Ahad, Februari 10, 2019

PRK SEMENYIH PENANDA ARAS SOKONGAN RAKYAT KEPADA PH

PUTRAJAYA, 9 Feb (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini akan menjadi penanda aras sejauh manakah sokongan rakyat terhadap prestasi kepimpinan Pakatan Harapan (PH), kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata PRK itu adalah pengukur sama ada ramalan firma penyelidikan, Fitch Solution bahawa populariti PH akan merosot atau sebaliknya.

"(PRK) Semenyih memang akan jadi penanda sejauh mana sokongan rakyat kepada PH, sama ada merosot atau sebaliknya.

"Kalau ilihat dari satu sudut, sekiranya (sokongan rakyat) merosot atas sebab prestasi kerajaan PH, ini adalah tidak seperti yang diharapkan, ia perlu difahami kerana kerajaan masih baru dan masih perlu menangani pelbagai masalah yang telah diwarisi (dari kerajaan terdahulu).

"Jadi tanggapan bahawa kita (kerajaan PH) tidak 'deliver', ia memang adalah tanggapan kuat di kalangan masyarakat tapi itu boleh ditangani dalam tahun-tahun dan masa akan datang. Tidak semestinya, sekiranya merosot ia adalah petanda apa yang akan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya.

Khalid berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Memancing Putrajaya sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di sisiran tasik Presint 1, di sini, hari ini.

Pertandingan Memancing Putrajaya adalah acara tahunan anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) itu disertai kira-kira 1,800 kaki pancing dari seluruh negara.

Baru-baru ini, media melaporkan Fitch Solution meramalkan populariti PH dijangka merudum dalam beberapa bulan akan datang kerana antara lain disebabkan perbalahan dalam gabungan politik itu dan kerajaan tidak membantu mengurangkan kos sara hidup.

Mengulas lanjut, Khalid berkata jangkaan dan harapan rakyat begitu tinggi ketika PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara dan selepas sembilan bulan rakyat mengharapkan segalanya berubah.

"Itu agak mustahil untuk kita lakukan dengan kadar sebegitu segera tetapi apa yang dijanjikan masih lagi menjadi sasaran dan akan kita usahakan.

"Cuma tempoh masa untuk dilaksanakan mungkin memerlukan sedikit masa kerana banyak lagi benda yang kita 'warisi' perlu kita selesaikan dengan baik," katanya.

-- BERNAMA