Sabtu, Jun 11, 2016

PM UMUM BANTUAN KHAS KEPADA PEKEBUN KECIL



KUALA KANGSAR, 10 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bantuan khas kejatuhan harga getah 2016 kepada 388,111 pekebun kecil di seluruh negara bagi meringankan beban mereka.

Beliau berkata bantuan itu melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM194 juta.

Bantuan khas RM500 itu dibayar secara 'one off' kepada semua penerima bermula hari ini, katanya.



Pekebun-pekebun kecil menerima sumbangan pada majlis Penyampaian Bantuan Khas Kejatuhan Harga Gerah 2016


"Ini (bantuan) bukan kerana pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, kerana kita telah beri bantuan ini pada 2013, 2014 dan ini adalah kali ketiga.

"Kalau ada yang kata bantuan itu disebabkan PRK itu tak betul. Ini soal kebajikan masyarakat luar bandar," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan kejatuhan harga getah 2016 di sini, hari ini.

Daripada keseluruhan 388,111 penerima itu, seramai 1,479 adalah pekebun kecil dari sekitar kawasan Parlimen Kuala Kangsar yang melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM739,500.

Menjelas lanjut, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata daripada jumlah keseluruhan penerima itu juga, seramai 307,770 merupakan pemilik pengusaha, manakala bakinya 80,341 adalah penoreh yang tidak mempunyai kebun getah.

"Kerajaan sememangnya mengambil berat keperluan rakyat di mana sahaja mereka berada apatah lagi di kawasan luar bandar yang merupakan penyokong tegar kerajaan sedia ada.

"Walaupun keadaan ekonomi global lembab, waima apa keadaan sekalipun kerajaan tidak sanggup melihat orang kampung susah tanpa bantuan," katanya.

Najib berkata selaku ketua kerajaan, beliau serta menteri-menteri kabinet yang lain sentiasa membuat perancangan yang rapi dan jitu selain mampu dilaksanakan untuk rakyat.

Perdana Menteri berkata kerajaan sedaya upaya sentiasa mengotakan semua janjinya kepada rakyat dan ia berbeza dengan pembangkang yang belum terbukti mampu menunaikan janji mereka.

"Parti pembangkang mereka boleh cakap dan kritik tapi belum buktikan kemampuan. Apatah lagi negeri yang ditadbir oleh pembangkang juga bergantung kepada bantuan kerajaan persekutuan," katanya.

Dalam ucapannya, Najib turut meminta warga Kuala Kangsar supaya memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK Parlimen itu, Datin Mastura Mohd Yazid.

"Saya amat berharap apalah kiranya pertimbangkan hajat saya tak lain tak bukan satu sahaja...tolong sokong calon BN," katanya.

PRK Kuala Kangsar akan diadakan pada 18 Jun ini berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lalu.

Ia menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Mastura yang juga balu Allahyarham Wan Mohd Khair-il, Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS), Prof Dr Ahmad Termizi (Parti Amanah Negara) dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

-- BERNAMA

AZMIN TIDAK RESTUI CALON AMANAH?

SUNGAI BESAR, 10 Jun (Bernama) -- Ketiadaan kelibat Datuk Seri Azmin Ali bagi membantu kempen calon Parti Amanah Negara (Amanah) di Sungai Besar seolah-olah mengesahkan desas-desus bahawa Menteri Besar Selangor itu tidak merestui calon parti yang mewakili Pakatan Harapan.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin berkata ketidakhadiran Azmin juga menggambarkan seolah-olah menteri besar itu tidak mahu memberikan komitmen terhadap pengundi di Sungai Besar.

"Saya tidak tahu kenapa, tapi dia (Azmin) tidak ada oleh kerana masalah yang berlaku dalam Pakatan Harapan hari ini di mana calon yang bertanding (bagi Pakatan Harapan) di sini tidak direstui oleh beliau.

"Jadi jangan ingat kalau kita bagi sokongan kepada PAN (Amanah) kerajaan negeri akan bantu kita (pengundi Sungai Besar)," katanya semasa berucap pada majlis penyampaian peralatan sukan kepada persatuan belia pelbagai kaum di Sekinchan, di sini hari ini.

PKR sebelum ini 'tersepit' dengan perbalahan antara PAS dan Pakatan Harapan yang dianggotainya dengan DAP dan Amanah, termasuk dalam soal pemilihan calon bagi PRK Sungai Besar.

Azmin juga dikatakan mengelak daripada media selepas timbulnya isu dakwaan rasuah dalam kerajaan Selangor susulan pendedahan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli baru-baru ini.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR hadir di Sungai Besar pada hari penamaan calon, 5 Jun lalu, namun selepas itu tidak kelihatan sepanjang tempoh berkempen sehingga ke hari ini.

Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata komitmen rendah yang ditunjukkan menteri besar itu berbeza dengan pemimpin-pemimpin BN, termasuk menteri-menteri kabinet yang telahpun turun untuk mengadakan pelbagai program di Sungai Besar sejak sebelum hari pencalonan sehingga kini.

Katanya, ia sekaligus menunjukkan komitmen kerajaan persekutuan terhadap pengundi di Sungai Besar yang akan berterusan sehingga selepas hari pengundian pada 18 Jun nanti.

"Saya rasa selepas media melaporkan ucapan saya hari ini (berkenaan ketiadaan Azmin di Sungai Besar), esok mungkin dia akan hadir, tapi dia datang bukan sebab rakyat Sungai Besar, tapi sebab saya cakap dia tidak hadir," kata Khairy sambil disambut sorakan orang ramai di majlis itu.

PRK Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada PRK ini, BN diwakili Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi yang akan berdepan pertandingan tiga penjuru dengan calon Amanah Azhar Abdul Shukur dan calon PAS Dr Abdul Rani Osman.

-- BERNAMA