Isnin, Julai 26, 2010

CADANGAN ALI WAJAR DILAKSANA


Kerajaan negeri tetap akan menubuhkan sebuah sekolah khas bagi pelajar mengandung jika wujud keperluan, walaupun tidak mendapat sokongan daripada Kementerian Pelajaran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, langkah yang bertujuan menangani gejala pembuangan bayi yang semakin berleluasa itu bukan sebagai galakan kepada remaja untuk terjebak dengan perbuatan hamil luar nikah.

Sebaliknya, menurut beliau, ia lebih kepada tanggungjawab kerajaan untuk membantu rakyat yang menemui jalan buntu apabila tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi.

"Soalnya, bukan kita galakkan, tapi bila semua orang lepas tangan, tak cuba bantu remaja terbabit selesaikan masalah mereka, ini yang jadi hal seperti kes buang bayi.

"Saya tak perlu sokong-menyokong. Sekarang saya ada masalah budak mengandung, tapi tak ada suami, jadi kerja kita yang pertama adalah mengahwinkan dia dengan lelaki yang menyebabkannya mengandung, lepas itu, remaja perempuan itu boleh sekolah. Jadi apa salahnya?," katanya.

Mohd. Ali berkata demikian selepas merasmikan Majlis Ulang Tahun Ke-3 Kampung Buku Malaysia Melaka di Cafe Botanikal, Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang menyifatkan cadangan negeri Melaka untuk menubuhkan sekolah khas bagi pelajar yang mengandung akibat terlanjur atau berkahwin pada usia muda sebagai suatu idea yang pelik dan tidak sesuai dilaksanakan.

Cadangan itu juga katanya, tidak akan menyelesaikan masalah gejala pembuangan bayi malah, dikhuatiri akan menggalakkan lebih ramai pelajar terlibat dalam perbuatan yang tidak bermoral itu.

Mohd. Puad berpendapat ia adalah suatu idea yang agak pelik dan menyamakan apakah selepas ini perlu ditubuhkan pula sekolah khas untuk penagih dadah atau pelajar yang mencuri dan merompak.

Mengulas perkara itu, Mohd. Ali dengan tegas berkata, tidak timbul soal menggalakkan atau menubuhkan sekolah menagih dadah, sebaliknya, cadangan itu bertujuan menyelesaikan gejala yang sudah menjadi bencana dalam masyarakat.

"Kalau bukan begini, apa cara lagi kita nak atasinya?. Murid sekolah sudah mengandung, nak gugurkan tak boleh, jadi kita kahwinkan mereka dan kerajaan negeri akan berikan mereka RM500 untuk urusan kahwin.

"Memanglah kahwin itu terpaksa, tapi apa pilihan yang kita ada? Saya Ketua Menteri dan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), tak kan nak kata ini bukan kerja saya?" katanya.

Tambahnya, sama ada cadangan menubuhkan sekolah murid hamil itu mendapat persetujuan daripada kementerian atau tidak, ia bukanlah satu masalah kepada kerajaan negeri.

"Kalau Kementerian Pelajaran tak setuju saya buka sekolah baru. Saya boleh buat dalam sekolah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) atau sekolah swasta.

"Saya pun sudah bincang dalam mesyuarat MAIM. Mufti kata lepas akil baligh, ikut hukum Islam sudah boleh kahwin dan apa yang kita nak buat ini ikut hukum Islam.

"Lagi elok daripada kita larang anak-anak muda ini kahwin muda, lepas itu mereka berzina dan buang bayi," katanya.