Ahad, September 06, 2015

JANGAN DOUBLE STANDARD PEMBANGKANG

 Tindakan Kerajaan PKR Selangor menubuhkan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) menjadikan isu paling panas di negeri itu berikutan syarikat bernilai RM2 tersebut didakwa akan menguruskan kira-kira RM30 bilion nilai aset yang kini di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor.

Azmin Ali
Sebuah portal be­­ri­­ta baru-baru ini mendedahkan rekod terkini Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan kedua-dua saham bernilai RM1 DEIG itu didakwa dipegang oleh dua individu iaitu Ketua Pegawai Eksekutif MBI Sela­ngor, Raja Shahreen Raja Othman dan Ketua Pegawai Operasi MBI Selangor, Soffan Affendi Aminuddin.

Menurut portal tersebut, pe­gangan saham itu dilihat bertentangan dengan struktur pegangan yang dipaparkan di laman web DEIG yang menunjukkan DEIG merupakan 100 peratus milik penuh MBI Se­langor.

Sebelum itu, ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini beberapa ADUN termasuk daripada DAP mendesak supaya penubuhan DEIG dikaji semula memandangkan syarikat tersebut ditubuhkan melalui Akta Syarikat yang sekaligus bermakna segala aktiviti, operasi dan pengurusan kewangan serta pelaburan tidak perlu dilaporkan kepada DUN.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali seolah-olah tidak menghiraukan keputusan DUN Selangor yang meluluskan usul agar kerajaan negeri meneliti semula penubuhan DEIG.
Sebaliknya, beliau tetap mempertahankan langkah mewujudkan syarikat tersebut dan tindakan menggunakan dua individu bagi mendaftarkan DEIG sebelum di­serahkan kepada MBI Selangor.
Sambil menyatakan proses tersebut sebagai amalan biasa dalam pembentukan syarikat, beliau menjelaskan, kedua-dua individu terbabit berperanan dalam saham promoter yang dibenarkan dalam undang-undang.
“Kedua-dua individu ini adalah pemegang saham untuk membuka syarikat (DEIG),” katanya.
Mohamed Azmin memberitahu, walaupun kedua-dua individu berkenaan terlibat pada peringkat awal penubuhan syarikat itu, namun kini MBI Selangor memiliki­nya dengan pegangan 100 peratus sejak Julai lalu.
“DEIG masih belum lagi beroperasi dan dijangka (berope­rasi) pada tahun depan. Ketika ini syarikat sedang menjalankan penelitian undang-undang untuk memperkemaskan soal tadbir urus selain menyediakan penyata kewangan kepada kerajaan ne­geri,” katanya.

Sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 18 Ogos lalu kecoh seketika apabila bekas Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim mempersoalkan tujuan sebenar kerajaan negeri mewujudkan satu entiti baharu bagi menguruskan pelaburan anak-anak syarikatnya iaitu Darul Ehsan Investment Group (DEIG).
Kekecohan bermula selepas Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali memberi penjelasan terhadap soalan tambahan Mohd. Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) mengenai peranan DEIG yang bertanggungjawab dalam proses penggabungan pelaburan 12 anak syarikat di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) sebelum ini bagi mengelakkan pertindihan aktiviti.
Mohamed Azmin sebelum itu ketika menjawab soalan lisan Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama) memberitahu, DEIG ditubuhkan selepas MBI dilihat gagal mencapai nilai pelaburan mampan selain bertujuan mengurangkan risiko kepada kerajaan negeri.
Bagaimanapun, Abdul Khalid (Bebas-Pelabuhan Klang) mempertikaikan kewujudan DEIG yang didakwa ditubuhkan tanpa sebarang enakmen dan tidak mempunyai kelulusan DUN.
Abdul Khalid berkata, keadaan itu membuatkan DUN tidak dapat memantau dan mengetahui mengenai aktiviti yang dijalankan oleh DEIG yang disifatkan sebagai orang tengah.
“Adakah tatacara (penubuhan DEIG) ini dikira dengan baik? Walaupun entiti itu di bawah MBI, jika syarikat ini menandatangani perjanjian atau mengadakan usaha sama, risiko pelaburan itu tidak akan hilang dan akan kembali semula kepada MBI dan kerajaan negeri?" katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid yang ditemui di lobi DUN berkata, penubuhan DEIG akan menyebabkan masalah urus tadbir dan ketidaktelusan dalam hal kewangan serta pelaburan kerajaan negeri kerana entiti tersebut bebas audit.
“Sebagai contoh, Menteri Besar membangkitkan soal hutang dan pembayaran Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), namun semua itu kita boleh bincang di dewan tapi bila ada sebuah syarikat bawah MBI, ia akan mengurangkan ketelusan.
“Ini disebabkan DEIG bukan ditubuhkan di bawah Enakmen MBI 1994 dan diletakkan di bawah syarikat, ia tidak dapat dibincangkan dalam dewan,” katanya.
Yang menjadi masalah sekarang, kenapa pemimpin BN tidak selongkar isu DEIG. Hanya beberapa pemimpin yang menggunakan isu ini untuk hentam pembangkang. Sepatutnya apabila pemimpin pembangkang menghentam 1MDB, pemimpin BN hentam pembangkang dengan isu DEIG. Kalau tak ada fakta, lantik think tank untuk buat research mencari bahan tentang DEIG.

