Isnin, Ogos 29, 2016

UMNO PERLU FIKIR HALA TUJU UNTUK 40 TAHUN AKAN DATANG

UMNO perlu mula memikirkan hala tuju parti sekurang-kurangnya untuk 40 tahun akan datang bagi memastikan nasib anak bangsa pada masa hadapan tetap terbela, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, walaupun UMNO telah membawa kejayaan besar dalam tempoh 59 tahun kemerdekaan terutamanya dari aspek kesihatan, kemudahan asas, pendidikan dan gaya hidup, namun parti itu perlukan perancangan dan hala tuju bermula sekarang.

"Tapi daripada hari ini kita nak pergi 30 atau 40 tahun lagi, ke mana mereka (anak cucu) hendak pergi. Walaupun kita duduk dalam kehidupan nelayan, buat bendang, kerja kerajaan atau bekerja sendiri, tapi kita kena ada program dan rencana untuk semua kaum untuk masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kedah di sini semalam.


Jelas beliau, UMNO yang kini diterajui Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak jelas berada di landasan yang benar untuk membela nasib bangsa, agama dan negara.

Sentuhan transformasi Presiden UMNO itu misalnya kata beliau, membolehkan semua lapisan masyarakat dapat merasai perubahan baharu dilakukan UMNO.

-- BERNAMA