Ahad, September 30, 2018

SEKIRANYA EKONOMI BELUM PULIH DALAM TEMPOH DUA TAHUN, MAHATHIR WAJAR TERUS JADI PM


ALOR SETAR, 30 Sept (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) disaran menimbang situasi semasa negara termasuk keadaan ekonomi sebelum memutuskan had masa untuk Tun Dr Mahathir Mohamad berundur sebagai perdana menteri.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah berkata sekiranya keadaan ekonomi negara belum pulih dalam tempoh dua tahun Dr Mahathir mengetuai pentadbiran negara, sebaiknya perdana menteri diberi masa lebih lama sebelum meletak jawatan.

Bagaimanapun perkara itu terserah pada pimpinan peringkat tertinggi PH, katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Kedah, di sini hari ini.

Amiruddin diminta mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang meminta supaya Tun Mahathir Mohamad diberi peluang untuk terus kekal mentadbir negara sehingga habis tempoh penggal pentadbiran selama lima tahun.

Mengulas lanjut, beliau berkata walaupun Dr Mahathir dan PH sendiri telah berjanji dan memberi jaminan bahawa jawatan perdana menteri akan diserahkan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, biar masa menentukan perkara tesebut.

Dr Mahathir dan pucuk pimpinan PH sebelum ini sepakat untuk menyerahkan jawatan nombor satu negara itu kepada Anwar selepas perdana menteri selesai membantu memulihkan ekonomi negara yang dijangka dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun.

-- BERNAMA