan parti baharu tersebut iaitu bukan perjuangan untuk membela nasib rakyat.

Sementara itu, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong berkata bagi sebuah negara demokrasi, tiada halangan bagi mana-mana pihak untuk menubuhkan sesebuah parti politik.

Walaupun penubuhan parti baharu itu adalah satu cabaran namun Gerakan tidak risau dengan perkembangan tersebut sebaliknya akan terus memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Mah berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Parti Gerakan Negeri Kelantan di Kota Baharu, hari ini.

-- BERNAMA

TAHNIAH KEPADA SABRI ALWI DAN WAN HAKIM

Dalam suasana tersepit macam ini, tidak ramai ketua bahagian Umno yang menyokong MB Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman. Nampaknya Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Sabri Alwi yang berani bersuara menyokong Ahmad Razif.

Beliau tidak ada kepentingan kerana beliau bukan ADUN atau ahli parlimen. Jadi beliau bukan macam YB lain suka play safe. Jadi saya tabik kepada keberanian Adik Mat menyokong Razif di saat saat genting ini.

Begitu juga kepada ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar yang menyelar Exco Kerajaan Negeri, Ghazali Taib yang mempertikaikan MB di dalam media. Wan Hakim yang juga Ketua Penerangan Umno Terengganu berkata Ghazali sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Exco sekiranya beliau mahu menegur MB secara terbuka dalam media.

Kita bersetuju dengan pandangan beliau. Ghazali ada saluran untuk kritik MB. Kenapa beliau tidak gunakan mesyuarat Exco untuk kritik MB. Jadi saya tabik kepada Wan Hakim. Keberanian Wan Hakim membidas Ghazali bukanlah bermakna beliau mahu ambil tempat Ghazali tetapi untuk bercakap benda yang benar.Tahniah kepada Adik Mat dan Wan Hakim.