Memaparkan catatan dengan label mb. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mb. Papar semua catatan

Jumaat, Ogos 09, 2019

BERSATU JOHOR NAFI MB LETAK JAWATAN

JOHOR BAHRU, 8 Ogos (Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menyifatkan khabar angin kononnya Datuk Dr. Sahruddin Jamal akan meletak jawatan Menteri Besar Johor sebagai tidak berasas dan mengarut.

Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri berkata khabar angin yang berpunca daripada laporan sebuah portal tajaan pembangkang itu adalah berniat jahat, membuang masa dan tidak perlu dilayan.

Katanya, Sahruddin telah melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan gigih dan penuh integriti, dan mendapat sokongan yang baik dari semua anggota Exco sama ada dari Bersatu mahupun parti komponen Pakatan Harapan.

Katanya, Sahruddin juga mendapat kerjasama yang baik daripada jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan dalam menangani isu-isu semasa termasuk isu pencemaran di kawasan Pasir Gudang.

"Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dengan meletakkan kepentingan rakyat di tempat yang sewajarnya dalam setiap tindakan serta perancangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, satu akaun Facebook iaitu Ops Johor memuat naik satu posting bertajuk ‘MB Johor akan lepaskan jawatan’ dengan mendakwa ia disebabkan kegagalan Sahruddin dalam menguruskan masalah pencemaran selain menerima tekanan daripada pelbagai pihak yang kecewa dan sedih dengan pentadbiran Johor hari ini.

Bagaimanapun, ini dinafikan oleh Sahruddin.

Menurut Solihan lagi, pembangkang tidak seharusnya mengambil kesempatan terhadap setiap masalah dan menjadikannya isu politik sedangkan sebahagian besar masalah itu berakar dan berpunca daripada kesilapan dan kealpaan mereka (pembangkang) sebelum ini.

“Pakatan Harapan khususnya Bersatu tidak akan menyerahkan masa depan negeri ini kepada pihak yang sengaja menjadikan isu-isu terpencil sebagai alat menghilangkan keyakinan rakyat kepada kepimpinan negeri yang disokong majoriti rakyat,” katanya.

— BERNAMA

Selasa, Disember 04, 2018

TIDAK BENAR MB TERENGGANU BERSELISIH FAHAM DENGAN PRESIDEN PAS



KUALA TERENGGANU: Kerajaan Pas Terengganu hari ini menolak sekeras-kerasnya dakwaan kononnya wujud konflik kalangan kepemimpinan tertinggi di negeri ini termasuk cubaan menggulingkan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.


Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim memberi jaminan keadaan aman damai dan tenang tanpa sebarang konflik membabitkan kepimpinan tertinggi negeri Beliau berkata, khabar angin yang mengaitkan perselisihan antara Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak benar sama sekali dan fitnah semata-mata.

"Alhamdulillah, Terengganu dalam keadaan damai dan tenang serta sedang bekerja mengisi kemenangan.

"Cerita rekaan itu tidak wujud dan tidak tahu dari mana puncanya, malah kita juga tidak tahu apa tujuan sebenar pembawa cerita ini.

"Yang pasti kerajaan negeri dalam posisi yang sangat baik dan produktif kepada rakyat," katanya.

Dalam catatan beberapa individu di laman sosial Facebook mendakwa terdapat kumpulan yang telah bertemu Abdul Hadi bagi menukar menteri besar Terengganu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Mesej tular bertajuk Kerusi MB Terengganu Panas? itu mendakwa tindakan tersebut disebabkan rasa tidak puas hati kumpulan berkenaan terhadap Dr. Ahmad Samsuri yang dikatakan lebih mengutamakan orang luar dalam membuat lantikan politik bagi jawatan-jawatan berprestij.

Ia turut mendedahkan perbezaan pendapat antara Dr. Ahmad Samsuri dan Abdul Hadi berhubung isu royalti dan isu himpunan menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).


Ahad, Jun 24, 2018

10 RIBU HADIRI MAJLIS MB DI KEMAMAN



KEMAMAN: Kira-kira 10, 000 pengunjung membanjiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri sempena lawatan Rasmi Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ke Kemaman, hari ini.

Sambutan yang dianjurkan Pejabat Daerah Kemaman yang diadakan di tempat letak kereta Astaka, Kemaman itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat, ADUN Air Putih, Ab Razak Ibrahim, ADUN Kemasik, Saiful Azmi Suhaili dan Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur Wan Mohd Hasnan Abdullah,


Lebih 10 agensi kerajaan dan syarikat korporat menyediakan pelbagai aneka juadah raya masing-masing kepada pengunjung seperti nasi minyak, kambing golek, sate, nasi himpit, ketupat dan lain- lain lagi.


Antara yang mendapat sambutan hangat adalah gerai Petronas apabila 1,000 batang Lemang Kijal habis dalam tempoh tiga jam sebaik majlis bermula.

Selain itu, kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah turut menerima duit raya yang disampaikan oleh Menteri Besar.

Di majlis itu, Ahmad Samsuri turut mengucapkan salam aidilfitri kepada semua warga Kemaman dan para pengunjung yang hadir memeriahkan sambutan berkenaan serta berharap majlis itu dapat merapatkan tali silaturahim sesama kita.

Khamis, Mei 31, 2018

AHLI PARLIMEN PUN BOLEH JADI MB PERLIS?



KANGAR 30 Mei - Barisan Nasional (BN) negeri akan mempersembahkan nama 11 orang wakil rakyat parti itu sebagai calon Menteri Besar yang baharu semasa menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang dijangka minggu depan.



ZAHIDI ZAINUL ABIDIN


Setiausahanya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, tarikh untuk sembah menghadap bagi mempersembahkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen itu bergantung kepada kesesuaian masa yang akan diperkenankan baginda.


