Ahad, November 05, 2017

BAKAL CALON DISARAN MANFAATKAN MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Anggota UMNO terutamanya yang berpotensi dipilih menjadi calon pada pilihan raya umum ke-14 (PRU 14) disaran memanfaatkan sepenuhnya penggunaan media sosial.

Anggota Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi berkata ini kerana keberkesanan media sosial bergantung kepada momentum jangka panjang terutama bagi mendapatkan pengikut yang ramai.

Menurutnya, lebih ramai pemimpin UMNO sama ada di peringkat atasan mahupun di peringkat akar umbi perlu menggunakan media sosial secara lebih aktif.

"Pada PRU13 kebanyakan calon hanya memulakan penggunaan media sosial semasa tempoh berkempen iaitu beberapa minggu sebelum undian. Namun tempoh ini begitu singkat.

"Media sosial ini penting dalam memberitahu pengundi mengenai gerak kerja dan memperkenalkan calon itu sendiri, sekurang-kurangnya perlu buka akaun selama dua tahun sebelum akaun itu menjadi trending," katanya ketika menjadi panelis dalam forum bertajuk 'Peranan Jentera Siber Dalam Menghadapi PRU14' pada Konvensyen Media Sosial UMNO Peringkat Kebangsaan 2017 di sini, hari ini.