Naib Presiden UMNO,Hishammuddin  Hussein ketika menggesa kerajaan PKR memberi penjelasan tentang DEIG berkata, penjelasan itu perlu kerana melibatkan soal prinsip tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan.
Menurutnya, keraguan dan kebimbangan berhubung penubuhan DEIG timbul kerana entiti baharu itu dipertanggungjawabkan menguruskan aset Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) bernilai berbilion ringgit tetapi laporan kewangannya tidak boleh diaudit dan cara semak dan imbang ke atasnya tidak diperjelaskan kepada orang ramai.
“Hari ini giliran DEIG, sekiranya ada perkara tidak kena dan memerlukan penjelasan berhubung urus tadbir korporat, mereka perlu jelaskan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam baru-baru ini.

 Hishammuddin ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuantan pula meminta pengamal media terutama media sosial bersikap adil dalam memberikan liputan berhubung isu DEIG sama seperti mereka lakukan terhadap 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
Menurut beliau, seperti mana mereka memberikan tumpuan terhadap isu 1MDB, perkara sama perlu dilakukan media dalam talian terhadap penubuhan DEIG di Selangor.
“Apa bezanya apa yang berlaku di Selangor sekarang ini, kini giliran mereka (kerajaan PKR Se­langor) untuk menjawab. Kenapa tumpu kepada kita sahaja,” katanya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menyelar tindakan PKR yang didakwa tidak bersikap telus berhubung Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang ditubuhkan bagi mengambil alih peranan Menteri Besar Incorporated (MBI) menguruskan pelaburan anak-anak syarikat di bawah pemerbadanan itu.
Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata pembangkang hanya tahu menuding jari menuduh kononnya kerajaan Persekutuan tidak telus dan cuba menyembunyikan perkara sebenar terutama berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), sebaliknya mereka yang melakukan tindakan sedemikian.
"Nampak seolah-olah ada 'udang di sebalik batu' sebab dia (Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali) hanya buat penjelasan apabila pendedahan dibuat. Kalau pendedahan tak dibuat dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor saya tak tahu beliau akan jelaskan ataupun tidak.
"Bagi kita (isu) 1MDB kita jelas. Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kata kita boleh siasat... siapa-siapa pun boleh siasat. Kita hantar kepada Parlimen, kita hantar kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Kita telus sebab tidak ada apa-apa yang nak disembunyikan," katanya.
Tentu ada sebab kenapa wakil rakyat DAP yang menjadi tulang belakang kerajaan Pakatan Rakyat tidak bersetuju dengan penubuhan DEIG. Oleh itu ini adalah peluang terbaik bagi pemimpin Umno menghentam penubuhan DEIG.

 Yang lucunya Azmin berkata DEIG belum beroperasi, tetapi kenapa DEIG sudah bayar zakat perniagaan. Yang peliknya kenapa dua pemimpin pembangkang, Rafizi Ramli dan Tony Pua yang bising tentang 1MDB membisu seribu bahasa tentang DEIG. Jangan double standard, Rafizi dan Tony Pua. Bila isu kena batang hidung sendiri, senyap membisu.