Beliau walau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sekiranya Tuanku Syed Sirajuddin menolak nama-nama dikemukakan itu sebaliknya kekal dengan pendirian baginda melantik Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar.

“Kita berharap dapat sembah menghadap Raja Perlis (Tuanku Syed Sirajuddin) pada minggu depan dan mempersembahkan 11 nama (calon Menteri Besar) kepada baginda,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana semasa pelantikan Azlan yang diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan itu di Istana Arau dekat sini pada 24 Mei lalu, kesemua sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN tidak menghadirinya.

Pada masa sama, Azlan yang juga ADUN Bintong tersebut dipecat keahliannya.

Perkara itu diumumkan oleh Shahidan yang mengadakan satu sidang akhbar khas di ibu negara bersama sembilan wakil rakyat daripada BN.

Sehingga kini, kesemua sembilan ADUN BN itu dikatakan sebulat suara menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin tetapi enggan menyatakan pendirian menyokong pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar.

Berdasarkan perkara 39 (4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Raja Perlis berhak melantik sesiapa sahaja sebagai Menteri Besar termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen.

BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis



Sabtu, Disember 09, 2017

BUDIMAN BAKAL MB SELANGOR?

oleh ABDULLAH KARIM

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sungai Panjang, Selangor tidak pernah memikirkan namanya diangkat sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada pilihanraya kali ke -14 nanti.

Sebaliknya Budiman Mohd. Zohdi (paling kanan)  membuat tafsiran bahawa cakap-cakap seperti itu hanyalah mainan politik semata-mata menjelang pilihanraya yang bakal berlangsung pada tahun hadapan.

"Saya tak tahu pulak saya akan dilantik menjadi menteri besar sekiranya Umno menang di Selangor," katanya ketika di temui di PAU 17 di Pusat Dangangan Dunia Putra, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar berkata sebagai ahli parti yang dididik supaya patuh kepada pucuk pimpinan, itulah pegangannya apabila bercakap mengenai jawatan dalam parti.

"Adalah baik kita bekerja keras terlebih dahulu dan pastikan Umno menang pada pru akan datang lepas itu barulah kita boleh bercakap siapa MB baru Selangor," jelas beliau.

Pemerhati politik di Selangor menyebut ada beberapa tokoh yang boleh diketengahkan menjadi MB Selangor sekiranya Umno kembali menerajui negeri terkaya di Malaysia.

Antara nama-nama tersebut termasuklah beliau serta Tan Sri Noh Omar.

Mengenai peluang, Budiman yakin parti keramat Umno akan merampas kembali Selangor setelah dua penggal terlrpas ke tangan PR.

Kesedaran majoriti rakyat Selangor yang tidak yakin dengan pentadbiran PR meruoakan salah satu faktor BN akan menerajui Selangor pada PRU 14 nanti.


Sabtu, September 09, 2017

MB BERJIWA BESAR PELUK AHMAD SAID



CHUKAI, 8 Sept (Bernama) -- Gandingan menteri besar Terengganu dengan dua bekas menteri besar negeri ini mampu memastikan UMNO terus menang di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri yang juga Naib Presiden UMNO menjalankan tugas timbalan presiden parti berkata gandingan kerjasama Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said itu juga mampu melenyapkan segala kontroversi yang pernah dicanang sebelum ini

"Realitinya Idris dan Ahmad bukan lagi Menteri Besar tetapi ketiga-tiga ini (bersama Ahmad Razif) duduk bersama-sama di atas pentas. Ia adalah petunjuk bahawa sejarah silam telah berlalu. Perbezaan diketepikan demi kepentingan UMNO keseluruhannya.






"Jangan pernah usik UMNO dan Barisan Nasional selagi pemimpin-pemimpin ada bersama dengan kita ini dengan didukung oleh ketua bahagian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan masyarakat..insya-Allah Terengganu masih milik UMNO pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan UMNO Bahagian Kemaman 2017 di sini hari ini.

Pada majlis itu Ahmad Razif yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu kelihatan ceria memeluk Ahmad selepas Ahmad selesai memberi ucapan sebagai Ketua Bahagian UMNO Kemaman, dan tindakan spontan itu dipuji oleh Ahmad Zahid.

Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi hadir bersama para pemimpin UMNO di Terengganu, veteran UMNO serta anggota perwakilan bahagian Kemaman pada majlis itu.






Ahmad Zahid turut menyatakan keyakinannya dengan cantuman idea ketiga-tiga pemimpin berkenaan bagi menzahirkan pelbagai pembangunan untuk kebaikan rakyat malah mereka mempunyai pengalaman dalam menanggani situasi dan era politik di Terengganu.

"Kita llihat apa yang berlaku suatu ketika dahulu apabila kita (UMNO) kecundang untuk mempertahankan Terengganu dan kehilangan satu penggal. Tetapi atas usaha dan kepercayaan kepada Idris (Menteri Besar ketika itu) bersama pemimpin lain, Terengganu ditakluki semula.

"Namun jika tidak diberikan keutamaan kesatuan, ada kemungkinan peristiwa kehilangan kuasa ini akan berlaku semula. Jika kita melayan perbezaan kita...layan tukang kipas kiri dan kanan, maka kita akan tempah maut pada PRU akan datang," katanya.

Selain itu, mengenai pencalonan Ahmad untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, Ahmad Zahid berkata beliau tidak dapat membuat pengesahan meskipun ada permintaan daripada pihak UMNO Kemaman.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa peluang itu wujud sekiranya Ahmad terus membuktikan komitmen kepada parti dan masyarakat.



