Selasa, Oktober 27, 2015

PAKATAN HAPRAK (PAKATAN HARAPAN DAN PAKATAN RAKYAT) SATU BONUS BUAT BN

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan boleh wujud serentak.  Beliau menyamakan senario politik 1990 dan 1995 apabila PAS bersama Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah manakala Semangat 46 bersama DAP dan PBS dalam Gagasan Rakyat.

Buat apa ahli parlimen Kota Bharu itu menyamakan Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan dengan Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat yang ditolak rakyat dalam PRU 1990 dan 1995. Kalau nak tunjuk contoh pun, tunjuklah contoh yang memberi kemenangan kepada mereka dan bukannya contoh yang kalah.

Bosan menerima dua kekalahan dalamm PRu, akhirnya Tengku Razaleigh Hamzah yang mengetuai Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat akhirnya membubarkan Parti Semangat 46 pada tahun 1996 dan menyertai Umno beramai-ramai.

Kita lihat bagaimana celarunya Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat, walaupun PAS dan Semangat 46 menang di Kelantan, PAS mungkir janji melantik wakil rakyat Semangat 46 sebagai timbalan menteri besar. Ini bermakna PAS sendiri tidak mengiktiraf kerajaan Angkatan Perpaduan Rakyat. Sebaliknya yang wujud ialah kerajaan PAS di Kelantan yang diketuai Nik Aziz Nik Mat.

Orang PAS yang kononnya Islamik boleh mungkir janji sedangkan salah satu sifat orang munafik ialah orang yang mungkir janji. Itu yang hairannya pemimpin ulama macam Nik Aziz boleh mungkiri janji yang dipakati bersama di antara PAS dengan Semangat 46.

Jika trend ini berterusan, Pakatan Harapan dan Pakatan Rakyat boleh diberi nama Hap (Harapan) dan Rak (Rakyat) maka gabungan Pakatan Harapan dan Pakatan Rakyat boleh dinamakan sebagai Pakatan Haprak. Pakatan Haprak kalau menang memerintah Malaysia tidak akan kekal lama kerana mereka akan bergaduh sesama sendiri.

PAS dalam Pakatan Rakyat mahu laksanakan hukum hudud tetapi DAP dalam Pakatan Harapan tidak mahu hudud. Akhirnya kerajaan Pakatan Haprak akan tumbang kerana mereka tidak dapat bersetuju dalam apa juga isu.

Takkan PAS mahu membiarkan kerusi mereka diambil oleh Amanah yang merupakan parti komponen baru dalam Pakatan Harapan. Maka perbalahan PAS dan Amanah ini akan memberi kelebihan kepada calon Umno untuk memenangi kerusi yang diperuntukkan kepada PAS.

Sebab itu dalam menghadapi PRU pada tahun 2018, kita tidak bimbang dengan kekuatan Pakatan Haprak tetapi yang kita bimbang orang Umno sendiri yang mengundi pembangkang kerana mereka adalah duri dalam daging dan api dalam sekam meminjam kata kata PM, Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2016 pada hari Jumaat lalu.

Sesungguhnya kewujudan Pakatan Haprak merupakan satu bonus buat BN. BN tetap menang dalam PRU akan datang walaupun tak dapat majoriti dua pertiga dengan syarat Umno serius menyingkirkan ahli yang duri dalam daging segera.