Jumaat, April 28, 2017

PAN DAN DAP KENA BENARKAN PAS JADI PENERAJU



ALOR SETAR 27 April - PAN dan DAP perlu membenarkan Pas menjadi peneraju sekiranya mereka mahu memujuk parti Islam itu menjalinkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik melibatkan ketiga-tiga parti.

Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin berkata, syarat itu ditetapkan bagi mana-mana parti yang ingin bekerjasama dengan Pas.

“Mengenai tahaluf siyasi, memang Pas tidak pernah menutup pintu untuk berkerjasama umtuk membentuk blok ketiga.

“Cuma pada kali ini... berdasarkan pengalaman lampau, Pas banyak bertahaluf, jadi kita letak syarat begitu supaya menjamin kebaikan dan kebajikan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas Ke-57 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut dekat sini semalam.

Sementara itu, Dewan Ulama Pas kecewa dengan tindakan Pakatan Harapan yang diketuai DAP menentang usaha Pas memartabatkan Islam di negara ini.


Ketuanya, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, parti-parti yang pernah menjadi rakan sekutu Pas itu kini sanggup mengenetepikan Islam dalam usaha untuk meraih sokongan dalam mencapai impian mereka untuk menukar kerajaan.

“Apa yang disedihkan rakan-rakan sekutu lalu dalam merintis jalan ke Putrajaya mereka menyanggah Islam.

“Malah, penentangan mereka dalam usaha pelaksanaan Islam lebih kuat daripada UMNO,” katanya ketika berucap pada ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Pusat Ke-56 di Dewan Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU) di sini semalam.