Rabu, Oktober 28, 2009

LIOW KHIANATI ONG?


Timbalan Presiden MCA yang baru Datuk Seri Liow Tiong Lai mendedahkan mengenai cubaan beberapa pemimpin parti untuk "meracuni" hubungannya dengan presiden Datuk Seri Ong Tee Keat demi kepentingan agenda peribadi masing-masing.

Liow, yang juga Menteri Kesihatan berkata beliau kini "diserang" dan percaya serangan berterusan terhadap peribadi dan kredibilitinya itu didalangi oleh pemimpin tertentu yang "mahu mewujudkan perpecahan dalam parti".

"Saya juga telah dikhianati. Selama ini saya menyokong Ong. Saya menyokong usaha beliau untuk mewujudkan satu MCA. Saya menyokong beliau selama ini. Hanya selepas EGM (mesyuarat agung luar biasa) 10 Okt, keadaan menjadi keruh. Saya bukan sahaja menjadi mangsa tetapi juga telah dikhianati.

"Semua kami bersatu sebelum ini tetapi selepas 10 Okt, wujud keadaan di mana berlaku kata mengata, menyerang dengan semua jenis taktik. Semua ini amat tidak wajar," katanya dalam temu bual kepada Bernama.

Liow berkata hubungan beliau dengan Ong masih berjalan seperti biasa dan turut memberikan penjelasan mengenai apa yang telah berlaku dari tempoh antara EGM 10 Okt dan mesyuarat jawatankuasa pusat (CC) pada 15 Okt di mana beliau dilantik sebagai timbalan presiden sementara Ong tidak meletakkan jawatan disebalik gesaan supaya berbuat demikian.

Katanya sejurus selepas EGM, yang meluluskan undi tidak percaya terhadap Ong, presiden telah berjumpa dengan beliau, naib presiden Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun dan ketua Pemuda Datuk Wee Ka Siong, dan menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan.

Kemudiannya, Ong memanggil satu mesyuarat, yang dihadiri kira-kira 20 anggota CC dan memberitahu mereka yang beliau tidak lagi mendapat kepercayaan parti dan akan bertanggungjawab terhadap keputusan EGM, kata Liow.

"Beliau kemudian mengarahkan Chew dan (anggota CC yang dilantik) Dr Hou (Kok Chung) untuk menyediakan surat peletakan beliau dalam bahasa Mandarin walaupun anggota CC meminta beliau menarik balik keputusannya itu," kata Liow.

Ong kemudian mengumumkan yang beliau akan bercuti empat hari dan mengarahkan Liow dan setiausaha agung parti Datuk Wong Foon Meng untuk menguruskan hal ehwal parti.

"Ekoran beliau tetap dengan pendirian untuk meletak jawatan, anggota CC dengan itu memutuskan yang Ong hanya meletak jawatan selepas pelan peralihan dirumuskan," kata Liow.

Katanya menjelang mesyuarat 15 Okt, Ong menghubungi beliau dari Bangkok pada waktu pagi untuk mengaturkan makan malam dengan beliau, naib presiden Datuk Seri Kong Cho Ha, Dr Ng, Chew dan Wee di Hotel Concorde di sini tetapi pada saat-saat akhir, presiden memutuskan untuk berjumpa mereka secara berasingan.

"Beliau berjumpa kami seorang demi seorang tetapi tidak menyatakan hasrat beliau. Berikutan itu, beberapa anggota CC meminta saya bercakap dengan presiden untuk mencari penyelesaian secara baik," kata Liow.

Rentetan itu, Liow berkata beliau dituduh mengkhianati dan bersubahat untuk menggulingkan Ong dan telah digelar sebagai "pengkianat", "pembelot" dan "pemberontak CC".

"Ini amat tidak adil. Saya perlu pertahankan diri saya dan pertahankan anggota CC yang dituduh telah menikam presiden dari belakang," katanya.

Liow berkata 23 anggota CC telah memberikan perakuan secara bertulis yang memberikan kuasa kepadanya untuk bercakap kepada presiden tetapi "bukan untuk mendesak beliau meletakkan jawatan".

"Ada orang cuba memutarbelitkan ini sebagai surat untuk menjatuhkannya. Mereka malahan mengatakan saya telah menyerahkannya kepada perdana menteri, mendesak Ong untuk meletak jawatan. Anda boleh tanya perdana menteri sama ada beliau telah menerimanya (surat seumpama itu)," katanya.

Liow berkata beliau percaya ada pihak di belakang anggota CC Datuk Ti Lian Ker, penyokong kuat Ong, yang telah melancarkan serangan lisan terhadap beliau (Liow) dan mendakwa beliau (Liow) ialah pemimpin "pasukan ketiga" yang mahu menjatuhkan Ong dan bekas pemimpin nombor dua parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Pada temu bual itu, Liow juga berkata yang beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnah beliau dengan mendakwa isterinya menerima sebuah Toyota Alphard berharga hampir RM600,000 sebagai hadiah bagi pihak dirinya.

"Saya telah memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis. Saya mahu membersihkan nama saya. Saya juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang cuba memfitnah saya.

"Ini cubaan yang serius untuk "membunuh" kerjaya saya. Saya menjual kereta saya untuk membeli kereta Alphard import yang diperbaharui (reconditioned). Itulah sebenarnya," katanya.