Khamis, Mei 11, 2017

JANGAN LEKA DENGAN KEJAYAAN LAMPAU

oleh Shahbudin Embun
(sudah disiarkan dalam Berita Harian)

Sebelum kita mendengar apa yang bakal diucapkan oleh Presiden UMNO , Datuk Seri Najib Tun Razak pada perayaan sambutan ulangtahun UMNO ke 71 yang bakal berlangsung 11 hb Mei ini , tidak salah kiranya kita imbas kembali beberapa amanat beliau pada PAU 2016 yang lalu. Antara kata-kata beliau yang semestinya diberikan perhatian oleh ahli-ahli UMNO ialah memperkukuhkan kebersatuan anggota parti dan berkhidmat sepenuh hati untuk rakyat.




Penulis ingin bertanyakan kepada ahli-ahli UMNO, adakah amanat tersebut dilaksanakan oleh anggota parti. Jawablah dengan iklas. Apa yang penting ialah ahli-ahli UMNO mesti prihatin dengan apa yang dikatakan oleh Najib dan kemudian melaksanakannya dengan seikhlas hati.




Perlu diingatkan bahawa adalah penting amanat seperti ini diberikan perhatian yang serius. Tidak lama lagi Pilihan Raya Umum (PRU) akan berlangsung dan jika ada ahli-ahli UMNO yang lalai, maka jangan salahkan pihak lain jika rakyat mula memilih parti alternatif sebagai pilihan mereka.




Itulah sebabnya tarikh 11hb Mei 2017 kali ini mungkin merupakan tarikh yang paling penting dalam sejarah UMNO. UMNO berdepan dengan pelbagai cabaran dan jika kebersatuan parti tidak diperkukuhkan , maka cabaran yang dipikul oleh UMNO pastinya akan lebih getir dan mencabar, khasnya dengan PRU yang semakin hampir.




Dan pastinya tarikh 11 hb Mei 2017 akan menjadi pemangkin kepada UMNO untuk terus menggerakkan segala usaha dan tenaga bagi terus melaksanakan pelbagai agenda pembangunan untuk agama, bangsa dan negara.




Kebersatuan parti juga bermaksud sama-sama memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada barisan pucuk pimpinan UMNO yang diketuai oleh Najib Tun Razak . Dan pada zaman di mana media baru begitu bermaharajalela hingga boleh menguasai minda kita semua, maka ahli-ahli UMNO juga perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai tohmahan dan fitnah yang bakal menyerang.




Jika fitnah ini dilakukan oleh pihak pembangkang, maka itu adalah perkara biasa . Tetapi jika fitnah ini ditabur sendiri oleh ahli-ahli UMNO demi kerana agenda untuk kepentingan diri, maka golongan seperti inilah yang sebenarnya menghancurkan UMNO.




Dalam meraikan kejayaan UMNO selama 71 tahun, perlu dingatkan supaya jangan hilang fokus dan tumpuan kepada persiapan UMNO dalam menghadapi PRU dan bagaimana untuk memastikan UMNO terus relevan membangunkan negara kita bersama dengan parti-parti komponen dari Barisan Nasional.




Amanat dan ucapan yang bakal dinyatakan oleh Presiden UMNO kali ini perlu dihayati dengan lebih mendalam . Bahkan kata-kata yang bakal dilontarkan ini perlu dijadikan sebagai penyuntik semangat dan faktor yang menggerakkan jentera UMNO supaya bekerja dengan lebih kuat untuk terus membela rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.




Selama 71 tahun, UMNO sebenarnya telahpun membuktikan sebagai sebuah parti yang masih teguh dan unggul apabila kita dapat melihat bagaimana semua cabaran yang dilalui oleh parti utama orang Melayu ini ditangani dengan positif , adil dan penuh keyakinan. Cabaran yang dimaksudkan itu bukan sahaja cabaran pada hari ini, tetapi sejak dari penubuhan parti ini iaitu pada 11 mei 1946.




Itu sebabnya ucapan syabas dan tahniah perlu diucapkan kepada UMNO yang masih terus mengekalkan kegemilangannya dan bakal menyambut ulangtahun yang ke 71. Namun pada masa yang sama perlu diingatkan juga kejayaan yang lampau boleh membuatkan ahli-ahli UMNO leka dan alpa. Itu sebabnya Presiden UMNO sering mengingatkan kepada ahli-ahli UMNO supaya sentiasa peka dan bersedia untuk menghulurkan jasa dan bakti kepada rakyat dan masyarakat amnya.




Perlu diingatkan juga bahawa landskap politik pada hari ini adalah sangat berlainan dan berbeza. Kini rakyat lebih matang dan dengan adanya media baru yang tidak ada sempadan, maka setiap laporan baik yang betul ataupun yang palsu boleh tersebar dengan sentuhan di hujung jari sahaja. Dan dalam hal ini, para pemimpin UMNO serta ahli-ahli UMNO amnya perlu menangani situasi ini dengan lebih bijaksana dan rasional.