Isnin, Oktober 01, 2018

BEKAS AHLI PARLIMEN MIC KEMPEN UNTUK ANWAR



PORT DICKSON: Isu Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku bakal perdana menteri terus dijadikan kempen untuk menarik sokongan pengundi di kawasan Parlimen Port Dickson.

Kali ini ia disuarakan bekas Naib Presiden MIC Datuk S Sothinathan yang juga bekas anggota parlimen Teluk Kemang - nama lama bagi kerusi parlimen Port Dickson - selama dua penggal.

Menyifatkan Anwar sebagai pemberian Tuhan kepada penduduk Port Dickson, beliau berkata mereka bertuah kerana tidak banyak kawasan yang mempunyai perdana menteri sebagai wakil rakyat.

"Sejak kita merdeka, hanya tujuh kawasan parlimen yang mendapat perdana menteri sebagai anggota parlimen. Kini pengundi Port Dickson mampu catat sejarah.

"Maka kita perlu menyokong penuh Anwar dan memberikan kemenangan besar kepadanya pada 13 Oktober ini (hari mengundi)," katanya ketika berucap dalam program Ceramah Perdana DUN Sri Tanjung di Port Dickson, semalam.

Sothinathan yang menang dalam PRK Teluk Kemang pada 2000 menjadi anggota parlimen sehinggalah tewas kepada PKR pada 2008. Beliau yang pernah menjadi timbalan menteri sumber asli dan alam sekitar itu mengambil keputusan untuk keluar MIC pada Ogos lalu.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Port Dickson yang dikenali sebagai destinasi pelancongan mampu dibangunkan setaraf bandar-banda di Lembah Klang.

"Sekarang kita terpaksa ke Kuala Lumpur untuk setiap urusan penting. Selepas saya tamat sekolah, saya perlu ke Kuala Lumpur untuk lanjutkan pelajaran kerana kurangnya institusi pengajian tinggi di sini.

"Saya harap selepas Anwar menang, beliau akan memberi tumpuan khas kepada isu seumpama ini," katanya kepada kira-kira 500 hadirin.

Selain Anwar sendiri, turut hadir di program itu antaranya adalah bekas anggota parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah dan Anggota Parlimen Rasah Cha Kee Chin dan timbalan speaker DUN Negeri Sembilan M Ravi.

Dalam pada itu, Sothinathan berkata penglibatannya dalam kempen Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam PRK ini tidak bermaksud beliau mahu kembali dalam politik.

"Saya sudah bersara daripada politik. Tetapi mengambil keputusan untuk bersama Anwar demi kepentingan penduduk Port Dickson," katanya lagi.

Anwar kini berdepan enam calon dalam usahanya untuk kembali ke Parlimen iaitu Leftenen Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar dari PAS dan lima calon Bebas; Tan Sri Isa Samad, Saiful Bukhari Azlan, Lay Seck Yan, Stevie Chan dan Kee Chee Yuen.