Sebelum ini timbul isu melibatkan Ahmad dan Ahmad Razif yang mengeruhkan suasana seolah-olah Terengganu dilanda masalah politik selepas Ahmad meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada 2014.

Ia berlarutan hingga berlaku percanggahan pendapat antara kedua-duanya dan timbul spekulasi Ahmad mahu beralih ke parti lain namun ia tidak berlaku selepas Ahmad bertegas tentang kesetiaannya bersama UMNO.

Ahmad sebelum ini menggantikan Idris, yang merupakan Anggota Parlimen Besut pada 2008.

-- BERNAMA

Ahad, Julai 02, 2017

HUSAM MB DIREMOTE CONTROL DAP



KUALA LUMPUR 1 Julai - Pas menyifatkan Naib Presiden PAN, Datuk Husam Musa sebagai calon Menteri Besar Kelantan yang boleh dikuasai dan patuh kepada DAP.


Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, bagi menjatuhkan Pas di Kelantan, DAP memerlukan seorang Menteri Besar yang patuh kepada kehendaknya.


Justeru, jelas beliau, mereka bukan hanya perlukan individu yang ‘diredhai’ oleh DAP, malah dana untuk menjayakannya.

“Politik mereka kini bertunjangkan dendam kesumat. Asal Pas jatuh di Kelantan maka siapa pun menang tidak mengapa.


“DAP nak perintah Kelantan tidak boleh, akhirnya mereka atur orang yang boleh dikuasai untuk memimpin Kelantan,” katanya dalam status di laman Facebook beliau semalam.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang kelmarin menyokong Husam sebagai calon Menteri Besar Kelantan jika tampuk pemerintahan negeri tersebut berubah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kit Siang berkata, pemilihan Husam dibuat bagi membawa perubahan besar kepada Kelantan yang selama ini diperintah oleh kepemimpinan Pas.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, rakyat Kelantan berhak menentukan siapa Menteri Besar yang akan memimpin negeri itu.

“Apakah mereka mahu Menteri Besar yang patuh DAP atau Menteri Besar yang mempunyai karisma tinggi bagi meneruskan legasi kepemimpinan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” katanya.



Khamis, Ogos 04, 2016

BUKTI MB DAPAT SOKONGAN RAKYAT KEMAMAN

Malam tadi  lebih 10,000 orang hadiri majlis sambutan hari raya di Paya Berenjut,Kemaman yang dihadiri oleh MB Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Sambutan ini amat menakjubkan kerana Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said masih lagi tidak puas hati kepada MB seperti mana diluahkan dalam ucapannya di majlis pecah tanah bangunan rumah kedai Umno di Dusun Nyior Sabtu lalu. Yang datang sekitar 500 orang pada majlis tertsebut menunjukkan ahli Umno Kemaman sendiri pun sudah bosan dengan tindakan tanduk ketua bahagiannya itu.

Ini buktikan MB dapat sokongan rakyat Kemaman walaupun ketua bahagiannya masih berdendam dengan Ahmad Razif yang mengambilalih jawatan MB pada dua tahun lalu. Jika orang Kemaman tidak suka dengan Razif, mereka tidak datang ke majlis Razif.

Sebaliknya mereka mahu dengar ucapan Razif setelah beliau diserang oleh Ahmad Said Sabtu lepas. Berdasarkan sambutan malam tadi, saya ucapkan tahniah kepada Pegawai Pembangunan DUN, Datuk Mohamad Awang Tera yang berjaya mengumpulkan orang ramai. Beliau dibantu oleh pegawai khas MB, Haji Mustafa Abdul Rahman yang menjaga DUN Kijal.

Dalam persiapan seperti ini, Mohamad selaku bekas ADUN Chukai sepatutnya menjemput juga pegawai khas MB, Tok Mulu Mat Dalam Awang dalam mesyuarat persiapan. Kita harus ingat peranan Mat Dalam yang berani menentang Ahmad Said dalam pertandingan ketua bahagian pada tahun 2013.

Ahmad Said seorang MB yang ada kuasa tapi Mat Dalam selaku ahli umno cawangan biasa  berani menentang Ahmad Said. Mat Dalam kalah tapi kemenangan Ahmad Said itu tidak bermakna kerana akhirnya beliau kehilangan jawatan MB.

Mat Dalam orang pertama MB lantiknya sebagai pegawai khas setelah Razif dilantik MB. Oleh itu di masa akan datang Mohamad Awang Tera hendaklah panggil Mat Dalam berbincang untuk menawan kembali DUN Chukai. Sebagai bekas penghulu yang rapat dengan akar umbi, Mat Dalam ada kelebihannya.

Buktinya ketika  Razif melawat Kemaman kali pertama sebagai MB pada tahun 2014, Mat Dalam dapat kumpul ramai orang ketika MB lawat pasar Chukai. Sebaliknya tahun lepas ketika Bulat masih PPD DUN Chukai, tidak ramai yang datang ke pasar tersebut ketika MB melawat pasar.

Oleh itu untuk tawan DUN Chukai, Mohamad Awang Tera jangan abaikan peranan Mat Dalam.Marilah kita bersatu demi Umno. Lupakan persengketaan lama kerana PRU14 semakin hampir. Bagi saya, sudah sampai masanya MB beri kuasa kepada Mat Dalam kerana sebagai pegawai khas yang tak ada kuasa tidak bermakna sama sekali.

Mat Dalam mengenali Ahmad Said sejak di bangku sekolah lagi. Orang seperti beliau yang mampu menundukkan Ahmad Said. Ini bukanlah bermakna saya menonjolkan Mat Dalam sebagai calon ketua bahagian untuk menentang Ahmad Said pada tahun 2018. Calon ketua bahagian boleh difikirkan kemudian. Yang penting kita mahu tawan semula orang orang Ahmad Said supaya menyokong Razif. Peranan Mohamad Awang Tera dan

Haji Pa lebih kuat jika Mat Dalam juga diberi kuasa untuk menawan DUN Chukai.

