Sabtu, Oktober 07, 2017

RISSMART DAPAT TINGKATKAN PENDAPATAN USAHAWAN

IPOH, 7 Okt (Bernama) -- Pihak berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yakin cadangan mewujudkan RISDA Smallholders Mart (RisSmart) di setiap kawasan Parlimen dalam meningkatkan pendapatan usahawan Bumiputera di seluruh negara menjelang 2020, mampu direalisasikan.

Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawannya, Halimah Abd Kadir berkata cadangan itu dilihat relevan memandangkan jumlah usahawan Bumiputera yang berdaftar dengan RISDA sentiasa meningkat pada setiap tahun.

Beliau berkata meskipun cadangan penubuhan RisSmart itu bakal menelan belanja agak besar, kerjasama dan sokongan daripada agensi kerajaan dan swasta mampu untuk menjayakannya.

"Untuk merealisasikan kewujudan RisSmart di setiap Parlimen, kita kena pastikan terlebih dahulu ia diwujudkan di setiap negeri, mengambil kira sepertimana sasaran ditetapkan sebelum ini.

"Kita yakin sekiranya di peringkat negeri berjaya, perluasan cadangan membina RisSmart di seluruh Parlimen juga akan berjaya jika semua agensi berkaitan memberi sokongan penuh," katanya selepas menghadiri Karnival Usahawan RISDA peringkat Perak 2017 di Terminal Bas Amanjaya, di sini hari ini.

Terdahulu, karnival itu dirasmikan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan.

Sebelum ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menetapkan kewujudan RisSmart di setiap Parlimen menjelang 2020, bakal menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) baharu kepada RISDA dalam meningkatkan daya saing dan membantu usahawan Bumiputera memasarkan produk mereka.

Halimah berkata setakat ini, terdapat 13 RisSmart di seluruh negara kecuali Sarawak yang berfungsi sebagai pusat sehenti dalam memasarkan pelbagai produk dan perkhidmatan seperti makanan, kraftangan, salon dan sebagainya.

"Sambutan diterima juga amat menggalakkan kerana perkhidmatan yang kita tawarkan luas dan tidak hanya tertumpu kepada sektor makanan dan minuman," katanya.



Sementara itu Pengarah RISDA Perak, Fikri Ghani berkata cadangan penubuhan RisSmart di setiap Parlimen mampu mempromosi dan memperluaskan jaringan perniagaan usahawan Bumiputera itu.

"Di Perak, hanya ada satu RisSmart di terminal bas Amanjaya di sini, yang beroperasi pada 1 Mei lepas, melibatkan 17 usahawan yang bersama-sama memasarkan produk jualan mereka.

"Bayangkan kalau ia diperluaskan ke peringkat Parlimen, tidak mustahil lebih banyak usahawan Bumiputera yang berdaftar di bawah RISDA mampu memasarkan produk masing-masing," katanya.