Jumaat, Oktober 14, 2011

PEMBANGKANG MAHU CEPAT PILIHANRAYA


Kerajaan Pakatan Rakyat di empat negeri berkemungkinan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 diadakan.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan itu berkemungkinan merupakan strategi Pakatan untuk menumpukan kekuatan dan meraih sokongan rakyat di negeri-negeri pemerintahan BN.

Pakatan menerajui pentadbiran kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

"Dengan ini, mereka (Pakatan) dalam tangan ada empat buah negeri. Mereka tumpu di negeri-negeri lain untuk menambah kekuatan mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penganjur Larian Sahara di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, semalam.

"Bagi pilihan raya di peringkat DUN, ia bergantung kepada kerajaan negeri sama ada bubar atau tidak dewannya. Kalau keempat-empat DUN di bawah pemerintahan Pakatan tidak dibubar, kita akan lihat pilihan raya terhad kepada negeri-negeri yang diperintah BN," katanya.

"Namun begitu, sekiranya pilihan raya umum diadakan dekat dengan tamat tempoh penggal lima tahun, nak tak nak, dia (Pakatan) kena buat (membubarkan DUN) juga," katanya.

Dr Mahathir berkata kerajaan BN tidak perlu tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya umum ke-13 kerana tempoh penggal hanya berakhir pada Mac 2013.

Ulasan saya, pembangkang sudah lama mahu kerajaan bubarkan parlimen kerana mereka tak sabar lagi mahu duduk di Putrajaya. Oleh itu tidak mungkin mereka tidak membubarkan empat DUN Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Pada tahun 2004, kerajaan Kelantan dan Terengganu tetap membubarkan DUN walaupun PAS ada kuasa untuk tidak memubarkan Dewan Undangan Negeri.

Saya bersetuju Najib tak perlu tergesa-gesa bubarkan parlimen kerana masih ada dua tahun lagi tempohnya. Tetapi timing sekarang amat sesuai untuk dapatkan mandat baru dari rakyat. Oleh itu saya percaya Najib akan bubarkan parlimen pada bulan Feburai 2012 selepas hari raya Cina.

BN sekarang ada peluang untuk menang besar selepas Bajet 2012 dibentangkan Najib baru-baru ini. BN ada harapan untuk menang dengan majoriti dua pertiga ketika PAS dan DAP masih berbalah mengenai hukum hudud.

Prof Dr Aziz Bari kata Kelantan ada hak untuk kuatkuasa hukum hudud. Oleh itu Nik Aziz kena buat sekarang supaya lebih cepat DAP keluar dari Pakatan Rakyat. Ini yang memberi kelebihan kepada BN.