Jumaat, September 04, 2015

NAZRI TAK PAYAH SIBUK JADI MENTERI DALAM NEGERI

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan,Nazri Abdul Aziz tak payah sibuk menjadi Menteri Dalam Negeri dengan menggesa polis supaya tidak membazirkan masa memanggil dan soal siasat  Dr Mahathir Mohamad kerana menyertai himpunan BERSIH 4.
"Jangan buang masa kamu. Tiada keperluan memanggil beliau kecuali jika beliau melakukan kesalahan" kata Nazri dalam sidang medianya di Kuala Lumpur petang semalam.
Nazri berkata bekas perdana menteri itu tidak pergi ke demonstrasi untuk melontar bom, memecahkan pintu atau tingkap, jadi tiada masalah beliau menyertai protes.
MP Padang Rengas itu menggesa pihak yang menyatakan Dr Mahathir menyertai perhimpunan itu salah, sebaliknya menukarkan pandangan bahawa tokoh itu hadir bagi mempromosikan kerajaan dan menunjukkan ia satu pentadbiran yang menjaga warga emas.
Hujung minggu lalu, Dr Mahathir bersama isterinya Tun Dr Hasmah Mohamad Ali mengejutkan pelabagai pihak kerana menyertai demonstrasi BERSIH 4 yang berlangsung di Dataran Merdeka selama 34 jam.
Inilah kelemahan Umno kerana menteri bercakap tidak sehati sejiwa. Maka ada menteri yang kesal dengan tindakan Dr Mahathir dan ada pula menteri yang marahi polis menyiasat Dr Mahathir.
Sepatutnya Nazri tak perlu campur urusan kementerian lain. Jagalah kementerian anda sendiri. Biar Dr Zahid Hamidi menjawab soalan ini. Ini yang susahnya menteri lain lebih senduk dari sudu.
Sementara itu Bernama melaporkan  Dr Mahathir Mohamad akan tetap dipanggil dan disiasat kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah ketika perhimpunan Bersih 4 di Dataran Merdeka di sini, hujung minggu lepas.

Ketua Polis Negara,  Khalid Abu Bakar berkata bekas perdana menteri itu akan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana beliau mendakwa ada ketua UMNO bahagian menerima rasuah.

Bagaimanapun, katanya Dr Mahathir belum lagi dimaklumkan mengenai siasatan itu.

"Saya sendiri akan maklumkan kepada beliau (Tun Mahathir) untuk ambil keterangan beliau dalam tempoh terdekat ini.

"Kita akan rakam percakapan beliau dan perlu siasat kerana kita sudah menerima laporan polis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran berkaitan Teknologi Keselamatan Asia Tenggara (IFSEC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini semalam.

Beliau berkata walaupun Dr Mahathir akan dipanggil untuk siasatan namun status beliau sebagai seorang negarawan akan tetap dihormati dengan menjalankan soal siasat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) siasatan.

Dua hari lalu, Khalid berkata polis akan memanggil Dr Mahathir untuk diambil keterangan berhubung kenyataan yang dibuat di perhimpunan Bersih 4 itu.