Rabu, Mac 06, 2019

CLARE TERBABIT DALAM PENGUBAHAN WANG HARAM?



KUALA LUMPUR 5 Mac – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown terbabit dalam kegi­atan pengubahan wang haram kerana tidak mengisytiharkan sumber sebenar RM1.4 juta di­terimanya.

Ketua Pergerakan Malaysiaku Tanah Airku, Reggie Jessy Rithaudeen turut mendakwa pengarang portal berita itu berbohong dengan menyatakan wang itu adalah kos yang dipersetujui selepas penyelesaian kes di luar mahkamah dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedangkan dokumen rasmi itu menyatakan penyelesaian berkenaan tidak membabitkan sebarang kos.


“Malah, hasil dapatan kita mendapati RM1.4 juta itu dibayar oleh seorang individu yang baru dilantik ke jawatan ter­­tinggi di Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menerusi akaun pihak kedua. Clare menipu dengan mengatakan wang itu adalah hasil pembayaran penyelesaian kes antaranya dengan Abdul Hadi,’’ katanya selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Selangor hari ini.

Tambah Reggie, wang berkenaan pula dibayar menggunakan akaun bank tempatan dan masuk ke akaun bank Clare di Uni­ted Kingdom (UK).

Mengikut peruntukan undang-undang, Reggie mendakwa Clare perlu mengisytihar sumber kewangan berkenaan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dan kepada bank pusat di UK.

“Namun, Clare tidak berbuat demikian dan melanggar peruntukan undang-undang sekali gus menimbulkan kons­pirasi pengubahan wang ha­ram. Jadi, kita minta polis menyiasat Clare serta beberapa pihak termasuk seorang peguam di negara ini, seorang pengurus bank tempatan terletak di Jalan Tun Razak, individu berjawatan tinggi di KTMB dan BNM,” katanya.

Mengulas lanjut, Reggie mendakwa, RM1.4 juta diterima Clare itu sebenarnya dibayar oleh individu itu bagi membiayai kos guaman kes mahkamah antara pengarang portal berita berke­naan dengan Abdul Hadi.