Ahad, Disember 06, 2015

MB PUJI MAJLIS KUCA SURA

Walaupun bulan Muharram sudah berlalu, namun kesungguhan anak anak Terengganu di perantauan mahu mengadakan majlis kuca sura, maka majlis itu tetap diadakan di bulan Safar semalam.

Apabila mengetahui Persatuan Anak Terengganu Di Kuala Lumpur (PESAT) tidak mengadakan majlis kuca sura, maka sekumpulan 100 orang ahli grup whatsapp Anak Terengganu Di Perantauan telah mengambil inisiatif mengadakan majlis kuca sura di pejabat PERMATA di Kg Baru, Kuala Lumpur dari jam 9 pagi hingga 6 petang semalam.

Seramai lebih 300 orang anak Terengganu di Kuala Lumpur menghadiri majlis tersebut yang turut diserikan dengan kehadiran MB Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Zubir Embong.

Menurut penganjurnya, Abang Sani, tiga minggu lalu ada ahli whatsapp grup kami mencadangkan supaya diadakan majlis kuca sura. Maka Sani pun mencari sponsor dan  beliau menyerahkan kepada satu jawatankuasa pelaksana untuk melaksanakannya.

"Alhamdulillah. Majlis ini berjaya diadakan. Kami terharu di atas kesudian MB yang sudi hadir bersama Speaker Dewan Undangan Negeri," kata beliau dalam wawancara melalui whatsapp.

Katanya lagi, majlis ini bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan perhubungan silaratulrahim di antara anak Terengganu di Kuala Lumpur malah ia juga mahu menunjukkan betapa sibuknya kami mencari makan di Kuala Lumpur tetapi semangat kerja berpasukan sesama anak Terengganu tetap ada.

"Apabila kami merantau ke ibu negara, maka majlis seperti ini yang dapat mengenali sesama anak Terengganu," katanya.

Sani percaya lebih banyak majlis seperti ini dapat diadakan di masa akan datang jika anak-anak Terengganu terus bekerjasama dan bersatu.

MB pula dalam ucapan secara santai mahu majlis seperti ini diadakan sebagai acara tahunan. Beliau mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur yang dapat mengadakan majlis seumpama ini dalam waktu yang singkat.










Rabu, Februari 25, 2015

TIGA BEKAS MB BERTEMU DALAM SATU FORUM

KUALA TERENGGANU, 24 Feb (Bernama) -- Tiga bekas menteri besar Terengganu menyatakan persetujuan mereka untuk hadir pada satu majlis forum bagi menjelaskan inspirasi dan pandangan mereka dalam membangunkan negeri Terengganu. Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata beliau sendiri akan menjadi moderator kepada majlis itu yang dijangka bakal berlangsung selepas tempoh setahun beliau menjadi menteri besar pada 12 Mei nanti. Beliau berkata pandangan daripada tiga bekas menteri besar iaitu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (1974-1999), Datuk Seri Idris Jusoh (2004-2008) dan Datuk Seri Ahmad Said (2008-2014) juga akan membantu menjayakan Tranformasi Terengganu Baharu yang bersandarkan kepada lapan prinsip utama. "Selepas setahun saya sebagai menteri besar, selepas 12 Mei ini, pandangan ketiga-tiga tokoh (bekas Menteri Besar) apa yang mereka laksana dan apa inspirasi, apa yang belum terlaksana dan apa tugas saya, serta gabungan solidariti yang patut berlaku," katanya kepada pemberita mengenai harapan beliau terhadap forum itu di sini hari ini. Pada 12 Mei tahun lepas Ahmad Razif yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Takir dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu menggantikan Ahmad Said. -- BERNAMA

Khamis, Mei 22, 2014

MB DIPUJI KERANA KAJI BALIK KENAIKAN CUKAI PINTU DI DAERAH KUALA TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 22 Mei (Bernama) -- Jawatankuasa Bertindak Cukai Pintu Terengganu menyambut baik keputusan kerajaan negeri Terengganu untuk mengkaji semula cadangan menaikkan kadar cukai pintu di daerah Kuala Terengganu. Pengerusinya Ahmad Azmzad Hashim turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar yang baharu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman kerana bertindak segera dengan membincangkan isu itu ketika mempengerusikan mesyuarat Exco pertamanya semalam. "Kami sangat mengalu-alukan kenyataan Menteri Besar untuk mengkaji balik kenaikan ini dan ingin menyatakan pendirian bahawa kami tidak dapat menerima sebarang kenaikan ketika ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Jawatankuasa itu juga meminta lebih ramai penduduk di kawawsan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) agar mengemukakan bantahan mengenai cadangan tersebut sebelum tarikh akhir pada 2 Jun ini. Jawatankuasa itu disertai 40 badan bukan kerajaan di seluruh Terengganu dan ditubuhkan bagi memberi penerangan kepada rakyat mengenai cadangan kenaikan cukai tersebut. Semalam, Ahmad Razif mengumumkan kerajaan negeri akan mengkaji kadar cukai pintu berasaskan keperluan dan kebajikan kepada rakyat setelah kadar itu tidak berubah sejak 1981. -- BERNAMA KAK AE NM

