Jumaat, Februari 05, 2010

ANWAR AKAN BIAYAI PELAJARAN SAIFUL


Mohd Saiful Bukhari Azlan yang menyambung keterangannya dalam perbicaraan kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Anwar membuat "tawaran balas" untuk membiayai pelajarannya sekiranya beliau terus bekerja sebagai pembantu peribadi Anwar.

Mohd Saiful, 25, berkata Anwar memujuknya supaya jangan berhenti kerja dan menyuruhnya lebih berdisiplin.

Beliau berkata Anwar memberitahunya bahawa bekas bosnya itu ingin membiayai pelajarannya tidak kira di mana, dan boleh menyambung pelajarannya secara sepenuh masa dengan diberikan gaji penuh.

"Pada masa itu saya tidak object (menolak) tawaran itu. Kemudian setelah selesai, beberapa jam kemudian, Anwar menghantar e-mel kepada saya iaitu 'terima kasih kerana sudi menyambung perkhidmatan," katanya.

Mohd Saiful yang memakai kot hitam dan berbaju kemeja berbelang biru berkata demikian semasa menjawab soalan Peguam Cara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan pada perbicaraan kes itu yang masuk hari ketiga Jumaat.

Anwar, 63, penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

Dalam keterangannya juga, Mohd Saiful ditanya mengenai e-melnya kepada Anwar mengenai peletakan jawatannya.

Mohd Saiful berkata beliau menghantar e-mel kepada Anwar pada 27 Jun 2008, sehari selepas kejadian memaklumkan ingin meletak jawatan, bagaimanapun Anwar memintanya berjumpa dengannya di pejabat beliau di Seksyen 16, Petaling Jaya.

"Ketika itu saya takut berdepan dengan dia. Dia tanya kenapa saya nak letak jawatan. Saya katakan seperti dalam e-mel iaitu kurang berdisplin, sering datang lewat ke pejabat sehingga dia marah saya, serta kurang berkelayakan dan takut dipertikaikan kerana diberi keistimewaan lebih daripada staf yang berkelayakan," katanya.

Mohamed Yusof: Apa sebab sebenarnya anda meletakkan jawatan?

Mohd Saiful: Sebab sebenar saya meletakkan jawatannya ialah tidak mahu diperlakukan sedemikian lagi.

Di peringkat ini, peguam utama Anwar, Karpal Singh membantah penggunaan perkataan "lagi" memandangkan perkataan itu tiada dalam pertuduhan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah kemudian menjelaskan bahawa perkataan "lagi" yang dimaksudkan oleh Mohd Saiful ialah "dia tidak mahu insiden itu berulang di masa depan."

Terdahulu, menceritakan bagaimana beliau mula berkhidmat dengan Anwar, Mohd Saiful berkata rakannya Rahimi Osman menelefonnya meminta beliau datang ke pejabat Rahimi yang juga merupakan pejabat Anwar untuk berbual kerana mereka lama tidak berjumpa.

Mohd Saiful berkata semasa berbual, Rahimi ada bertanya kepadanya sama ada beliau berminat untuk bekerja di pejabat itu sebagai pembantu pejabat bagi membantu Rahimi kerana mereka kekurangan kakitangan disebabkan ramai yang terlibat dalam pilihan raya umum ke-12.

"Lepas kami berbincang, saya mula-mula 50-50 sama ada nak setuju atau tidak. Lepas itu Rahimi ajak saya masuk ke dalam bilik mesyuarat. Rahimi kata ada mesyuarat dengan Anwar mengenai program ceramah pilihan raya," katanya.

Beliau duduk dalam bilik itu dan beberapa minit kemudian Anwar masuk dan diperkenalkan kepada Anwar oleh Rahimi.

Mohd Saiful berkata selepas mesyuarat itu, Anwar berkata "Saya hargai bantuan awak kepada kami", sebagai isyarat beliau menerimanya sebagai sukarelawan.

Mohamed Yusof: Ada Anwar tanya latar belakang anda?

Mohd Saiful : Ada

Mohamed Yusof : Ada anda minat kerja itu?

Mohd Saiful : Saya minat kerana Anwar adalah seorang pemimpin yang berkarisma dan idola saya masa kecil.

Pada prosiding itu juga, Mohd Saiful mengesahkan gambar dalam kamera litar tertutup pada pukul 4.35 petang, 26 Jun 2008, menaiki kereta berwarna merah keluar dari kondominium itu adalah beliau.