Jumaat, Julai 14, 2017

DR MAHATHIR TIDAK RISAU ROSAKKAN UMNO

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak risau usahanya untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri akan merosakkan parti UMNO.


Beliau yang mengaku memang berusaha untuk menurunkan Najib sejak tahun 2014, berkata tindakkannya itu bukan merosakkan UMNO tetapi merosakkan Najib yang telah memburukkan UMNO.

Dr Mahathir, 92, yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). berkata demikian ketika ditanya peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos semasa pemeriksaan balas dalam perbicaraan kes saman fitnah difailkan anaknya Datuk Seri Mukhriz selaku plaintif terhadap Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad selaku defendan.

Dr Mahathir, yang merupakan saksi kedua plaintif juga mengaku PPBM berlawan dengan parti UMNO.

Bekas perdana menteri dan bekas presiden UMNO itu berkata pada kebiasaannya individu yang memegang jawatan sebagai naib presiden UMNO boleh dipilih sebagai timbalan perdana menteri, bagaimanapun beliau menegaskan perkara itu terpulang kepada budi bicara presiden parti.

"Kebiasaannya...walaupun tidak terhad, kita (UMNO) pilih daripada naib presiden yang tiga orang yang ada, ikut budi bicara presiden," katanya yang pernah memilih Tun Abdullah Ahmad Badawi yang pada ketika itu memegang jawatan naib presiden UMNO sebagai timbalan perdana menteri, menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dipecat.

Di awal prosiding, Mukhriz ketika ditanya mengenai isu beliau bertanding jawatan naib presiden UMNO dan tafsiran anggota UMNO bahawa beliau mempunyai niat atau bakal menjadi perdana menteri, berkata "Walaupun ia adalah stepping stone (batu loncatan) tetapi ia bukan jaminan untuk dipilih menjadi perdana menteri.

"Saya fikir anggota UMNO sedia maklum bahawa bertanding jawatan naib presiden bukan jaminan jadi perdana menteri," katanya.

Mukhriz turut memberitahu mahkamah bahawa bapanya tidak mengalakkan beliau bergiat di dalam politik namun beliau mempunyai hujah-hujah sendiri untuk bergiat.

Mukhriz yang diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, memfailkan saman itu pada 3 Mei 2016 kerana mendakwa bahawa Tengku Sarifuddin telah mengeluarkan dua kenyataan yang berbaur fitnah terhadap beliau pada April, tahun lepas.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud Dr Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkomplot dalam kempen jahat bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah dan plaintif masih terbabit secara langsung dalam komplot antara Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung pada 19 dan 20 Okt.

-- BERNAMA