Selasa, Mei 20, 2014

MB YANG PATUT JADI PENGERUSI PERHUBUNGAN KATA AHMAD SHABERY CHEEK

KUALA TERENGGANU, 20 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang bakal dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri. Beliau turut mengakui tidak mempuyai masalah jika jawatan itu diberikan kepada orang lain dan akan bekerjasama dengan individu yang dilantik demi memajukan Umno. "Kita serahkan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memutuskan perkara itu kerana apa yang penting ialah kebersamaan dalam memperjuangkan parti. "Saya tak ada masalah, kita sebagai ahli parti yang setia, kita pulangkan keputusan itu secara bijaksana untuk ditentukan oleh Presiden parti dan saya tidak ada masalah langsung dalam hal ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Sukan Malaysia (Sukma) kepada Kontinjen Terengganu lewat malam tadi. Menurutnya lebih mustahak semua bersatu untuk memperjuangkan parti dan tidak timbul siapa yang bakal dipilih menerajui Umno Terengganu. Beliau berkata perpaduan dalam saat-saat begini amat penting lebih-lebih lagi dalam keadaan Terengganu sekarang di mana Barisan Nasional menduduki 17 kerusi Dewan Undangan Negeri sementara pembangkang 15. Ahmad Razif berkata demikian ketika mengulas cadangan sebuah kolum akhbar tempatan Ahad lepas yang mengaitkan nama Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai calon yang sesuai untuk jawatan itu. Namun Ahmad Shabery ketika ditanya pemberita berhubung perkara itu berpendapat, jawatan tersebut seharusnya dipegang oleh seorang Menteri Besar bagi membolehkan pentadbiran negeri dan kerja parti berjalan lancar. Sementara itu Ahmad Razif berkata buat sementara waktu beliau memangku dua portfolio iaitu portfolio asalnya iaitu selaku Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi,Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri. Beliau juga memangku portfolio yang dipegang bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said iaitu Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum, Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri. Ahmad Razif berkata portfolio itu akan dipangkunya sehingga lantikan Exco baharu dibuat dan ketika ini, pihaknya sedang berbincang mengenai perkara itu sebelum mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk memohon perkenan. --BERNAMA AZM NFI MK

Ahad, Mei 18, 2014

MB ALU-ALUKAN CADANGAN DARI PENGAMAL MEDIA

KUALA TERENGGANU, 18 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mempelawa pengamal media memberi cadangan dan idea baharu dalam aspek penambahbaikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat bagi memastikan agenda pembangunan negeri ini berjalan lancar. Beliau berkata pengamal media adalah antara golongan yang sering turun padang dan terawal dalam mengetahui permasalahan dihadapi rakyat dalam pelbagai urusan harian mereka. "Justeru marilah bersama-sama kita bekerjasama ke arah pembangunan Terengganu yang lebih maju dengan keseimbangan menyeluruh dengan kebajikan rakyat terus diutamakan. "Saya sangat berharap pengamal media di negeri ini terus membuat laporan tepat dan berkualiti dan saya sendiri akan berusaha memberi kerjasama yang diperlukan anda semua," katanya ketika berucap di majlis mesra media anjuran Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) di sini malam tadi yang dihadiri 300 pengamal media di negeri ini. Turut hadir Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi, Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Din Adam dan Presiden KAWAT Ayob Mamat. Ahmad Razif turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang membuat liputan dengan baik sepanjang krisis politik negeri ini minggu lalu. "Fokus kita semua selepas ini ialah untuk menang semula di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita kalah dan mengekalkan kemenangan di kerusi DUN sedia ada dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi. "Saya adalah menteri besar ke-14 dan kebetulan akan menghadapi PRU14, lupakan semua yang berlaku, kita semua rapatkan barisan untuk capai impian yang satu demi kemenangan yang diimpikan," katanya. -- BERNAMA KAK FAU NH

Selasa, Januari 28, 2014

ANWAR DARI PM JADI MB PULAK?

