Khamis, Januari 15, 2009

FAKTOR DATUK RAZALI


Bila ada pilihan raya, baru BN sedar betapa arwah Datuk Razali Ismail ada pengaruh. Jika tidak masakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sanggup menemui ahli keluarga dan penyokong arwah Razali.


Ini maknanya jika penyokong Razali berpaling tadah pada 17 Januari ini, maka kalahlah BN. Kemuncaknya esok Najib akan tukar nama Intitut Perguruan Kuala Terengganu kepada Institut Perguruan Datuk Razali dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar kepada Sekolah Menengah Datuk Razali.


Nampaknya isu yang dimainkan oleh PAS bahawa Razai dipinggirkan oleh UMNO sewaktu arwah masih hidup memang jadi kenyataan. Jika tidak BN tak tukar nama sekolah dan jumpa para penyokong Razali.


Para pengundi Kuala Terengganu ramai dari kalangan guru. Jika mereka berpaling tadah, maka kalahlah BN. Maka hati mereka perlu dijaga supaya tangan mereka tidak mengundi PAS lusa.


Soal Razali dipinggirkan tidak timbul. Walaupun beliau timbalan menteri, beliau kalah dalam pertandingan naib ketua bahagian. Bukannya Razali lawan Datukl Wan Farid untuk jadi ketua bahagian. Razali bukannya lawan Datuk Che Mat Jusoh untuk jadi timbalan. Razali mahu jadi orang nombor tiga sahaja di bahagian. Itupun para perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu tidak memberi peluang kepadanya.


Orang UMNO Kuala Terengganu memang begitu. Dari dulu lagi. Dulu Terengganu ada menteri Datuk Manan Othman tapi orang UMNO tak beri tempat kepada menteri. Manan cuba tanding ketua umno bahagian tetapi kalah kepada exco, arwah Datuk Bakar Daud. Ini bemakna dari dulu lagi ahli parlimen yang ada jawatan di peringkat pusat tidak diberi layanan oleh perwakilan UMNO Kuala Terengganu. Justru itu bila Razali kalah untuk duduk di kerusi ketiga pun, ditolak juga. Kebetulan pula dia kalah kepada abang Wan Farid, Datuk Wan Hisham.


Kenapa Wan Farid tak nasihati abangnya tarik diri? Jika Wan Farid ikhlas, dia boleh suruh abangnya beri laluan kepada arwah Razali. Sebaliknya Wan Farid lebih suka lihat Razali kalah dalam gelanggang. Alangkah malunya bila timbalan menteri pelajaran boleh kalah.


Pak Lah pernah menyebut bahawa beliau pernah terfikir untuk lantik Razali sebagai Menteri Pelajaran. Lebih tinggi dari Ketua Pengarah Pelajaran yang disebut Najib jika beliau tidak sertai politik. Oleh itu terpulanglah kepada para penyokong Razali sama ada mahu terus mengundi BN pada lusa.