Rabu, Februari 25, 2015

TIGA BEKAS MB BERTEMU DALAM SATU FORUM

KUALA TERENGGANU, 24 Feb (Bernama) -- Tiga bekas menteri besar Terengganu menyatakan persetujuan mereka untuk hadir pada satu majlis forum bagi menjelaskan inspirasi dan pandangan mereka dalam membangunkan negeri Terengganu. Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata beliau sendiri akan menjadi moderator kepada majlis itu yang dijangka bakal berlangsung selepas tempoh setahun beliau menjadi menteri besar pada 12 Mei nanti. Beliau berkata pandangan daripada tiga bekas menteri besar iaitu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (1974-1999), Datuk Seri Idris Jusoh (2004-2008) dan Datuk Seri Ahmad Said (2008-2014) juga akan membantu menjayakan Tranformasi Terengganu Baharu yang bersandarkan kepada lapan prinsip utama. "Selepas setahun saya sebagai menteri besar, selepas 12 Mei ini, pandangan ketiga-tiga tokoh (bekas Menteri Besar) apa yang mereka laksana dan apa inspirasi, apa yang belum terlaksana dan apa tugas saya, serta gabungan solidariti yang patut berlaku," katanya kepada pemberita mengenai harapan beliau terhadap forum itu di sini hari ini. Pada 12 Mei tahun lepas Ahmad Razif yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Takir dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu menggantikan Ahmad Said. -- BERNAMA