PETALING JAYA: Pagi semalam pejabat Menteri Besar Selangor menafikan Tan Sri Khalid Ibrahim akan meletakkan jawatan. Begitu juga Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan akan menjadi Menteri Besar menggantikan Khalid. Begitulah orang politik. Hari ini nafi, esok jadi kenyataan. Petang semalam ADUN Kajang, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan. Jadi khabar-khabar angin Anwar akan bertanding pada pilihanraya kecil (PRK) Kajang begitu kuat bertiup. Pagi ini Khalid mengesahkan Anwar akan jadi calon PKR pada PRK Kajang nanti. Adakah PRK Kajang membazir? Sudah tentu bagi SPR membazir kerana ia terpaksa diadakan walaupun wakil rakyatnya tidak meninggal dunia. Rakyat Kajang sudah tentu marah kepada PKR kerana menyusahkan mereka kerana mereka kena keluar mengundi semula selepas lapan bulan memilih wakil rakyat mereka. Menurut bekas calon Ketua Pemuda Umno 2013, Syed Rosli Syed Harman al Jamalulail PKR tidak boleh disalahkan kerana ia adalah jalan terbaik untuk meletakkan calon MB baru menggantikan Khalid. Jika Khalid digantikan oleh Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali sebagai Menteri Besar, sudah tentu Khalid tidak mahu. Maka jalan terbaik terpaksa menurunkan Anwar Ibrahim untuk meredakan pertelingahan di antara Khalid dengan Azmin. Inilah akibatnya PKR tidak mengamalkan konsep parti menguasai kerajaan. Jika PKR amal konsep ini, Azmin selaku Pengerusi PKR Selangor yang sepatutnya jadi menteri besar dan bukannya Khalid Ibrahim. Sebagai bekas tokoh korporat, Khalid bijak mengurus negeri tetapi sebagai orang politik beliau gagal. Ini yang menimbulkan kemarahan para penyokong PKR. Khalid dikatakan boneka Elizabeth Wong di mana banyak projek pembangunan di Selangor Elizabeth yang cadang, Khalid terus setuju. Menurut Syed Rosli lagi, kenapa marah kepada PKR terpaksa membazirkan wang rakyat untuk buat PRK Kajang sedangkan PKR mencontohi BN. Pada tahun 1997, BN sanggup mengadakan PRK Permatang untuk membolehkan Tan Sri Abu Hassan Omar dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Tan Sri Muhammad Muhd Taib. Jadi PKR meniru BN mengadakan PRK Kajang untuk membolehkan Anwar Ibrahim dilantik sebagai Menteri Besar Selangor. Soalnya, adakah rakyat Pulau Pinang boleh menjadi Menteri Besar Selangor? Menurut ADUN Kelana Jaya, Nik Nazmi Nik Ahmad, dalam perlembagaan Selangor tidak mengatakan hanya rakyat Selangor sahaja yang layak jadi menteri besar.Soalnya, sanggupkah Sultan Selangor beri perkenan kepada Anwar Ibrahim sebagai menteri besar? Jika Sultan Selangor tidak berkenan, maka krisis Selangor akan menjadi lebih buruk lagi. Atau mungkin Azmin Ali yang terpaksa dilantik sebagai menteri besar yang baru kerana beliau adalah anak Selangor. Kesanggupan Anwar menjadi calon Menteri Besar Selangor turut dipersoal. Selama ini beliau mahu jadi Perdana Menteri Malaysia, kenapa tiba-tiba beliau mahu menjadi Menteri Besar Selangor pula? Adakah kerana cita-citanya nak jadi Perdana Menteri sudah tidak nampak jalan lagi? Majoriti rakyat tetap bersama BN maka Presiden Umno selama-lamanya akan menjadi perdana menteri maka peluang Anwar tidak akan menjadi kenyataan selama-lamanya. Menyedari hakikat ini, maka baginya lebih baik menjadi Menteri Besar daripada menjadi Perdana Menteri yang mustahil sama sekali. Bukankah Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin juga pernah jadi Menteri Besar? Atau adakah Anwar mengorbankan dirinya dengan menerima jawatan yang lebih rendah semata-mata untuk menyelamatkan PKR pada PRU ke 14? Beliau nampak jika krisis dalaman PKR tidak selesai maka Selangor akan jadi seperti Kedah. PAS Kedah tewas pada PRU ke 13 kerana perebutan kuasa sesama para pemimpin PAS. Sama-samalah kita tunggu apabila Anwar menang nanti dalam PRK Kajang, beliau akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor atau tidak. Atau adakah Anwar akan mencatat sejarah sebagai orang luar yang pertama yang akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor? Manusia hanya merancang, Allah yang menentukan.

Isnin, Disember 09, 2013

MB JADI ROBIN HOOD?

KEMAMAN: Ketika Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pulang dari Kuala Lumpur ke Kemaman untuk bersama rakyat menghadapi banjir, beliau tersekat di kawasan Chendor bersama dengan ramai pemandu bersama ahli keluarga, anak, isteri dan lain-lain yang tersekat sama di situ dalam keadaan kelaparan. Blog Terengganu Today melaporkan kebetulan terdapat dua lori roti Gardenia yang berada di situ, Ahmad Said yang tidak sanggup melihat situasi rakyat dalam kelaparan beliau telah meminta agar pemandu lori tersebut membuka pintu lori bagi mendapatkan makanan (roti) yang ada bagi di agihkan kepada semua yang ada di situ. Pada permulaannya, kedua-dua pemandu lori itu tidak membenarkan Ahmad Said membuka lori tersebut. Tetapi Ahmad Said tetap bekeras mahukan roti tersebut kerana beliau tidak tahan dan sanggup melihat rakyat kelaparan, lalu Menteri Besar meminta agar pemandu lori tersebut terus menghubungi pengurus mereka di Kuala Lumpur untuk meminta kebenaran bagi membeli semua roti-roti tersebut, Setelah Ahmad Said berbincang dengan pengurus untuk sanggup membayar jumlah yang di terima oleh pengurus tersebut, maka Ahmad Said telah membuka lori tersebut untuk di agihkan kepada semua mangsa perangkap banjir itu. Ramai yang datang berterima kasih pada Ahmad Said terutama anak-anak kecil yang kelaparan di situ dapat mengisi perut, rungutan dan kelapran dapat di isi, mungkin terdetik di dalam hati MB ketika itu rasa lega dan bersykur kerana dapat memadamkan kesusahan rakyat ketika itu. Setelah menjadi “Robin Hood” di Chendor, Ahmad Said menyerang Giant pula. Blog yang sama melaporkan sewaktu bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan ziarah dan tinjauan di Sekolah Menengah Banggol, Paya Berenjut, beberapa orang ibu mengadu kepada Menteri Besar tentang bekalan susu bayi dan anak mereka yang sudah kehabisan. Sebaik-baik sahaja Timbalan Perdana Menteri balik ke Kuala Lumpur semula, Menteri Besar Terengganu itu bergegas ke Giant Kijal dan membeli sendiri bekalan susu bayi serta bekalan makanan untuk dihantar ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Banggol, Paya Berenjut. Sebuah trak tentera digunakan untuk mengangkut bekalan susu dan makanan yang dibeli sendiri oleh Menteri Besar Terengganu itu. Trak tersebut dimuatkan di hadapan Pejabat Pegawai Daerah. Dan disebabkan ruang tidak cukup, Ahmad Said menggunakan kereta rasmi Menteri Besar untuk mengangkut bekalan susu dan makanan. Tiba di pusat pemindahan, Menteri Besar Terengganu itu menggunakan kederatnya sendiri, bersama-sama sukarelawan dan mangsa-mangsa banjir menurun dan mengangkut bekalan makanan berkenaan. Sudah empat hari nampaknya, Menteri Besar Terengganu berpusing-pusing di sekitar tempat-tempat yang dilanda banjir sama ada menggunakan kenderaan rasminya atau kenderaan persendirian mahupun menaiki helikopter. (dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)

