Selasa, Jun 15, 2010

ABU BAKAR KP JPA MULAI JULAI


Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abu Bakar Abdullah dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkuatkuasa 1 Julai depan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan mengumumkan pada hari ini.

Abu Bakar, 55, menggantikan Tan Sri Ismail Adam, 60, yang akan menamatkan perkhidmatan pada 30 Jun.

Sidek dalam kenyataannya berkata pelantikan Abu Bakar adalah selaras dengan peruntukan Perkara 144(3) Perlembagaan Persekutuan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri.

Pemilihan Abu Bakar, kata Sidek, dibuat berdasarkan pengalaman, kepakaran dan kewibawaannya bagi meningkatkan prestasi perkhidmatan awam melalui pelbagai pembaharuan dan pendekatan.

Abu Bakar berkelulusan ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Antarabangsa daripada Universiti Denver, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah daripada Universiti Malaya.

Beliau yang mula berkhidmat pada 19 Sept 1977 sebelum ini pernah menjawat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Wilayah Persekutuan; Jabatan Perdana Menteri dan di Kementerian Pertahanan.

Sidek berkata beliau yakin Abu Bakar berkemampuan memimpin Jabatan Perkhidmatan Awam, khususnya untuk merealisasikan matlamat Teras Strategik keempat Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) iaitu membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia.

Sidek juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ismail atas sumbangannya ketika berkhidmat selama 38 tahun kepada perkhidmatan awam dan negara.

Kongres Kesatuan Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik pelantikan Abu Bakar dengan menyifatkan pelantikan itu sebagai paling sesuai.

Beliau sangat berpengalaman dan mahir dengan pentadbiran perkhidmatan awam, kata Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin.

Beliau yakin menerusi kepimpinan Abu Bakar, penjawat awam akan melalui banyak inovasi dan penambahbaikan.

Katanya Cuepacs berharap dapat bekerjasama rapat dengan Abu Bakar demi kebaikan perkhidmatan awam.