Khamis, Oktober 27, 2016

HUSNI TANYA. HUSNI SUDAH JAWAB



KUALA LUMPUR 26 Okt. – Persoalan yang dibangkitkan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebahagiannya telah dijawab sendiri oleh bekas Menteri Kewangan II pada Februari tahun lalu.



Annuar Musa


Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, ketika itu Ahmad Husni menjelaskan ‘1MDB ditubuhkan dengan matlamat jelas iaitu melabur dan membangun projek dalam bentuk jangka panjang yang mempunyai kepentingan strategik kepada ekonomi dengan sasaran menjana kewangan dan kejayaan pada masa depan’.

Bagaimanapun kata Annuar, biarpun telah dijawab sendiri Ahmad Husni tetapi sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungja­wab, segala persoalan dan kebimbangan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Tambun itu akan diperjelaskan kembali.

“Tiada fakta baharu yang Ahmad Husni kemukakan. Malah persoalan lain yang beliau lontarkan adalah bersifat kebimbangannya di atas andaian pihak tertentu dan beliau ingin tahu apakah langkah yang akan diambil kerajaan se­ki­ranya ia menjadi kenyataan.

“Oleh yang demikian, saya percaya kerajaan akan mengambil perhatian terhadap ucapan dan soalan tersebut. Saya yakin kerajaan tidak mempunyai sebarang masalah untuk memberi penjelasan kepada soalan yang dibangkitkan itu,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Menurut Annuar, beliau mengikuti dengan teliti setiap persoalan yang dibangkitkan oleh Ahmad Husni sewaktu berucap membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat Isnin lalu.

Katanya, pandangan Ahmad Husni tersebut wajar dihormati kerana bekas Menteri Kewangan II itu hanya menjalankan tanggungjawabnya selaku ahli Parlimen dan bertindak pula membangkitkan perkara berkenaan di tempat yang betul iaitu Parlimen.

“Kita harus ambil dari sudut positif setiap perkara yang diutarakan. Isu 1MDB sememangnya sentiasa diberi perhatian serius oleh kerajaan dan pelbagai langkah memperbaiki kelemahan sedang giat dilakukan pihak berwajib,” jelasnya.