Rabu, Oktober 16, 2013

MB DISARAN TIDAK TANDING MAJLIS TERTINGGI UMNO

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata semua Menteri Besar tidak perlu bertanding jawatan ahli majlis tertinggi Umno pada 5 Oktober ini. Katanya, mereka selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri secara automatik akan dilantik sebagai ahli majlis tertinggi. “Oleh itu saya rasa mereka tak perlu bertanding,” katanya dalam satu wawancara khas dengan FMT di pejabat FMT di sini Jumaat lalu. Menurut ahli majlis tertinggi Umno itu, perwakilan biasanya akan memilih menteri terlebih dahulu di peringkat pertama, di peringkat kedua mereka mengundi timbalan menteri dan menteri besar dan di peringkat ketiga baru orang yang tidak ada jawatan. “Kali ini saya masuk bertanding di peringkat ketiga, tak ada jawatan dalam kerajaan,” katanya yang berharap perwakilan dapat mengundinya untuk terus bersuara dalam majlis tertinggi. Saifuddin mengakui bahawa tanpa jawatan dalam kerajaan, ia akan menjejaskan undi beliau tetapi dengan pertolongan kawan-kawan dalam Majlis Belia Malaysia (MBM) dahulu, beliau berharap mereka dapat berkempen untuknya. Beliau yakin cara baru pemilihan Umno dapat menghapuskan politik wang. “Perwakilan seramai 146,000 orang. Mana mampu calon tabur duit kepada semua,” katanya lagi. Mengulas kekalahannya dalam pilihanraya umum lalu di Temerloh, beliau tidak nampak sebarang konspirasi di kalangan pemimpin Umno Bahagian Temerloh untuk mengalahkannya. “Di mana-mana pun ada orang tak keluar mengundi. Maka ia adalah fenomena biasa,” katanya yang akan mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh. Bahagian itu diketuai Datuk Sharkar Shamsudin yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang. Beliau kalah kepada calon PAS, Nasrudin Hassan dengan majoriti 1,070 undi. Nasrudin mendapat 28,267 undi manakala Saifudin mendapat 27,197 undi.

Ahad, Mac 25, 2012

TAHNIAH KEPADA MB


Tahniah kepada MB Terengganu, Datuk Seri Haji Ahmad Said yang telah menyambut ulang tahun keempat sebagai MB pada 23 Mac lalu. Sudah empat tahun beliau menjadi MB yang ke 13. Dalam masa empat tahun ini beliau banyak membawa perubahan kepada pentadbiran negeri Terengganu.

Kalau MB dahulu dikaitkan dengan projek mega yang tidak menguntungkan rakyat Terengganu, MB baru kini lebih turun ke bawah, merakyatkan pentadbiran. Kini beliau memberi keutamaan untuk memajukan Tasik kenyir sebagai kawasan pelancongan. Salah satu lagi produk pelancongan yang diperkenalkan MB ialah Zoo Kemaman.

Kebetulan minggu lepas saya menerima jemputan dari Majlis Perbandaran Taiping (MPT)untuk mempromosi Zoo Taiping bagi majalah Agro Malaysia yang diterbitkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Oleh itu Zoo Kemaman perlu belajar dari Zoo Taiping bagaimana mereka memajukan Zoo Taiping. Zoo Kemaman diurus oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) seperti mana MPT mengurus Zoo Taiping.

Dengan persamaan ini Zoo Kemaman perlu belajar dari Zoo Taiping untuk mempromosi Kemaman sebagai kawasan pelancongan. Saya menerima jemputan dua hari satu malam dari MPT untuk mempromosi Zoo Taiping.

Kelebihan Taiping ada pusat peranginan Bukit Larut yang merupakan kawasan peranginan bukit tinggi yang tertua di Malaysia. Taiping juga ada kilang kopi Antong yang dibuka sejak tahun 1933. Kemaman pun apa kurangnya ada Kopi Hai Peng yang terkenal. Oleh itu MPK perlu membuat pakej pelancongan selain dari melawat Zoo kemaman, ia juga termasuk mengunjungi Kedai Kopi Hai Peng dan melihat kunang-kunang di Kampong Yak Yoh, Ibok.

Banyak benda yang boleh dipakejkan oleh Zoo Kemaman atau MPK untuk menarik pelancong ke Kemaman. MPT mempromosi Taiping Golf Resort untuk menarik pelancong dari Korea untuk main golf di situ. Dalam pakej pelancongan ini MPK boleh tarik pelancong luar untuk main golf di Awana Kijal.Maknanya banyak persamaan antara Taiping dengan Kemaman.

Oleh itu MPK kena berurusan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk kami buat promosi ini. Kalau MPT boleh mencari kami,Agro Malaysia, apa salahnya MPK mencari kami untuk membantu promosi Zoo Kemaman.

Selasa, Januari 04, 2011

Selasa, Julai 06, 2010

MB SINDIR SIAPA?


Pagi ini jam 9 saya terima call dari seorang ahli jawatankuasa uMNO bahagian Kemaman yang ajak saya temuinya di hotel yang disewanya di Kuala Lumpur. Sambil menikmati breakfast di coffee house hotel itu, dia tanya saya siapa yang dituju oleh Menteri besar, Datuk Ahmad Said dalam ucapannya sewaktu mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Kemaman Sabtu lalu.

"MB tuju kepada semua ADUN di Terengganu yang tidak turun padang dan lupa pengkalan," kata saya.
"Kenapa MB berucap di Kemaman? Sudah tentu MB tuju kepada wakil rakyat di Kemaman," kata ahli jawatankuasa UMNO bahagian Kemaman itu.
"MB berucap secara umum. Siapa makan lada dia rasa pedaslah," kata saya.
"Pelik juga kenapa dia pilih Kemaman untuk tuju kepada semua YB," kata ahli jawatankuasa itu lagi.
"Mungkin MB tuju kepada timbalannya, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang jarang balik ke Kemaman," kata saya selamba.
"Mungkin juga," kata beliau sambil ketawa.
"Dua tahun lepas saya berkempen untuk Tok Mulu Dalam untuk bertanding timbalan ketua bahagian kerana Shabery jarang balik kawasan sejak dia jadi menteri tapi Tok Mulu Dalam tak cukup kuota untuk bertanding. Beliau dapat empat pencalonan sahaja sedangkan kuota kena cukup 20 pencalonan," kata saya.
"Masa dia jadi ahli parlimen dia banyak berada di Kemaman. Bila dah jadi setiausaha parlimen dia balik juga, bila dah jadi menteri, susah nak jumpa dia balik kawasan. Mungkin MB sindir Sabery," tambah ahli jawatankuasa itu.
"Dulu masa saya berkempen untuk Tok Mulu Dalam ramai orang marah kepada saya sedangkan masa tu salah satu sebab kami tonjol orang lawan Shabery ialah kerana dia jarang balik kawasan. Jadi apa yang kami kempen dua tahun lalu sudah disahkan oelh Mb. Jika tidak takkan MB tegur semua YB dalam ucapannya," kata saya.
"Tahun depan sudah tak ada kuota lagi. Kalau ada orang lawan Shabery, mesti banyak undi protes yang muncul," kata beliau.
"Lawan menteri tak boleh menang, tapi biar dia sedar undi protes yang akan muncul nanti,"tambah saya.
"Orang yang tak pernah ada jawatan dalam UMNO tiba-tiba MB tarik dia tanding timbalan ketua bahagian dan terus menang. Jadi dia patut balik selalu kawasan hargai sokongan akar umbi kepadanya. Jangan 10 hari aja balik menjelang pilihanraya umum seperti kata MB," katanya lagi.
" Saya AJK Pemuda yang tolong Shabery lawan ahli parlimen Dr. Ramli Taib bagi jawatan ketua pemuda bahagian pada tahun 1998.Dia kalah pasal semua YB sokong Dr. Ramli ketika itu. Masa tu Ketua Bahagian, Tan Sri Wan Mokhtar arah setiausaha sulit kanannya, Datuk Haji Mohamad Ngah panggil saya beritahu MB marahi saya kerana tolong Shabery lawan Dr. ramli. Apa yang Shabery bantu saya? bukannya dia ingat kepada kawan-kawan lama," tambah saya pula.
"Sepatutnya setiausaha politik lantiklah orang Kemaman. Setiausaha politik pun tak pernah nampak muka di Kemaman. Pegawai khas orang Perak. Setiausaha sulit pun orang luar. jadi dia tak beri peluang kepada orang terengganu bekerja dengan dia," katanya lagi.
"Masa dia mula dilantik setiausaha parlimen, saya sms dia mohon jawatan setiausaha sulit. Tapi dia kata dia nak ambil PTD jadi setiausaha sulitnya. Saya bekas penolong pengarah YPK mana layak jadi setiausaha sulit Shabery," kata saya.
"Bagus juga MB tegur Shabery. Entah dia perasan ke, tidak?" kata ahli jawatankuasa bahagian itu.
"MB tuju kepada semua YB. Kebetulan dia berucap di Kemaman jadi semua orang anggap Mb tuju kepada Shabery yang sudah lupa pengkalan," kata saya.
Seronok juga perbualan kami di hotel itu. Semoga semua YB berubah turun padang selepas ini setelah ditegur oleh MB. Semua YB patut contohi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali rustam yang masih buka pintu rumahnya pada jam 2 pagi.

Ahad, Julai 04, 2010

MB TEGUR WAKIL RAKYAT TAK TURUN PADANG


Menteri Besar Datuk Ahmad Said menegur sikap segelintir wakil rakyat di Terengganu yang jarang turun padang untuk meninjau permasalahan rakyat dan hanya menunjukkan muka apabila tiba musim pilihan raya.

Beliau berkata, sikap seperti itu bukan hanya merugikan wakil rakyat itu sendiri selain tempiasnya akan turut dirasai oleh Umno dan Barisan Nasional khasnya apabila tiba masa pilihan raya kelak.

"Setiap wakil rakyat di negeri ini nafasnya bergantung kepada ahli dan pengundi. Jangan jadi wakil rakyat yang hanya tahu menunjuk muka 10 hari semasa kempen pilihan raya tetapi hilang dalam tempoh lima tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kemaman semalam yang dirasmikan oleh Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Persidangan turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman yang juga Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad berkata, setiap wakil rakyat di negeri ini telah diberikan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk membantu permasalahan rakyat di kawasan mereka termasuk untuk bantuan am dan program keagamaan.

"Jika saya sendiri boleh berdiri enam jam semata-mata untuk menyampaikan e-Book kepada murid sekolah dan luang masa sehingga 12 malam untuk sehari bersama rakyat, saya tidak nampak kenapa wakil rakyat tidak boleh berbuat demikian termasuk luang masa di masjid untuk sembahyang jemaah bersama rakyat," katanya.

Dalam masa yang sama beliau turut menggesa wakil rakyat supaya berusaha lebih keras untuk memastikan sasaran 60 peratus daripada ahli Umno di kawasan mereka mendaftar sebagai pengundi dicapai .

Katanya, ia bagi memastikan wakil rakyat serta parti mampu menang dengan majoriti yang besar dalam pilihan raya umum akan datang.